TEKAD Barisan Nasional (BN) untuk merampas semula kerusi Parlimen yang jatuh ke tangan pembangkang cukup jelas.
Maka, pelbagai usaha telah dijalankan mereka untuk mencapai hasrat itu termasuk mempertaruh beberapa ikon dan nama besar di beberapa kerusi panas dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) ini.
TEKAD RAMPAS SEMULA KERUSI PARLIMEN
Di Selangor misalnya, strategi BN untuk menawan semula kerusi Parlimen di negeri itu adalah dengan menampilkan tokoh yang diyakini mampu menarik sokongan pengundi di kubu kuat pembangkang tersebut.
Pengerusi BN Selangor, Tan Sri Noh Omar, berkata BN menyasarkan untuk memenangi sekurang-kurangnya 10 daripada 22 kerusi Parlimen di Selangor sebagai pemangkin semangat kepada BN untuk bangkit dan merampas semula negeri penjana ekonomi terbesar Malaysia itu daripada genggaman pembangkang.
Apabila kerajaan persekutuan BN tumbang buat kali pertama dalam sejarah semasa Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) pada 2018, BN hanya berjaya memenangi dua kerusi Parlimen di Selangor manakala Pakatan Harapan (PH) yang kini dipimpin Datuk Seri Anwar Ibrahim berjaya memenangi 20 kerusi.
Namun, terdapat perubahan kepada beberapa kerusi Parlimen selepas itu hingga BN hanya tinggal satu kerusi Parlimen sahaja di Selangor apabila Parlimen dibubarkan, iaitu di Tanjong Karang yang dimenangi dan disandang Tan Sri Noh.
"Saya sudah cuba yang terbaik membawa tokoh di peringkat kebangsaan antaranya Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, Encik Khairy Jamaluddin, Encik Isham Jalil dan Ketua Penerangan Umno, Datuk Abdul Rahman Bakri yang kembali semula untuk memperkuat BN Selangor," ujarnya.
UBAH STRATEGI TARUH CALON KUAT, TAWAN PENGUNDI
Pemerhati politik menyifatkan strategi BN itu sebagai menunjukkan keyakinan mereka mampu menewaskan pembangkang.
Penganalisis kanan ehwal antarabangsa di Solaris Strategies Singapore, Dr Mustafa Izzuddin, berkata BN telah mengemas kini strateginya dengan mempertaruh calon di Selangor yang lebih muda, intelek, berpandangan reformis, tidak terlibat dengan rasuah dan mempunyai pengalaman mencukupi untuk mengendali kempen pilihan raya yang berjaya.
"BN sedang berusaha terus menawan Selangor kerana mereka yakin akan mencatat prestasi baik dalam pilihan raya ini.
"Bagi BN yang diterajui Umno, mereka bukan sahaja mahu mengekalkan apa yang mereka ada tetapi mereja juga mahu mengembangkan jangkauan mereka supaya dapat memiliki majoriti jelas di Parlimen dan dengan itu, membentuk kerajaan," ujarnya.
Namun menurut pemerhati politik, langkah mempertaruh calon seperti Tengku Zafrul dan Encik Khairy masing-masing di Kuala Selangor dan Sungai Buloh itu mungkin boleh dianggap sebagai langkah yang berisiko, dengan pertembungan di dua kawasan Parlimen itu boleh menghasilkan satu kejutan atau menyebabkan BN kehilangan dua calon tahap menteri.
Zamil Kanan Iseas-Institut Yusof Ishak, Dr Norshahril Saat, berkata adalah sukar untuk meramalkan bagaimana prestasi kedua-dua calon nama besar daripada BN itu buat masa ini kerana ini kali pertama mereka bertanding di kawasan Parlimen itu dan ia merupakan kubu kuat PH.
Di Sungai Buloh misalnya, PH menang besar dengan majoriti 26,634 undi semasa PRU14.
Malah, terdapat banyak perkembangan juga sejak PRU14 dan antara lain, Datuk Seri Azmin Ali yang memenangi kerusi Parlimen Gombak dengan tiket PH ketika itu kini bertanding di kerusi Parlimen tersebut dengan tiket Perikatan Nasional (PN).
"Oleh itu, adalah sukar untuk meramalkan bagaimana prestasi Tengku Zafrul dan Encik Khairy. Pastinya mereka nama besar tapi di pihak pembangkang juga ada nama besar yang bertanding di Selangor.
"Ini mungkin tidak menjejas kerajaan negeri tetapi akan menjadi petanda baik bagaimana pilihan raya negeri akan diadakan pada masa akan datang serta hala tuju pengundi Selangor," ujar Dr Norshahril.
Tambahnya, strategi mempertaruh nama besar bukan strategi yang unik kerana ia juga digunakan semua gabungan termasuk Gerakan Tanah Air (GTA) yang mempertaruh calon daripada kalangan selebriti seperti Datuk Seri Eizlan Yusof di Sabak Bernam dan Dr Ahmad Idham di Port Dickson.
TERUS KEMPUNAN ATAU BERHASIL AKHIRNYA?
Namun lebih daripada itu, terdapat pelbagai faktor serta pertimbangan lain yang akan mempengaruhi cara rakyat mengundi.
Dr Norshahril berkata ini termasuk sama ada mereka kenali ahli politik itu, menyokong parti berkenaan, tempat mereka tinggal di bandar atau kawasan perkampungan atau pembentukan penduduk di kawasan mereka.
Menurut Dr Mustafa, jumlah pengundi yang akan keluar mengundi juga merupakan faktor utama, lebih-lebih lagi kerana mengundi tidak mandatori di Malaysia.
"Gabungan mana yang akan meraih manfaat akan bergantung pada pembentukan etnik pengundi yang mengundi serta pengundi muda yang jumlahnya lebih ramai kali ini disebabkan usia pengundi muda yang diturunkan daripada 21 kepada 18 tahun.
"Kalau lebih ramai orang Melayu keluar mengundi, ini akan memberi lebih manfaat kepada BN... walaupun PN mungkin akan mengambil sebahagian undi Melayu daripada mereka.
"Sementara itu, jumlah pengundi Cina yang ramai keluar mengundi pula akan memberi lebih manfaat kepada PH," ujarnya.
Bagaimanapun bagi Selangor khususnya, beliau tidak menjangkakan dominasi kerusi Parlimen yang jelas.
"BN mungkin akan menghasilkan beberapa kejutan tetapi saya tidak fikir Selangor akan bertukar daripada dikuasai PH ke BN... dalam satu pusingan pilihan raya sahaja kerana PH juga mempunyai banyak sokongan di Selangor," kata Dr Mustafa.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg