Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Angka korban gempa landa wilayah China kian bertambah

Gempa berpusat di Luding - sebuah daerah pergunungan sekitar 226km ke barat daya Chengdu
Sep 7, 2022 | 5:30 AM
HULUR BANTUAN: Pekerja penyelamat memindahkan penduduk di daerah Luding, pusat gempa kuat yang melanda China kelmarin. Sekurang-kurangnya 46 orang terbunuh sejauh ini. - Foto EPA-EFE
HULUR BANTUAN: Pekerja penyelamat memindahkan penduduk di daerah Luding, pusat gempa kuat yang melanda China kelmarin. Sekurang-kurangnya 46 orang terbunuh sejauh ini. - Foto EPA-EFE -

BEIJING: Sekurang-kurangnya 46 orang terbunuh apabila gempa sekuat 6.8 pada Skala Richter melanda wilayah barat daya China, Sichuan, kelmarin, yang paling kuat pernah melanda kawasan itu sejak 2017, menggegar ibu kota wilayah Chengdu dan beberapa wilayah lain.

Sehingga 8.30 malam kelmarin, 16 orang dilaporkan hilang dan lebih 50 yang lain cedera, kata Encik Wang Feng, Timbalan Pengarah Jabatan Pengurusan Darurat wilayah Sichuan.

Menurut Pusat Jaringan Gempa Bumi China, pusat gempa itu adalah di Luding - sebuah daerah pergunungan sekitar 226 kilometer ke barat daya Chengdu.

Antara yang terbunuh itu, 29 orang adalah dari Prefektur Autonomi Tibet Ganzi, dan 17 orang lagi adalah dari bandar Ya'an.

Lebih 50,000 penduduk Ganzi dan Ya'an telah dipindahkan ke kawasan yang lebih selamat.

Sebilangan rumah dan jalan raya mengalami kerosakan akibat tanah runtuh, sementara sistem perhubungan tergendala sekurang-kurangnya di sebuah kawasan, menurut stesen televisen pemerintah.

Bagaimanapun, tiada kerosakan dilaporkan berlaku di stesen-stesen ampangan dan kuasa hydro yang terletak sekitar 50 kilometer dari pusat gempa itu.

Sichuan telah menggerakkan tindakan segera bagi menangani kejadian gempa itu sekitar 6 petang kelmarin.

Penguasa wilayah itu telah mengerahkan lebih 6,500 pekerja penyelamat, empat helikopter dan dua kenderaan udara yang tidak berpemandu ke kawasan gempa tersebut.

"Beberapa gegaran menyusul, dan jalan-jalan raya telah ditutup. Kami terpaksa memanjat timbunan sampah sarap untuk sampai ke lapangan di bandar Moxi," kata seorang anggota penyelamat dari pasukan bomba hutan wilayah itu.

Moxi adalah sebuah bandar di daerah Luding.

Di Luding, gegaran terlalu kuat hingga sukar untuk seseorang terus berdiri, sementara rumah-rumah banyak yang mengalami keretakan, menurut media pemerintah Perkhidmatan Berita China.

Gegaran sekuat 4.2 pada Skala Richter menyusul beberapa minit kemudian, melanda bandar Ya'an, kira-kira 100km ke barat daya Chengdu.

Rakaman video yang dipunggah di halaman media sosial menunjukkan tiang-tiang lampu berhayun sementara para penghuni berebut-rebut keluar daripada bangunan menuju jalan raya.

Sejumlah 39,000 orang tinggal di sekitar 20 kilometer dari pusat gempa itu dan 1.55 juta penduduk lagi tinggal sekitar 100 kilometer jaraknya, menurut stesen televisyen pemerintah.

Kementerian Kewangan dan Kementerian Pengurusan Darurat telah membuat peruntukan sejumlah 50 juta yuan ($10 juta) untuk bantuan dan kerja-kerja menyelamat.

Pemerintah wilayah juga telah membuat peruntukan berjumlah 50 juta yuan bagi wilayah Ganzi itu.

Bekalan bantuan termasuk sejumlah 3,000 khemah dan 10,000 katil lipat telah dikirim ke daerah Luding.

Ini adalah gempa paling kuat yang pernah melanda Sichuan sejak Ogos 2017, yang melanda prefektur Aba pada Skala Richter 7.0.

Gempa terkuat yang pernah melanda Sichuan dicatatkan pada Mei 2008, pada Skala Richter 8.0 berpusat di Wenchuan, mengakibatkan hampir 70,000 orang terbunuh dan mengalami kerosakan besar.

Gempa kelmarin dapat dirasakan hingga ke Changsha di wilayah Hunan dan Xi'an di wilayah Shaanxi, beberapa ratus kilometer jaraknya, menurut media sosial. - Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg