Subuh
5:49
Syuruk
7:06
Zuhur
1:11
Asar
4:15
Maghrib
7:14
Isyak
8:22
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Dunia
28
0

Amerika prihatin anggota yang dilantik dalam pemerintahan Taleban

Akan nilai pemerintah baru Afghanistan menerusi tindakannya, bukan janji-janji yang dibuat
Sep 09, 2021 | 05:30 AM



DOHA: Amerika Syarikat berkata ia prihatin terhadap anggota pemerintah Taleban yang diumumkan kelmarin tetapi berkata ia akan menilai pemerintah itu menerusi tindakannya, termasuk dalam membenarkan warga Afghanistan untuk keluar dengan bebas.



"Kami perhatikan senarai nama yang diumumkan itu terdiri daripada individu yang merupakan anggota Taleban atau rakan rapat mereka dan tiada wanita.



"Kami juga prihatin dengan pertalian dan rekod beberapa individu," kata seorang jurucakap sedang Setiausaha Negara Amerika Antony Blinken mengadakan perbincangan mengenai Afghanistan di Qatar.



"Kami memahami bahawa Taleban telah membentangkan ini sebagai Kabinet penjaga. Namun, kami akan menilai Taleban dengan tindakannya, bukan kata-kata."



Jabatan Negara Amerika memperbaharui seruannya kepada Taleban untuk menawarkan laluan selamat kepada warga Amerika dan juga Afghanistan yang ingin meninggalkan negara itu.



Di Qatar kelmarin, Encik Blinken berkata Taleban memberi kerjasama selagi pelancong mempunyai dokumen perjalanan, di tengah-tengah tuduhan daripada penggubal undang-undang dan aktivis Republikan bahawa pesawat sewa tersangkut.



Taleban telah menamakan Mullah Mohammad Hassan Akhund selaku pemangku perdana menteri. Hassan berada dalam senarai sekatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan berkhidmat dalam rejim 1996 hingga 2001.



Timbalannya adalah Mullah Abdul Ghani Baradar, pengasas bersama Taleban yang dibebaskan oleh Pakistan di bawah tekanan Amerika untuk menyertai rundingan mengenai penarikan keluar tentera Amerika.



Menteri Dalam Negeri adalah Sirajuddin Haqqani, yang merupakan sebahagian daripada kumpulan yang disifatkan Amerika sebagai pengganas, walaupun Amerika telah menawarkan berjuta dolar untuk maklumat yang membawa kepada penangkapannya.



"Kami telah menyatakan jangkaan kami agar rakyat Afghanistan layak mendapat pemerintahan yang inklusif," kata jurucakap Jabatan Negara.



Bulan lalu, Taleban pantas menggulingkan pemerintah berusia 20 tahun yang disokong Barat sedang Presiden Joe Biden menyelesaikan penarikan diri untuk mengakhiri perang terpanjang Amerika.



Taleban telah menjanjikan pemerintahan inklusif yang akan mencerminkan komposisi etnik negara itu, tetapi semua kedudukan tertinggi telah diserahkan kepada pemimpin utama daripada gerakan dan rangkaian Haqqani - cabang Taleban yang paling ganas dan dikenali dengan serangan yang dahsyat.



Tiada seorang pun yang dilantik oleh pemerintah itu merupakan wanita.



"Kami akan berusaha membawa orang-orang dari bahagian lain di negara ini," kata jurucakap Zabiullah Mujahid, dan menambah bahawa itu adalah pemerintah sementara.



Tidak lama setelah barisan pemimpin baru diumumkan, Hibatullah Akhundzada, pemimpin tertinggi Taleban yang tidak pernah dilihat di khalayak ramai, mengeluarkan kenyataan yang mengatakan bahawa pemerintah baru akan "bekerja keras untuk menegakkan peraturan Islam dan undang-undang syariah".



Taleban kini berdepan dengan tugas memerintah Afghanistan, yang menghadapi cabaran ekonomi dan keselamatan, termasuk daripada cabang setempat kumpulan militan IS.



Beberapa tunjuk perasaan telah diadakan di serata negara itu sepanjang minggu lalu, dengan ramai warga Afghan bimbang akan berulangnya pemerintahan Taleban yang menindas dan kejam. - AFP.




"Kami perhatikan senarai nama yang diumumkan itu terdiri daripada individu yang merupakan anggota Taleban atau rakan rapat mereka dan tiada wanita.

Kami juga prihatin dengan pertalian dan rekod beberapa individu... Kami memahami bahawa Taleban telah membentangkan ini sebagai Kabinet penjaga. Namun, kami akan menilai Taleban dengan tindakannya, bukan kata-kata."

- Jurucakap Setiausaha Negara Amerika.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >