Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Anwar lebih yakin dengan kesepaduan Kerajaan Perpaduan

May 16, 2023 | 5:30 AM
TEMU KAKITANGAN KERAJAAN: Datuk Seri Anwar Ibrahim (tengah) menyampaikan ucapan semasa Majlis Perhimpunan Bulanan Perdana Menteri bersama warga Jabatan Perdana Menteri (JPM). Turut sama, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi (dua dari kiri) dan Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Mohd Zuki Ali (dua dari kanan). - Foto BERNAMA
TEMU KAKITANGAN KERAJAAN: Datuk Seri Anwar Ibrahim (tengah) menyampaikan ucapan semasa Majlis Perhimpunan Bulanan Perdana Menteri bersama warga Jabatan Perdana Menteri (JPM). Turut sama, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi (dua dari kiri) dan Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Mohd Zuki Ali (dua dari kanan). - Foto BERNAMA -

PUTRAJAYA: Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim, lebih yakin dengan kesepaduan Kerajaan Perpaduan ketika ini yang semakin kukuh berbanding pada ketika mula mengambil alih kerajaan.

Beliau berkata ketika awal pertukaran kerajaan, bermacam-macam percubaan mahu menggagalkannya termasuk menerusi perakuan sumpah (SD) dan sebagainya.

"Saya lebih yakin, sebagaimana kita lihat Konvensyen Kerajaan Perpaduan (Ahad), yang telah menetapkan satu bentuk kerajaan kukuh.

"Pada peringkat awal saya ambil itu, macam-macam percubaan, SD dan sebagainya dan sampai kepada Yang Dipertuan Agong dan sultan-sultan.

"Tetapi apabila beberapa bulan berlalu, nampak lebih kemas. Dalam sistem politik demokrasi, siapa pun boleh rebut kuasa ikut jalur yang sah.

"Ketua parti baik Pakatan Harapan (PH), Barisan Nasional (BN), Gabungan Parti Sarawak (GPS), Gabungan Rakyat Sabah (GRS), parti besar bagi komitmen yang sangat jelas.

"Pengukuhan menerusi perhimpunan pada Ahad jelas bahawa sekurang-kurangnya untuk bertahun akan datang ini, tidak ada lagi layanan terhadap percubaan untuk sabotaj kerajaan yang ada," katanya semasa majlis Perhimpunan Bulanan Jabatan Perdana Menteri (JPM) pada Isnin, lapor Berita Harian Malaysia.

Datuk Anwar berkata menerusi beberapa program yang dilaksana Kerajaan Perpaduan, telah memberi keyakinan, negara mungkin mantap kalau kerajaan itu stabil dan ada jangka panjangnya sehingga Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata kestabilan politik sedia ada dalam negara telah menyumbang kepada beberapa prestasi yang baik antaranya ekonomi negara mencatat pertumbuhan lebih baik daripada jangkaan sebanyak 5.6 peratus pada suku pertama 2023.

"Kalau lihat angka-angka Jabatan Perangkaan menunjukkan suku tahun pertama itu jauh lebih baik daripada yang diunjurkan November dan Disember tahun lepas... inflasi berkurang, jumlah penganggur berkurang dan pelaburan juga bertambah," katanya.

Beliau berkata pertambahan pelaburan di Malaysia memerlukan semua pihak di peringkat pusat dan negeri untuk bekerja serentak bagi membolehkan proses pelaburan lancar.

"Pihak (negeri), perbandaran harus bekerja sederap supaya tahap kelulusan itu dapat dipercepatkan. Ini akan memastikan kita dapat pertahankan kadar pertumbuhan yang lebih meyakinkan dan serlahkan komitmen dan kesungguhan," katanya.

"Ini akan dapat memastikan kita dapat pertahankan rentak pertumbuhan yang lebih meyakinkan. Jadi ini terserah komitmen dan kesungguhan kita," katanya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg