Subuh
5:41
Syuruk
7:00
Zuhur
1:05
Asar
4:21
Maghrib
7:09
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Dunia
28
0

Anggota Taleban kepung bandar Ghazni

Jul 14, 2021 | 05:30 AM



KABUL: Para anggota Taleban telah mengelilingi bandar Ghazni di tengah Afghanistan, merampas rumah orang awam bagi memerangi pasukan keselamatan, menurut pegawai pemerintah kelmarin.



Ini merupakan serangan terbaharu pemberontak yang mengancam kedudukan pusat bandar itu.



Serangan terkini itu berlaku di ibu kota wilayah di mana pihak Taleban melakukan serangan baharu bagi merampasnya, susulan pengunduran tentera asing.



"Kedudukan di bandar Ghazni sangat genting, Taleban menggunakan rumah orang awam sebagai tempat persembunyian dan melancarkan serangan ke atas pasukan keselamatan Afghan (ANDSF), ini membuat keadaan sangat sukar bagi ANDSF untuk beroperasi menentang Taleban," kata Encik Hassan Rezayi, anggota Majlis Wilayah Ghazni.



Keganasan terus meningkat di Afghanistan sejak Presiden Amerika, Encik Joe Biden, mengumumkan pada April lalu bahawa tentera Amerika akan mengundur sebelum 11 September ini, mengakhiri pendudukan selama 20 tahun di Afghanistan.



Panglima tentera Amerika yang memimpin peperangan di Afghanistan, Jeneral Encik Austin Miller, akan melepaskan pemerintahannya Isnin ini, langkah simbolik sebagai mengakhiri konflik paling lama Amerika.



Rundingan damai antara anggota Taleban dan pemerintah telah berjalan di Doha, Qatar, tetapi para pegawai berkata tidak banyak kemajuan dicapai sejauh ini.



Penduduk tempatan berkata, pertempuran antara kedua-dua pihak terus berlaku di wilayah selatan di Kandahar yang merupakan kubu kuat anggota Taleban dan di mana pasukan khas telah dikerah untuk mempertahan wilayah itu.



Ghazni berada di laluan antara wilayah Kabul dan Kandahar



"Sejak empat hari lalu, anggota bersenjata Taleban telah menyerang... bandar Kandahar dari arah barat," kata Encik Hamidzai Lalay, bekas anggota parlimen yang berjuang bersama-sama pasukan bersenjata menentang anggota Taleban di Kandahar.



"Pasukan keselamatan Afghan, termasuk pasukan khas, kini memerangi anggota Taleban dan berusaha memaksa mereka berundur."



Jurucakap Kementerian Pertahanan Afghanistan, Encik Fawad Aman, berkata keadaan di Kandahar "terkawal sepenuhnya di bawah ANDSF" yang menjalankan operasi udara dan di lapangan sejak beberapa hari lalu.



Sekurang-kurangnya 40 anggota Taleban terbunuh dalam beberapa serangan udara yang dilancarkan Tentera Udara Afghanistan.



Kementerian pertahanan negara itu, dalam satu kenyataan, mengesahkan siri serangan itu dilancarkan Ahad lalu.



Dalam serangan di Helmand, wilayah selatan Afghanistan, 14 militan terbunuh dan dua yang lain cedera selepas pesawat perang menyasarkan militan di daerah Garmser.



"Antara mereka yang terbunuh adalah Mawlawi Hijrat, wakil komander anggota Taleban yang dikenali sebagai Sara Keta atau Unit Merah untuk Garmser.



"Selain itu, 20 militan terkorban dan 35 yang lain cedera ketika tentera udara menyasarkan kumpulan Taleban di daerah Dilaram di wilayah barat Nimroz.



"Selain itu, enam militan terbunuh dan lima yang lain cedera selepas tentera udara menggempur kedudukan angggota Taleban di daerah Tagab, wilayah timur Kapisa," katanya.



Turut dilaporkan, sejumlah besar senjata dan peluru milik militan juga berjaya dimusnahkan dalam serangan itu.



Keganasan semakin memuncak sejak tentera Amerika dan Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (Nato) mula meninggalkan Afghnaistan.



Bagi meredakan keadaan, pihak keselamatan Afghanistan terus melancarkan serangan bagi menekan puak anggota Taleban yang sebelum ini mendakwa berjaya menawan lebih 250 daripada hampir 400 wilayah di negara itu.



Sehingga kini, belum ada sebarang kenyataan daripada kumpulan militan berhubung serangan udara itu. - Agensi




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >