Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Angka korban puting beliung di Sri Lanka cecah lebih 350 orang, 366 masih hilang

Dec 1, 2025 | 1:14 PM
Wellampitiya, Colombo,  puting beliung sri lanka
Seorang pemuda mengangkat warga emas ketika mereka meredah jalan raya yang ditenggelami air selepas hujan lebat melanda daerah Wellampitiya, di pinggir Colombo, Sri Lanka, pada 30 November 2025. - Foto AFP

KELANIYA (Sri Lanka): Angka korban di Sri Lanka akibat Puting Beliung Ditwah meningkat kepada 355 orang dengan 366 dilapor masih hilang, kata pegawai pada 1 Disember, ketika air banjir memecahkan empangan dan operasi menyelamat diteruskan hingga hari keempat.

Hampir sejuta orang terjejas ekoran hujan lebat dan banjir yang melanda sebahagian besar negara kepulauan Asia Selatan itu, sekali gus memaksa hampir 200,000 orang berpindah ke 1,275 tempat perlindungan, kata Pusat Pengurusan Bencana dalam satu kenyataan.

Hujan rekod yang melanda negara itu sejak 27 November telah menyebabkan kejadian tanah runtuh di wilayah tengah, sementara air sungai menenggelamkan kawasan bandar di seluruh negara.

Lebih 24,000 anggota polis, tentera dan tentera udara masih giat berusaha menyelamatkan keluarga yang terkandas akibat banjir, kata pihak berkuasa.

Lebih 120 orang diterbangkan ke tempat selamat dengan helikopter oleh tentera udara selepas air memecahkan empangan Takungan Mavil Aru di bahagian timur pulau itu.

Sekitar 2,000 orang lagi turut dipindahkan ke tempat lebih tinggi dan selamat, kata pihak tentera dalam satu kenyataan.

Berpuluh-puluh keluarga terperangkap di rumah mereka akibat banjir di ibu kota komersial Colombo – salah satu tempat yang paling teruk terjejas.

Di pinggir bandar Kelaniya di Colombo, seperti di banyak bahagian lain di negara itu, bantuan dan makanan yang dimasak segera dibekalkan kepada mangsa tetapi ramai penduduk mendakwa masih belum menerima bantuan yang mencukupi.

Lebih 17,000 orang yang tinggal di tempat perlindungan, menunggu air surut agar dapat kembali ke rumah.

“Saya dan kakak saya terperangkap di tingkat atas rumah kami bersama empat anak kami selama dua hari...

“Kami hanya mempunyai biskut dan air untuk diberikan kepada mereka malam tadi,” kata Cik Sunethra Priyadarshani, 37 tahun.

Keluarga itu diselamatkan oleh sebuah bot yang menghantar makan tengah hari kepada mereka.

“Kami hanya mempunyai pakaian yang kami pakai sekarang ini. Kami akan tinggal di rumah seorang mak cik buat masa ini. Tetapi kami benar-benar memerlukan bantuan,” tambah Cik Sunethra.

Air banjir dijangka surut secara bertahap dalam tempoh tiga hari akan datang, kata jabatan pengairan, ketika puting beliung bergerak ke arah selatan India.

Bekalan elektrik, air dan komunikasi akan dipulihkan secara beransur-ansur dalam tempoh tiga hari akan datang, kata pihak berkuasa. – Reuters.

Laporan berkaitan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg