BANGKOK: Bayangkan perasaan penumpang pesawat bila ternampak seekor ular dalam kapal terbang yang dinaiki mereka.
Terkejut dan sudah pasti menggelikan.
Itulah yang dialami beberapa penumpang dalam satu penerbangan AirAsia dari Bangkok ke Phuket apabila mendapati seekor ular merayap dalam peti penyimpanan beg kabin pesawat.
Kejadian itu tular menerusi satu video di TikTok yang dimuat naik pengguna @wannabnailssalon yang, sehingga artikel ini ditulis telah mencatatkan lebih 3.9 juta tontonan.
Menukil laporan agensi media, AirAsia Thailand berkata kejadian itu berlaku dalam sebuah pesawat AirAsia Thailand FD3015 yang berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Don Mueang di Bangkok pada 13 Januari.
Dalam video satu minit 12 saat itu, apabila seekor ular dikesan merayap di ruang penyimpanan beg tersebut, beberapa penumpang yang duduk berdekatan meninggalkan tempat duduk mereka, sementara penumpang lain kelihatan merakam insiden itu.
Kemudian, seorang pramugara dilihat cuba menangkap ular kecil itu ke dalam satu botol kosong namun tidak berjaya.
Namun ular itu kemudian berjaya ditolak ke dalam satu beg sampah oleh pramugara itu.
Tidak diketahui bagaimana ular itu boleh memasuki pesawat tersebut.
Media tempatan melaporkan bahawa penumpang ‘tidak diundang’ itu ditemui ketika pesawat baru hendak mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Phuket.
Selepas ia mendarat, pegawai keselamatan dimaklumkan tentang kejadian itu dan diarah untuk memeriksa kapal terbang itu sekiranya terdapat ular lain.
Namun tiada lain ular atau haiwan lain yang ditemui, lapor media tempatan.
Pengguna lain dalam ruang komen video tersebut telah menyoal bagaimana ular itu memasuki pesawat.
Sementara pengguna lain menyatakan bahawa kejadian itu persis filem Hollywood bertajuk Snakes On A Plane (Ular Dalam Pesawat) yang ditayangkan pada 2006 di mana beberapa ular berbisa dilepaskan dalam sebuah pesawat dipenuhi penumpang.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg