Topik diikuti
Pergi ke BHkuAmerika, Israel plot serangan baharu ke atas Iran
Amerika, Israel plot serangan baharu ke atas Iran
WASHINGTON: Tentera Amerika Syarikat dan Israel telah menyediakan rancangan khusus untuk serangan baharu ke atas Iran selepas pilihan raya separuh penggal Amerika, menurut pegawai Amerika dan pihak lain yang diberi taklimat tentang perbincangan itu.
Ketika perancangan operasi yang singkat namun sengit itu, tentera Amerika dan Israel telah mempergiat latihan dengan menerbangkan pesawat di atas Iraq untuk melatih gerakan serangan.
Menteri Pertahanan Amerika, Encik Pete Hegseth, bertemu Perdana Menteri Israel, Encik Benjamin Netanyahu, di Israel pada awal Oktober untuk membincangkan serangan baharu, kata pegawai Amerika.
Sasarannya mungkin termasuk infrastruktur tenaga Iran, kemudahan nuklear serta senjata peluru berpandu dan dron.
Sesetengah pegawai berkata satu lagi serangan besar boleh menolak ekonomi Iran ke ambang kehancuran dan memaksa negara itu membuat konsesi diplomatik, selepas hampir lapan bulan konflik.
Namun, ada sebab untuk ragu-ragu bahawa perang baharu akan lebih berjaya daripada fasa pertama serangan Amerika-Israel yang sengit antara Februari dan April.
Pertempuran itu menyebabkan harga tenaga dan inflasi meningkat di seluruh dunia, menjejaskan keselamatan di Timur Tengah dan mengurangkan bekalan peluru berpandu pemintas Pentagon.
Belum pasti juga bahawa Presiden Amerika, Encik Donald Trump, akan meluluskan serangan baharu. Beliau berulang kali memveto rancangan pada 2026 untuk kembali kepada operasi tempur besar-besaran.
Pegawai Iran berjanji akan membalas kali ini dengan meluaskan sasaran mereka, bukan sahaja kapal dagang dan infrastruktur tenaga di rantau itu, tetapi juga pusat data dan kabel internet dasar laut.
Mereka berkata pertempuran itu tidak akan singkat atau terhad.
Ketika Amerika sedang mengumpulkan senjata dalam jumlah besar yang akan siap sepenuhnya menjelang awal November, usaha diplomatik diteruskan.
Perunding Amerika menggunakan kemungkinan kembali berperang sebagai daya tawar untuk mencapai kemajuan dalam tuntutan mereka tentang program nuklear Iran dan kawalan ke atas Selat Hormuz.
Setakat ini, perunding Iran enggan membuat konsesi tentang program nuklear dan berkeras menangguhkan isu itu ke peringkat lebih lewat dalam rundingan.
Pilihan raya Israel pada 27 Oktober boleh merumitkan rancangan itu. Jika Encik Netanyahu kalah, beliau akan menjadi perdana menteri sementara dan sukar baginya untuk melancarkan perang, kata pakar.
Namun, sesetengah penganalisis percaya Encik Netanyahu boleh memanfaatkan kemungkinan serangan bersama Amerika-Israel yang bakal berlaku untuk menekan pesaingnya menyertai pemerintah berpadu (unity government) bagi menguruskan perang. Ini akan memanjangkan cengkamannya pada kuasa. – Agensi berita.