Topik diikuti
Pergi ke BHkuAnak saudara Prabowo dilantik Timbalan Menteri Kewangan
Anak saudara Prabowo dilantik Timbalan Menteri Kewangan
Anak saudara Prabowo dilantik Timbalan Menteri Kewangan
JAKARTA: Presiden Joko ‘Jokowi’ Widodo telah melantik dua “orang rapat” Encik Prabowo Subianto, sebagai timbalan menteri kewangan dan pertanian.
Langkah itu, menurut beberapa pakar bertujuan memastikan peralihan yang lancar bagi pentadbiran akan datang, tetapi mungkin menimbulkan risiko kepada ekonomi, lapor The Jakarta Post.
Di Istana Presiden pada 18 Julai, Presiden Jokowi merasmikan acara mengangkat sumpah anak saudara Encik Prabowo, Encik Thomas Djiwandono, sebagai Timbalan Menteri Kewangan, dan bekas pembantunya, Encik Sudaryono sebagai Timbalan Menteri Pertanian.
Majlis itu juga termasuk menaikkan pangkat Encik Yuliot Tanjung, yang telah berkhidmat di Lembaga Penyelaras Pelaburan sejak 1988, menjadi Timbalan Menteri Pelaburan.
Dalam ucapan perasmiannya, Encik Thomas berkata pelantikannya “menunjukkan kesinambungan” antara pemerintah sekarang dengan pentadbiran yang akan datang.
Beliau juga memastikan program utama Encik Prabowo “selaras” dengan prinsip dan kehematan kewangan pentadbiran semasa.
Menteri Kewangan, Cik Sri Mulyani Indrawati, berkata dalam sidang media berasingan selepas majlis itu, bahawa kementerian itu kini mempunyai dua timbalan.
Encik Thomas akan memberi tumpuan untuk merumuskan cadangan belanjawan negeri 2025 yang akan datang, yang akan menjadi belanjawan negeri pertama Encik Prabowo sebagai presiden.
Sementara itu, Encik Suahasil Nazara, yang memegang jawatan sejak Oktober 2019, akan menumpukan perhatian kepada penyeliaan bajet pada 2024.
“Dengan adanya Mas Thomas, segala-galanya lebih mudah kerana komunikasi terjalin secara automatik,” kata Cik Sri Mulyani.
Beliau menafikan bahawa keadaan sebelum ini, apabila Encik Thomas menyelaras dengan kementerian dari luar, tidak berjalan lancar.
Encik Thomas ialah penasihat ekonomi utama kepada Encik Prabowo dan bertemu dengan Cik Sri Mulyani pada Jun untuk membincangkan belanjawan baru, lapor Bloomberg.
Beliau juga membuat penampilan umum pertamanya pada 24 Jun bagi menghilangkan kebimbangan pelabur mengenai dasar fiskal dalam pentadbiran akan datang.
Encik Thomas adalah anak Encik Soedradjad Djiwandono, yang berkahwin dengan adik Encik Prabowo, Cik Biantiningsih Miderawati Djiwandono.
Bapanya ialah gabenor bank pusat pada 1990-an di bawah era Orde Baru dan kini merupakan bendahari agung di Parti Gerindra pimpinan Encik Prabowo.
Encik Thomas menghadiri Kolej Haverford di Pennsylvania untuk ijazah sarjana mudanya dan memperoleh ijazah sarjana dalam hubungan antarabangsa dan ekonomi antarabangsa dari Universiti Johns Hopkins.
Beliau juga dilantik sebagai Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Arsari, yang dimiliki oleh abang Encik Prabowo, Encik Hashim Djojohadikusumo.
Sementara itu, Encik Sudaryono adalah Ketua Lembaga Eksekutif Wilayah (DPD) Gerindra di Jawa Tengah.
Tinjauan menunjukkan bahawa beliau akan menjadi pesaing kuat untuk Gabenor Jawa Tengah, tetapi berundur untuk memberi tumpuan kepada tugasnya sebagai timbalan menteri.
Kededua, Encik Thomas dan Encik Sudaryono mempunyai hubungan rapat dengan Encik Prabowo, dan penganalisis berkata pelantikan mereka bersandar kepada nepotisme dan kronisme. – Agensi berita.
