Anies atasi Ahok dalam kiraan awal pemilihan Gabenor Jakarta

MANTAN menteri pendidikan Encik Anies Baswedan dan pasangannya, Encik Sandiaga Uno, kini mendahului pusingan kedua pilihan raya Gabenor Jakarta.

Menurut kiraan pantas sehingga 5 petang ini oleh lima badan yang mengendalikan kiraan undi awal dan disiarkan saluran MetroTV menunjukkan, gandingan Anies-Sandiaga meraih antara 57.29 peratus hingga 59.1 peratus undi, mengatasi gandingan Ahok-Djarot yang mendapat antara 40.9 peratus hingga 42.71 peratus undi.

Kelima-lima badan yang menjalankan kiraan awal dan disiarkan MetroTV ialah Charta Politika Indonesia, Populi Centre, matarakyat, VoxPol Center dan Indo Barometer.

Laman berita DetikNews turut menunjukkan gandingan Anies-Sandiaga mendahului kiraan awal, dengan meraih antara 55.98 peratus hingga 58.23 peratus undi - mengatasi pasangan Ahok-Djarot yang mendapat antara 41.77 peratus dan 44.02 peratus.

Laman berita DetikNews menampilkan kiraan awal undi oleh tiga badan: Lembaga Survei Indonesia (LSI), Saiful Mujani Research & Consulting (SMRC), dan Polmark.

Ketiga-tiganya telah membuat kiraan awal meliputi 96 peratus hingga 97.5 peratus undi.

Oleh kerana keputusan rasmi pemilihan Gabenor Jakarta itu hanya akan diketahui Mei ini, kiraan pantas akan memberi gambaran sama ada Encik Basuki akan dapat mengekalkan jawatan Gabenor yang diwarisi Presiden Joko Widodo, yang dipilih sebagai Presiden pada 2014.

Encik Ahok, 50 tahun, gabenor bukan Islam pertama ibu kota itu selama lebih 50 tahun dan pemimpin etnik Cina pertama, menang pusingan pertama Februari lalu namun belum cukup margin untuk mengelak pusingan kedua.

Perlumbaan itu dianggap penting kerana ahli politik menyaksikannya sebagai batu loncatan dalam pilihan raya presiden 2019, namun ia dilingkari kontroversi berikutan dakwaan Ahok menghina al-Quran.

Dakwaan itu, menarik ratusan ribu penyokong konservatif Islam di jalanan di ibu kota ini membuat bantahan besar-besaran tahun lalu dan Ahok kini dibicarakan atas tuduhan menghina agama dalam kes dilihat pengkritik sebagai bermotif politik.

"Ini adalah penduduk Islam majmuk Indonesia berdepan politik Islam jenis baharu yang dipengaruhi pengikut tegar," kata seorang penganalisis di Pusat Kajian Strategik dan Antarabangsa berpusat di sini, Encik Tobias Basuki kepada AFP.

Sementara itu, 

Ketua Umum Partai Gerindra, Encik Prabowo Subianto, melahirkan rasa optimistis pasangan Anies Baswedan-Sandiaga Uno memenangi Pilihan Raya Gabenor Jakarta. Malah, beliau meminta pasangan itu serius bekerja untuk rakyat dan tidak mencuri wang rakyat.

"Rakyat menuntut pengabdian yang setulus-tulusnya. Benar-benar harus bekerja untuk rakyat, tidak boleh korupsi sama sekali," kata Encik Prabowo yang ditukil MetroTV semasa ditemui pihak media di Roemah Djoeang, Kebayoran Baru, Jakarta Selatan, hari ini.