Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Amerika beri amaran ancaman Ebola selepas ia muncul semula di Afrika

Feb 18, 2021 | 5:30 AM
MUNCUL SEMULA: Seorang lelaki Liberia membaca laporan mengenai wabak Ebola yang melanda negara jiran, Guinea, dengan empat orang disahkan mati ekoran virus tersebut. - Foto EPA-EFE
MUNCUL SEMULA: Seorang lelaki Liberia membaca laporan mengenai wabak Ebola yang melanda negara jiran, Guinea, dengan empat orang disahkan mati ekoran virus tersebut. - Foto EPA-EFE -

WASHINGTON: Amerika Syarikat memberi amaran bahawa dunia harus tetap memberi perhatian pada penyakit Ebola meskipun di tengah-tengah pandemik Covid-19 sekarang.

Ini selepas beberapa kes penyakit itu disahkan di Guinea dan Republik Demokratik Congo baru-baru ini.

Lima orang meninggal dunia akibat virus Ebola di Guinea - penularan pertama penyakit itu di Afrika Barat sejak epidemik dari 2013 hingga 2016 yang meragut nyawa lebih 11,300 orang di Guinea, Liberia dan Sierra Leone.

Republik Demokratik Congo di Afrika Tengah juga telah memulakan program vaksin Ebola selepas empat kes jangkitan virus itu, dengan dua daripadanya menyebabkan kematian, timbul di negara itu buat kali pertama sejak tiga bulan lalu.

Menerusi satu kenyataan, Setiausaha Akhbar Rumah Putih Jen Psaki berkata Amerika akan bekerjasama dengan pemerintah yang terjejas dan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

"Ebola telah muncul lagi di kedua-dua Afrika Tengah dan Barat

"Dunia tidak boleh tidak peduli dengannya. Kita harus melakukan apa sahaja dalam bidang kuasa kita untuk bertindak cepat dan dengan berkesan," ujarnya.

Penyakit Ebola menyebabkan seseorang mengalami demam dan pendarahan yang tidak dapat dihentikan dalam sesetengah penghidapnya.

Virus itu boleh dijangkiti dengan hubungan rapat menerusi cecair tubuh.

Orang yang tinggal bersama pesakit Ebola dan orang yang menjaga mereka paling berisiko dijangkiti virus itu.

Epidemik Ebola dari 2013 hingga 2016 bermula di Guinea, yang juga daerah sama tempat kes baru ditemui baru-baru ini.

Virus yang dikenali hidup dalam tubuh cecadu (kelawar yang memakan buah-buahan) dan monyet itu dikenal pasti buat kali pertama pada 1976 di Zaire, yang kini dikenali sebagai Republik Demokratik Congo. - AFP.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg