Topik diikuti
Pergi ke BHkuAncaman peluru berpandu cetus operasi rahsia bawa Trump keluar Turkey
WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump, berkata keputusan membawanya keluar dari Turkey secara rahsia pada Julai lalu dengan menggunakan pesawat Air Force One sebagai umpan dibuat atas nasihat Perkhidmatan Rahsia dan tentera Amerika, susulan ancaman keselamatan yang dipercayai berkaitan Iran.
Operasi luar biasa itu dilaksanakan selepas perisikan Amerika mengesan ancaman khusus untuk menyerang pesawat yang membawa Presiden menggunakan peluru berpandu darat ke udara ketika Encik Trump menghadiri sidang puncak Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (Nato) di Ankara pada 8 Julai.
Dua pegawai Amerika berkata maklumat perisikan menunjukkan seorang individu berhampiran lokasi sidang puncak dikesan memiliki peluru berpandu mudah alih yang boleh dilancarkan dari bahu.
Pihak Iran juga dipercayai mengetahui lokasi Encik Trump menginap di Ankara, termasuk tingkat bangunan tempat beliau berada.
Ancaman itu dianggap cukup serius sehingga pasukan keselamatan melaksanakan operasi memperdaya pihak yang dipercayai mahu menyasarkan Presiden.
Encik Trump pada mulanya menaiki pesawat lama Air Force One di hadapan kamera sebelum keluar semula melalui bahagian lain pesawat.
Beliau kemudian dibawa menggunakan kenderaan katering lapangan terbang ke sebuah pesawat tentera C-32A yang lebih kecil dan meninggalkan Turkey secara rahsia menuju Britain.
Air Force One yang dinaikinya di hadapan media pula meneruskan penerbangan sebagai pesawat umpan dengan penumpang di dalamnya.
Setiausaha Negara Amerika, Encik Marco Rubio, dan Setiausaha Perbendaharaan, Encik Scott Bessent, dilaporkan berada dalam pesawat umpan itu, manakala Setiausaha Pertahanan, Encik Pete Hegseth, menaiki pesawat yang membawa Encik Trump.
Bercakap kepada wartawan di Pangkalan Bersama Andrews pada 11 Ogos, Encik Trump berkata beliau hanya mengikut arahan pasukan keselamatannya.
“Ia terpulang sepenuhnya kepada Perkhidmatan Rahsia. Saya hanya mengikut apa yang mereka mahu lakukan,” katanya.
“Saya mengikut Perkhidmatan Rahsia dan tentera. Mereka mahu saya menggunakan penerbangan dan pesawat berbeza. Tahap keselamatannya sama. Mereka mahu saya melakukannya, jadi saya lakukan apa yang mereka katakan.”
Ditanya sama ada beliau mengetahui mengenai ancaman khusus ketika itu, Encik Trump berkata beliau tidak meminta banyak maklumat mengenainya.
“Saya rasa memang ada ancaman ketika itu. Saya tidak banyak bertanya mengenainya. Saya menerima banyak ancaman,” katanya.
“Saya mempunyai banyak ancaman yang anda tidak tahu.”
Operasi itu turut menimbulkan persoalan mengenai penggunaan pesawat yang membawa pegawai dan penumpang lain sebagai umpan serta keputusan Rumah Putih merahsiakan lokasi sebenar Presiden daripada kumpulan wartawan yang mengiringinya dan sebahagian pegawai pentadbiran.
Encik Trump sebelum itu tiba di Turkey menggunakan pesawat Boeing mewah yang dihadiahkan Qatar dan kini digunakan sebagai pesawat sementara Presiden.
Ketika hendak meninggalkan Turkey, beliau secara terbuka berkata akan menggunakan Air Force One lama ke Britain supaya anggota tentera Amerika di sana dapat melihat pesawat baharu tersebut.
Rancangan yang diumumkan itu sebenarnya tidak dilaksanakan.
Di hadapan kamera televisyen di Ankara, Encik Trump dilihat menaiki Air Force One lama, sebelum secara rahsia dipindahkan ke pesawat C-32A.
Operasi itu berlaku ketika ketegangan Amerika-Iran berada pada tahap tinggi dan perang antara kedua-dua negara memasuki bulan keenam. Ketika Encik Trump berada di Turkey, tentera Amerika turut melancarkan serangan terhadap Iran selepas pasukan Iran menyerang kapal di sekitar Selat Hormuz.
Encik Trump sebelum ini turut menjadi sasaran rancangan pembunuhan yang dikaitkan dengan Iran.
Satu rancangan upahan untuk membunuh beliau yang dipercayai didalangi pihak Iran menerusi orang tengah pernah dibongkar semasa pentadbiran mantan Presiden Joe Biden.
Dua percubaan membunuh Encik Trump ketika kempen pilihan raya 2024 termasuk insiden beliau terkena tembakan di telinga di Butler, Pennsylvania – bagaimanapun tidak mempunyai kaitan dengan ancaman Iran.
Pendedahan mengenai operasi di Turkey turut mencetuskan persoalan mengenai tahap keselamatan pesawat pemberian Qatar yang digunakan sebagai Air Force One sementara.
Tentera Udara Amerika menegaskan pesawat itu selamat dan dilengkapi teknologi canggih yang diperlukan untuk menjalankan misi Presiden.
Rumah Putih pula tidak mengesahkan butiran penuh operasi tersebut.
Pengarah Komunikasi Rumah Putih, Encik Steven Cheung, berkata terdapat banyak pihak yang mahu menyasarkan Presiden dan pemerintah Amerika akan menggunakan semua langkah yang tersedia untuk menangani ancaman berkenaan.
Penggunaan pesawat umpan bukan sesuatu yang belum pernah dilakukan Presiden Amerika.
Pada 2000, Presiden Bill Clinton melakukan penerbangan rahsia menggunakan pesawat tanpa tanda pengenalan ketika melakukan perjalanan antara India dengan Pakistan atas faktor keselamatan, sementara Air Force One meneruskan perjalanan berasingan.
Dalam operasi itu, sekumpulan kecil wartawan Rumah Putih dimaklumkan terlebih dahulu mengenai langkah keselamatan berkenaan.
Dalam kes Encik Trump, wartawan yang mengiringi Presiden tidak mengetahui beliau telah bertukar pesawat, menjadikan operasi tersebut antara langkah keselamatan paling luar biasa yang pernah digunakan untuk membawa seorang Presiden Amerika keluar dari negara asing. - Agensi berita
