KINSHASA: Sembilan penonton dan dua anggota polis terkorban akibat rempuhan ketika konsert bintang muzik Afrika, Fally Ipupa, berlangsung di stadium terbesar di ibu negara DR Congo, semalam. (29 Okt)
Menteri Dalam Negeri, Encik Daniel Aselo Okito memberitahu portal berita Actualite.cd, terlampau ramai penonton dibenarkan memasuki Stadium Martyrs yang boleh memuatkan 80,000 pengunjung, bagi menyaksikan konsert malam itu.
"Seramai 11 individu maut, termasuk dua anggota polis," katanya kepada pemberita di lokasi kejadian sambil menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa.
Beliau kesal dengan nahas "kehilangan nyawa manusia dan kerosakan peralatan" yang sering dilaporkan berlaku ketika acara diadakan di stadium berkenaan.
"Penganjur terbabit melangkaui kapasiti 100 peratus... mereka mesti dihukum," katanya.
Ketika kejadian, stadium itu dilaporkan begitu padat dan sesak dengan penonton, malah seorang saksi dilaporkan mendakwa 'peminat turut melimpahi kawasan koridor stadium berkenaan.'
"Kematian terbabit berpunca daripada rempuhan yang menyebabkan mangsa lemas," kata seorang anggota polis di lokasi kejadian kepada ACP.
Menurut laporan agensi itu yang membuat liputan konsert terbabit di stadium, polis menghadang tiga kawasan untuk melindungi sekitar padang, tempat duduk tetamu kenamaan dan pentas.
"Polis tidak dapat bertahan lama susulan keadaan ketika itu," menurut laporan ACP.
Fally Ipupa, 44, yang juga anak kelahiran Kinshasa, merupakan antara artis terkenal Afrika dengan albumnya terjual di seluruh dunia. - AFP
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg