KUALA LUMPUR: Hanya sehari selepas dipecat, bekas pemimpin Umno, Tan Sri Annuar Musa, membuka kepada orang ramai untuk menyertai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) baru, Muafakat Nasional (MN).

Beliau, selaku Presiden MN, berkata permohonan untuk menyertai MN dibuka lebih awal atas permintaan ramai.

Dalam satu hantaran yang dikongsikan di Facebook lewat malam kelmarin, bekas Ahli Parlimen Ketereh itu menjelaskan sepatutnya permohonan itu dibuka minggu depan.

Berdasarkan maklumat di laman web berkenaan, antara aktiviti yang bakal dianjurkan oleh MN merangkumi sesi sidang meja bulat antaranya dengan tokoh masyarakat dalam pelbagai bidang serta kepakaran.

Ini termasuk penganjuran jelajah dan seminar tertutup di setiap negeri bagi membawa semangat muafakat dan mempromosi keahlian MN serta konvensyen bertaraf nasional.

Bekas Pegawai Khas Tan Sri Annuar, Encik Fariz Hadi, memaklumkan, permohonan sebagai ahli baharu MN mendapat sambutan memberangsangkan.

"Alhamdulillah tak sampai satu jam, 1,000 permohonan telah diterima," ujar beliau.

Sebelum itu, MN merupakan parti kerjasama antara UMNO dan Parti Islam SeMalaysia (PAS), yang dibentuk pada 2019, iaitu setahun selepas Pakatan Harapan (PH) berjaya membentuk kerajaan pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Pada 25 November lalu, bekas Setiausaha Agung Umno itu memutuskan untuk mengaktifkan kembali MN, sebuah pertubuhan NGO yang diasaskannya.

Katanya, MN akan diaktifkan untuk memupuk nilai muafakat, perpaduan ummah dan keutuhan sistem politik negara yang lebih baik serta menekankan bahawa NGO itu akan berpaksikan pada Rukun Negara dan Perlembagaan Malaysia.

Pada Jumaat lalu, UMNO mengesahkan Tan sri Annuar dipecat dan digugurkan dari parti secara automatik di bawah Fasal 20.11 dan Fasal 20.9 Perlembagaan UMNO.

Ini susulan kritikan terhadap Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, selain didakwa membantu kempen parti musuh pada PRU15. - Agensi berita.