Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Anak Melayu S’pura ‘valedictorian’ sekolah tinggi Amerika

Harraz Hizam jadi pelajar terbaik Sekolah Tinggi Katy di Texas
May 19, 2024 | 5:30 AM
Harraz Hizam (dua dari kanan) dinamakan sebagai ‘valedictorian’ Sekolah Tinggi Katy di Texas bergambar bersama keluarga (dari kiri), ayahnya, Encik Hizam Haiyon; kakaknya, Cik Nur Sarah Hizam; dan ibunya, Cik Surianis Shukri, dalam majlis konvokesyen sekolahnya di Stadium Legacy Katy, Texas, pada 18 Mei (waktu Singapura).
Harraz Hizam (dua dari kanan) dinamakan sebagai ‘valedictorian’ Sekolah Tinggi Katy di Texas bergambar bersama keluarga (dari kiri), ayahnya, Encik Hizam Haiyon; kakaknya, Cik Nur Sarah Hizam; dan ibunya, Cik Surianis Shukri, dalam majlis konvokesyen sekolahnya di Stadium Legacy Katy, Texas, pada 18 Mei (waktu Singapura). - Foto ihsan SURIANIS SHUKRI

Meskipun dibayangi kecederaan pada tulang belakang dan perlu menjalani dua pembedahan, seorang anak Melayu/Islam Singapura muncul sebagai ‘valedictorian’ di sekolah tinggi di Texas, Amerika Syarikat.

‘Valedictorian’ ialah gelaran akademik bagi pelajar berprestasi tertinggi dalam kelas tahun akhir institusi akademik di Amerika dan yang dipilih untuk menyampaikan ucapan perpisahan di majlis konvokesyen.

Harraz Hizam, 17 tahun, yang berpindah bersama keluarganya ke Amerika pada 2008, mencapai prestasi paling cemerlang di Sekolah Tinggi Katy, di Katy, Texas, dengan kelulusan gred purata mata (GPA) 4.83.

Harraz Hizam (kiri) dinamakan ‘valedictorian’ di Sekolah Tinggi Katy, di laman Katy Magazine.
Harraz Hizam (kiri) dinamakan ‘valedictorian’ di Sekolah Tinggi Katy, di laman Katy Magazine. - Foto KATY MAGAZINE

Anak bongsu dua beradik itu lulus Diploma Sekolah Tinggi di akhir pengajian empat tahun. Sekolah tinggi di Amerika itu setaraf dengan sekolah menengah di Singapura.

Harraz menyampaikan ucapan ‘valedictorian’-nya menerusi video yang sudah dirakam di majlis konvokesyen sekolahnya kepada lebih 1,000 hadirin – termasuk sekitar 700 pelajar yang lulus – di Stadium Legacy, Katy, Texas, pada 17 Mei atau pagi 18 Mei waktu Singapura.

Harraz Hizam menyampaikan ucapannya menerusi rakaman pada majlis konvokesyen sekolahnya.
Harraz Hizam menyampaikan ucapannya menerusi rakaman pada majlis konvokesyen sekolahnya. - Foto SURIANIS SHUKRI
Majlis konvokesyen Sekolah Tinggi Katy, di Stadium Legacy Katy, Texas pada 17 Mei malam waktu tempatan atau 18 Mei pagi di Singapura.
Majlis konvokesyen Sekolah Tinggi Katy, di Stadium Legacy Katy, Texas pada 17 Mei malam waktu tempatan atau 18 Mei pagi di Singapura. - Foto SURIANIS SHUKRI

Apabila dihubungi Berita Harian, Harraz berkata dia berasa lega dan bersyukur kerana sebelum keputusan itu, dia mencapai kedudukan kedua tertinggi pada dua semester berturut-turut.

Remaja itu mengambil mata pelajaran Bahasa Inggeris, Bahasa Sepanyol, Sejarah, Matematik dan Sains, termasuk sains komputer, serta mengikuti kelas psikologi, ekonomi dan kajian.

Harraz ditimpa masalah tulang belakang (herniated disc) pada Oktober 2023 apabila beliau mula rasa sakit ketika menyertai kelas taekwondo.

Kecederaan itu semakin teruk kerana beliau juga terlibat dalam kegiatan papan luncur dan angkat beban, kata ibunya, Cik Surianis Shukri, 46 tahun.

Harraz Hizam kelihatan memakai jubah konvokesyen sekolahnya.
Harraz Hizam kelihatan memakai jubah konvokesyen sekolahnya. - Foto SURIANIS SHUKRI

Harraz khuatir prestasi dalam pelajarannya akan terjejas.

Keadaan bertambah rumit pada Mac dan dia menjalani pembedahan Laminektomi – iaitu untuk melegakan tekanan saraf tunjang – dan satu lagi pembedahan bagi mengeluarkan hematoma, iaitu lebam akibat pendarahan yang berlaku di kawasan pembedahan pertama.

Namun, Harraz bertekad mencapai yang terbaik.

Menurutnya Harraz, meskipun meraih gred ‘A’ bagi semua subjek, dia perlu mengambil kursus tambahan untuk menaikkan gred GPA-nya untuk bersaing bagi tempat pertama atau mengekalkan kedudukannya di tempat kedua.

Harraz turut menyertai kelab robotik sekolahnya dan telah memenangi 17 anugerah daripada pertandingan peringkat negeri dan sedunia.
Harraz turut menyertai kelab robotik sekolahnya dan telah memenangi 17 anugerah daripada pertandingan peringkat negeri dan sedunia. - Foto SURIANIS SHUKRI

“Saya sebenarnya sudah bersedia menerima hakikat menduduki tempat kedua. Jadi apabila saya dinamakan sebagai ‘valedictorian’, saya seolah-olah tidak percaya dan anda boleh bayangkan betapa terkejut saya menerima berita itu,” katanya.

Harraz dilahirkan di Singapura pada Ogos 2006 dan berpindah ke Houston, Texas bersama ibu bapa serta kakaknya pada 2008 disebabkan tugas ayahnya, Encik Hizam Haiyon.

Encik Hizam, 51 tahun, pernah mewakili Singapura dan syarikat Keppel bagi pertandingan kapal layar mengelilingi dunia, Clipper, pada 2007.

Beliau merupakan seorang jurutera projek kanan di sebuah syarikat pakar runding kejuruteraan, KENT, di Houston.

Harraz Hizam (kanan) bersama keluarganya, (dari kiri) kakak Cik Nur Sarah Hizam, 21 tahun; ibu Cik Surianis Shukri, 46 tahun; dan ayah Encik Hizam Haiyon, 51 tahun.
Harraz Hizam (kanan) bersama keluarganya, (dari kiri) kakak Cik Nur Sarah Hizam, 21 tahun; ibu Cik Surianis Shukri, 46 tahun; dan ayah Encik Hizam Haiyon, 51 tahun. - Foto ihsan SURIANIS SHUKRI

Harraz juga cemerlang dalam kegiatan kokurikulum. Antara lain, dia pengasas kelab robotik sekolahnya dan telah memenangi 17 anugerah dalam pertandingan peringkat dalam negeri dan dunia.

Dia juga pemain celo di orkestra sekolahnya dan menjadi relawan di beberapa pertubuhan di luar sekolah.

Harraz merupakan pemain celo di orkes sekolahnya sepanjang tiga tahun.
Harraz merupakan pemain celo di orkes sekolahnya sepanjang tiga tahun. - Foto ihsan HARRAZ HIZAM

“Budaya sekolah di Amerika berbeza dari negeri ke negeri, namun rata-rata kami digalak meneroka pelbagai bidang dan minat sejak di sekolah elementary (sekolah asas/rendah),” kata Harraz.

“Persaingan mula sengit di sekolah tinggi sebab ramai pelajar mahu mencapai kedudukan tinggi bagi menambah kelayakan mereka memasuki universiti atau maktab terbaik dalam negeri.”

Cik Surianis, yang bekerja sambilan sebagai jurugaya di Banana Republic di Texas, berkata beliau pada awalnya bimbang prestasi akademik anaknya akan terjejas dek kecederaan yang dialami.

“Harraz terpaksa ponteng sekolah beberapa minggu ekoran pembedahan itu dan perlu mewakili sekolahnya dalam beberapa pertandingan robotik yang memerlukannya keluar negeri pada April selepas itu.

“Apabila semuanya selesai, dia perlu bergegas mengejar balik kelas-kelas yang terlepas dan pada ketika itu juga, Harraz mula pasrah dan akur dia tidak mungkin meraih keputusan baik bagi peperiksaannya.

Harraz Hizam ketika sesi rakaman ucapannya.
Harraz Hizam ketika sesi rakaman ucapannya. - Foto SURIANIS SHUKRI

“Namun alhamdulillah, beliau berjaya mencapai yang terbaik,” ujarnya.

Harraz dijadual pulang ke Singapura untuk menjalani Perkhidmatan Negara (NS) pada Ogos.

Dia merancang menceburi bidang perubatan selepas mendapat inspirasi ketika melalui pembedahannya, dan mahu menyumbang kembali kepada masyarakat.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg