WASHINGTON: Encik Reza Pahlavi, anak kepada Shah Iran yang digulingkan pada 1979 dan kini menetap di Amerika Syarikat, berkata beliau bersedia kembali ke Iran bagi memimpin proses peralihan ke arah pemerintahan demokratik, ketika negara itu terus bergolak dengan gelombang bantahan besar-besaran.
“Saya bersedia kembali ke Iran pada peluang paling awal. Saya sudah merancang ke arah itu,” kata Encik Pahlavi, 65 tahun dalam temu bual bersama Fox News menerusi rancangan Sunday Morning Futures bersama Cik Maria Bartiromo.
Beliau berkata peranannya adalah memastikan peralihan kuasa berjalan secara telus dan adil.
“Tugas saya adalah memimpin peralihan ini supaya tiada perkara yang terlepas pandang, memastikan ketelusan penuh, dan memberi peluang kepada rakyat untuk memilih pemimpin mereka secara bebas serta menentukan masa depan sendiri,” katanya.
Iran dilanda protes jalanan berskala nasional sejak akhir Disember, mencabar pemerintahan teokratik yang memerintah negara itu sejak Revolusi Islam 1979.
Dalam beberapa demonstrasi, slogan seperti “Hidup raja” turut kedengaran, satu rujukan langsung kepada Encik Pahlavi, yang kini tampil sebagai simbol harapan bagi sebahagian penunjuk perasaan.
Dilahirkan dalam buangan politik, Encik Pahlavi telah lama mendakwa peranan kepimpinan dalam kalangan pembangkang Iran dari luar negara. Ramai penunjuk perasaan di Iran turut mengharapkan sokongan antarabangsa bagi menekan pemerintah sedia ada.
Encik Reza Pahlavi ialah anak kepada Encik Mohammad Reza Shah Pahlavi, pemerintah monarki terakhir Iran yang digulingkan dalam revolusi yang membawa kepada penubuhan Republik Islam.
Beliau dilatih sejak kecil untuk mewarisi Takhta Merak Iran, namun sedang menjalani latihan sebagai juruterbang pesawat pejuang di Amerika Syarikat ketika revolusi itu tercetus.
Beliau menyaksikan dari kejauhan bagaimana bapanya, yang suatu ketika disokong kuasa Barat, bergelut mencari perlindungan sebelum meninggal dunia akibat barah di Mesir. Kejatuhan monarki itu meninggalkan Encik Pahlavi dan keluarganya dalam keadaan tanpa negara, bergantung kepada penyokong setia di luar negara.
Dalam tempoh beberapa dekad berikutnya, keluarganya dilanda tragedi, apabila adik perempuan dan adik lelakinya masing-masing membunuh diri. Encik Pahlavi muncul semula sebagai tokoh yang mahu memainkan peranan dalam membentuk masa depan Iran.
Dari kediamannya di pinggir bandar berhampiran Washington DC, penyokong menggambarkan beliau sebagai individu berprofil rendah dan mudah didekati. Pada 2022, ketika ditanya sama ada beliau melihat dirinya sebagai pemimpin gerakan protes Iran, beliau dan isterinya, Cik Yasmine, menjawab serentak: “Perubahan mesti datang dari dalam.”
Namun nada Encik Pahlavi semakin tegas sejak kebelakangan ini. Selepas serangan udara Israel pada 2025 yang mengorbankan beberapa jeneral kanan Iran, beliau menyatakan dalam satu sidang media di Paris bahawa beliau bersedia membantu memimpin pemerintah peralihan sekiranya Republik Islam runtuh.
“Ini bukan soal mengembalikan masa lalu,” katanya kepada wartawan. “Ia tentang menjamin masa depan demokratik untuk semua rakyat Iran.”
Beliau kemudian membentangkan pelan 100 hari bagi pentadbiran sementara, menegaskan komitmen terhadap pilihan raya bebas, kedaulatan undang-undang dan hak sama rata, termasuk untuk wanita.
Namun, legasi keluarga Pahlavi kekal memecahbelahkan.
Ada rakyat Iran mengingati era pemerintahan monarki sebagai zaman pemodenan pesat dan hubungan rapat dengan Barat. Yang lain pula mengaitkannya dengan penapisan, penindasan politik dan peranan polis rahsia Savak.
Encik Pahlavi secara konsisten menolak keganasan dan menjauhkan diri daripada kumpulan bersenjata seperti Mujahidin-e Khalq (MEK). Beliau menegaskan peralihan kuasa harus berlaku secara aman dan melalui referendum nasional.
Popularitinya kembali meningkat selepas kematian Mahsa Amini dalam tahanan polis pada 2022, yang mencetuskan bantahan meluas.
Namun usaha menyatukan pembangkang Iran kekal rapuh, dengan pengkritik menyatakan beliau belum berjaya membina organisasi politik yang kukuh di dalam negara.
Lawatan kontroversinya ke Israel pada 2023, termasuk pertemuan dengan Perdana Menteri Encik Benjamin Netanyahu, mencetuskan kritikan meluas.
Dalam satu wawancara bersama BBC dengan Cik Laura Kuenssberg, kenyataannya bahawa “apa sahaja yang melemahkan rejim” akan dialu-alukan turut mencetuskan perdebatan hangat.
Hari ini, Pahlavi menegaskan beliau bukan raja menunggu giliran, tetapi mahu menjadi tokoh penyatuan nasional. Sama ada rakyat Iran bersedia menerima kepimpinannya dari buangan kekal menjadi persoalan besar, dalam sebuah negara yang masih bergelut antara sejarah silam dan masa depan yang belum pasti. - Agensi berita


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg