Topik diikuti
Pergi ke BHkuAmerika, sekutu kuat kuasa sekatan lanjut ke atas Myanmar
WASHINGTON: Amerika Syarikat (AS) dan sekutunya menguatkuasakan sekatan lanjut ke atas Myanmar kelmarin, bertepatan pada tahun kedua rampasan kuasa tentera, antara lain dengan mengenakan sekatan tenaga, pegawai dan anggota junta.
Washington mengenakan sekatan ke atas Suruhanjaya Kesatuan Pilihan Raya, pegawai perusahaan perlombongan dan tenaga, menurut satu kenyataan Jabatan Perbendaharaan AS.
Butir-butir mengenai langkah itu pertama kali dilaporkan oleh agensi berita Reuters.
Sekatan tersebut adalah yang pertama dikuatkuasakan AS ke atas pegawai Perusahaan Minyak dan Gas Myanmar (MOGE) di bawah program sekatan terhadap negara itu, kata jurucakap Jabatan Perbandaharaan.
Canada, Australia dan Britain juga mengumumkan sekatan tersebut.
Pegawai tertinggi tentera Myanmar telah melancarkan rampasan kuasa pada Februari 2021 selepas lima tahun perkongsian kuasa yang tegang, di bawah sistem politik kuasi-awam yang di bentuk oleh pihak tentera, yang membawa kepada suatu perubahan yang tidak pernah berlaku sebelum ini.
Myanmar telah berada dalam keadaan huru-hara sejak rampasan kuasa itu, dengan satu pergerakan bertindak menentang pihak tentera dari pelbagai sudut, menerima tindak balas ganas hingga mendorong kuasa-kuasa Barat mengenakan semula tindakan sekatan ke atas negara itu.
Sekatan yang dikuasakan oleh AS kelmarin itu disasarkan terhadap pengarah urusan dan timbalan pengarah urusan syarikat MOGE, yang menjadi satu-satunya sumber terbesar kewangan junta itu, menurut Jabatan Perbendaharaan.
Para pejuang hak asasi telah lama meminta dikenakan sekatan ke atas MOGE, tetapi Washington menangguhkannya.
Washington juga turut mengenakan sekatan ke atas Menteri Tenaga pentadbiran junta itu, ujar Jabatan Perbendaharaan itu lagi.
Menteri berkenaan dikatakan mewakili Myanmar dalam urusan sektor tenaga dalam negeri dan antarabangsa, serta menguruskan ehwal pengeluaran dan eksport minyak dan gas.
Dua buah perusahaan perlombongan dan suruhanjaya pilihan raya negara itu telah dikenakan sekatan oleh Washington.
PERATURAN KETAT PILIHAN RAYA
Jumaat lalu, junta itu telah mengumumkan persyaratan ketat bagi parti-parti politik yang ingin bertanding dalam satu pilihan raya yang dirancangkan pada Ogos depan.
Peraturan itu termasuk peningkatan besar keahlian mereka - satu langkah yang akan memencilkan penentang-penentang tentera serta mengukuhkan cengkamannya terhadap kuasa.
Pilihan raya yang mahu diadakan itu akan mengkhianati hasrat rakyat, jika pihak yang menentang tentera dikenakan tindakan kekerasan, kata Setiausaha Negara AS, Encik Antony Blinken, dalam satu kenyataan.
"Ramai aktivis utama politik menyatakan keengganan mereka menyertai pilihan raya itu, yang tentunya akan memburukkan lagi keadaan huru-hara di negara itu," ujar beliau. - Reuters.
