Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Amaran konflik di Sudan jadi lebih buruk jika dibiarkan berterusan

Mantan PM Sudan beri amaran; angka korban terus bertambah
May 1, 2023 | 5:30 AM
SUARA BANTAHAN: Aktivis berdemonstrasi di hadapan Rumah Putih di Washington DC, Amerika Syarikat, bagi menyeru campur tangan Amerika bantu menghentikan pertempuran di Sudan. - Foto AFP
SUARA BANTAHAN: Aktivis berdemonstrasi di hadapan Rumah Putih di Washington DC, Amerika Syarikat, bagi menyeru campur tangan Amerika bantu menghentikan pertempuran di Sudan. - Foto AFP -

NAIROBI (Kenya): Mantan perdana menteri Sudan Abdalla Hamdok memberi amaran bahawa konflik di negara Afrika yang sedang bergolak itu boleh memuncak sehingga menjadi satu perang saudara terburuk di dunia jika keadaan tidak dihentikan di peringkat awal.

Lebih 500 orang terbunuh sejak pertempuran meletus pada 15 April antara askar ketua tentera Abdel Fattah al-Burhan dan pegawai kanannya Mohamed Hamdan Daglo, yang memerintah Pasukan Sokongan Pantas (RSF) separa tentera.

Mereka telah bersetuju dengan beberapa gencatan senjata, tetapi tiada satu pun yang berjaya bertahan dengan bilangan orang awam yang terkorban terus meningkat dan keadaan menjadi huru-hara sedang pelanggaran undang-undang mencengkam Khartoum.

Sebahagian besar orang di bandar yang mempunyai lima juta penduduk itu terperangkap di rumah masing-masing tanpa makanan, air dan elektrik.

"Tuhan melarang jika Sudan sampai mencapai titik perang saudara... Syria, Yaman, Libya akan menjadi pemain kecil," kata Encik Hamdok pada Sabtu dalam perbualan dengan taikun telekomunikasi kelahiran Sudan, Mo Ibrahim, di satu acara di Nairobi.

"Saya fikir ia akan menjadi mimpi ngeri bagi dunia," katanya, sambil menambah bahawa ia akan mempunyai kesan yang besar.

Konflik semasa adalah "perang tidak masuk akal" antara dua tentera, tambahnya.

"Tiada sesiapa yang akan keluar daripada kemelut ini... itulah sebabnya ia perlu dihentikan."

Kira-kira 75,000 orang telah kehilangan tempat tinggal akibat pertempuran di Khartoum serta di wilayah Blue Nile dan Kordofan Utara, serta wilayah barat Darfur, menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Pertempuran itu juga telah mencetuskan penghijrahan besar-besaran warga asing dan kakitangan antarabangsa.

Encik Hamdok pernah berkhidmat sebagai perdana menteri negara itu dua kali - pada 2019 dan 2022 - sebelum digulingkan dan ditahan dalam satu rampasan kuasa. Walaupun jawatannya kembali diserahkan kepadanya, beliau meletak jawatan pada Januari.

Burhan dan Daglo, juga dikenali sebagai Hemeti, merampas kuasa dalam rampasan kuasa 2021 yang menjejaskan peralihan Sudan kepada demokrasi, yang ditubuhkan selepas presiden Omar al-Bashir digulingkan berikutan protes besar-besaran pada 2019.

Tetapi kedua-dua jeneral itu bertelagah, yang terbaru berhubung rancangan integrasi RSF ke dalam tentera biasa.

Tekanan diplomatik telah meningkat untuk gencatan senjata. - Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg