Subuh
5:41
Syuruk
6:59
Zuhur
1:05
Asar
4:21
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Dunia
28
0

ANALISIS BERITA

Pengguna lebuh raya M'sia lega ada pilihan sistem bayar tol

Jan 28, 2022 | 05:30 AM



CAMPUR tangan pemerintah mengenai pelaksanaan pembayaran tol menggunakan teknologi Identifikasi Frekuensi Radio (RFID), melegakan pengguna lebuh raya PLUS selepas tertekan dengan keputusan mendadak pihak syarikat konsesi melaksanakan sistem baru itu.



Sebelum ini, pengguna lebuh raya meluahkan rasa tidak puas hati dengan pelaksanaan RFID untuk kenderaan ringan persendirian Kelas 1 di laluan Juru, Pulau Pinang hingga ke Skudai, Johor di Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) bermula 15 Januari lepas, menyebabkan kesesakan di plaza tol akibat penutupan 19 lorong SmartTAG di 16 plaza tol.



Berikutan itu, pada mesyuarat Kabinet 19 Januari lepas memutuskan pengguna lebuh raya perlu diberi pilihan sama ada mahu menggunakan RFID, Touch 'n Go (TnG), atau SmartTAG untuk bayaran caj tol.



Susulan arahan pemerintah tersebut pihak PLUS membuka semula 16 plaza tol dengan 19 lorong TnG sebagai lorong SmartTAG menjelang 25 Januari sebagai persediaan menghadapi perjalanan balik kampung sempena perayaan Tahun Baru Cina.



Sebanyak 18 plaza tol lagi akan turut berbuat demikian selepas perayaan itu sehingga 19 Februari.



Halangan bagi lorong bertindih yang lebih pantas akan ditempatkan di plaza tol yang sesak bagi memastikan lalu lintas dapat diurus dan disuraikan dengan cepat.



Selain itu, zon pengesanan visual RFID akan dicat pada lorong terbabit bagi membantu pengguna memposisikan kenderaan mereka bagi pengesanan optimum.



PLUS juga telah menugaskan pembantu perkhidmatan pelanggan di kesemua 158 lorong RFID di 74 plaza tol bagi membantu pengguna yang terperangkap dengan peranti pengesan mudah alih.



Bagi perunding hartanah, Encik Wan Hazmir Abu Bakar, beliau sudah dua tahun menggunakan teknologi RFID untuk membayar tol dan mendapati ia sistem pembayaran yang mudah dan pantas.



"Saya tidak lagi risau mengenai baki kredit kerana sistem RFID membolehkan penambahan secara automatik menerusi aplikasi e-dompet TnG.



"Cuma jangan letak pengimbas RFID di lorong sama dengan smartTAG kerana akan berlaku konflik dan menyebabkan kegagalan kedua-dua sistem.



"TnG juga wajar memperkenalkan kad RFID yang hanya perlu diletakkan di atas papan pemuka (dashboard) bagi menggantikan pelekat RFID supaya boleh digunakan pada kenderaan lain atau sistem pembayaran lain seperti kad TnG," katanya kepada Berita Harian.



Peniaga makanan kering, Encik Naharuddin Isa, yang sering menggunakan lebuh raya PLUS dari Johor Bahru sehingga ke Kuala Lumpur, masih tunggu dan lihat sebelum bertukar ke sistem RFID kerana banyak laporan negatif mengenai sistem tersebut.



Beliau yang sudah lama menggunakan SmartTAG melihat sendiri pengguna RFID terpaksa mencuba beberapa kali sebelum berjaya melintasi palang di lorong RFID sehingga menyebabkan kenderaan di belakang beratur menunggu lama.



"Saya agak lega juga apabila pengguna seperti saya diberi pilihan menggunakan SmartTAG, dan bersedia bertukar ke sistem RFID sekiranya pihak konsesi memperbaikinya agar tidak menyusahkan pengguna," katanya.



Bagi pemandu perkhidmatan e-hailing Grab, Encik Ramlan Said, beliau tetap menggunakan SmartTAG kerana sistem tersebut masih cekap dan melancarkan perjalanannya setiap kali melalui plaza tol yang sesak di waktu sibuk.



Katanya, beliau tidak mahu membazir wang menukar kepada sistem baru itu kerana pemerintah sendiri mengarahkan agar pengguna diberi pilihan sama ada menggunakan TnG, SmartTAG atau RFID semasa menggunakan lebuh raya PLUS.



Bagi Pengarah EFKON Asia Sdn Bhd (EFKON Asia), Encik Helmuth Blasch, sistem SmartTAG diyakini mampu mempercepatkan pelaksanaan lebuh raya bebas kesesakan berbanding sistem RFID yang dianggap masih baru.



Katanya, sistem yang terbukti berkesan itu bersedia membantu mempercepatkan pelaksanaan sistem aliran bebas trafik berbilang lorong dan membantu mengurangkan kesesakan di plaza tol.



Beliau berkata, pihak berkuasa dan syarikat konsesi lebuh raya harus melihat kepada keperluan menambah dan bukannya mengurangkan lorong SmartTAG jika matlamatnya adalah untuk mengurangkan kesesakan di plaza tol.



Menurutnya, sistem menggunakan kad TnG dan unit pembaca tol SmartTAG itu sehingga kini mempunyai lima juta pengguna dan jumlahnya semakin berkembang.



Pada masa yang sama, pelbagai pihak mahu penambahbaikan wajar diberi perhatian bagi memastikan objektif pelaksanaan teknologi dimanfaatkan sepenuhnya.



Antaranya, keberkesanan sistem pemancar dan pengimbas tag RFID sedia ada.



Ketika ini, ada pengguna terpaksa memperlahankan kenderaan semasa memasuki lorong RFID bagi membolehkan imbasan tepat.



Ada juga mengadu tag dipasang tidak dapat dikesan dan dibaca semasa melalui plaza tol sekali gus mengakibatkan mereka terpaksa berhenti dan mengundur beberapa kali. Sekiranya masih gagal, mereka terpaksa mengundur untuk menukar laluan bagi menggunakan kad TnG.



Di samping itu, kelekaan pengguna memastikan jumlah wang baki secukupnya dalam akaun e-dompet turut menjadikan suasana di lorong RFID sesak.



Ini disebabkan sistem sedia ada tidak akan membenarkan duit ditolak sekiranya jumlah minimum bayaran tidak mencukupi.



 



"Saya tidak lagi risau mengenai baki kredit kerana sistem RFID membolehkan penambahan secara automatik menerusi aplikasi e-dompet TnG.



Cuma jangan letak pengimbas RFID di lorong sama dengan smartTAG kerana akan berlaku konflik dan menyebabkan kegagalan kedua-dua sistem."
- Perunding hartanah, Encik Wan Hazmir Abu Bakar.



 



LATAR BELAKANG RFID



Malaysia pada September 2019 umum kuat kuasa permit masuk kenderaan bermotor asing (VEP) di semua laluan di Kompleks Bangunan Sultan Abu Bakar (KSAB) dan Bangunan Sultan Iskandar (BSI), Johor ditangguh hingga notis baru keluar.



Kementerian Pengangkutan, dalam kenyataan sebelum ini berkata penangguhan semasa waktu aliran trafik sibuk itu susulan beberapa isu berkaitan sukar dapat janji temu pasang tag teknologi identifikasi frekuensi radio (RFID).



Sebelum ini, media melapor kuat kuasa sistem tag VEP bagi kenderaan asing masuk Malaysia bermula pada 1 Oktober 2020 dengan pelaksanaan ikut tiga fasa.



Fasa pertama bermula dengan kenderaan pendaftaran asing yang masuk Malaysia menerusi BSI dari Woodlands dan KSAB, Tuas, kedua-duanya dari pintu masuk sempadan Malaysia-Singapura.



Fasa kedua babitkan semua pintu masuk sempadan antara Malaysia dengan Thailand, seterusnya fasa ketiga babitkan pintu masuk sempadan antara Malaysia-Brunei-Indonesia.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >