KUALA LUMPUR: Penyanyi dan pelakon ikonik Anita Sarawak muncul kembali, melenyapkan segala buah mulut dan andaian orang mengenai 'kehilangannya' sejak 2011.
Menurut laman Malay Mail, biduanita yang terkenal kerana lagu 'hit' Seksis dan Asmara, ketika dihubungi penulis lirik dan mantan wartawan hiburan Encik Roslen Fadzil, telah melenyapkan segala khabar angin yang tersebar mengenainya dan suami, Encik Mahathir Abdullah.
Encik Roslen menambah Anita menafikan berita bahawa beliau sakit malah menegaskan beliau tidak bercerai daripada suaminya.
"Perbualan kami ringkas dan saya juga tidak mahu bertanya terlalu banyak soalan kerana saya mahu menghormati privasi Anita.
"Apa yang boleh saya beritahu anda adalah kisah yang orang sebarkan tentang Anita seperti beliau sakit, sudah meninggal atau bercerai semuanya tidak benar.
"Apabila beliau menghubungi saya, beliau bersama suaminya," jelasnya sambil menambah Anita sedih mendengar khabar angin dirinya sudah meninggal dunia.
Encik Roslen berkata walaupun mereka tidak menghubungi bagi tempoh yang panjang, perbualannya dengan penyanyi yang kini berusian 70 tahun itu kekal sama seperti dahulu.
Peluang untuknya bersembang dengan Anita berlaku awal bulan ini.
"Suara Anita masih sama seperti dahulu. Beliau ceria sebagaimana yang saya kenali dahulu.
"Anita tidak lagi menyanyi sejak menyepikan diri dan menjadi suri rumah sepenuh masa. Beliau menghabiskan banyak masa dengan kegiatan yang digemarinya seperti berkebun di rumah," ujarnya.
Encik Roslen bagaimanapun berkata beliau tidak pasti di mana pasangan itu kini tinggal kerana mereka suka mengembara.
Anita dan suaminya berhijrah ke Amerika Syarikat sekitar 2011 dan difahamkan mereka sudah bermastautin di negara itu.
Difahamkan juga mereka tinggal di Las Vegas selama 12 tahun lalu dan kekal tidak dapat dikesan media buat sekian lama.
Anita yang nama sebenarnya Ithnaini Mohd Taib, dilahirkan di Singapura dan merupakan anak pelakon, Datuk S. Roomai Noor dan Siput Sarawak.
Sepanjang kerjayanya, beliau pernah menerima gelaran 'Top Diva' di Asia dan merupakan penghibur Asia yang terbilang.
Beliau juga adalah salah seorang penyanyi Melayu yang berjaya melahirkan album solo pada setiap dekad berbeza selama 40 tahun, selain Datuk M. Nasir, Datuk Sharifah Aini, Datuk Khadijah Ibrahim, Ramlah Ram, Datuk Jamal Abdillah, Datuk Hattan dan Noraniza Idris.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg