Subuh
5:35
Syuruk
6:56
Zuhur
1:03
Asar
4:25
Maghrib
7:07
Isyak
8:20
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Dunia
28
0

PILIHAN RAYA MALAYSIA - HARI PENAMAAN CALON

Anwar, mantan Menteri Besar Perak antara calon saingan 4 penjuru di Tambun

Nov 06, 2022 | 05:30 AM



Dari Ipoh, Perak - KERUSI parlimen 'panas' di Tambun, Perak mengundang pertandingan empat penjuru seperti yang dijangka, dengan tiga tokoh politik mapan bersaing bagi memenangi hati penduduk di sana.



Lebih 160,000 pengundi di kawasan itu perlu memilih antara Datuk Seri Anwar Ibrahim - yang juga calon Perdana Menteri bagi Pakatan Harapan (PH); penyandang kerusi parlimen dan bekas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, dari Perikatan Nasional (PN); dan Datuk Seri Aminuddin Md Hanafiah, dari Barisan Nasional (BN), yang juga ketua divisyen Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (Umno) di Tambun.



Melengkapkan senarai calon bagi kerusi parlimen di Tambun ialah Encik Abdul Rahim Tahir dari Pejuang, yang mewakili Gerakan Tanah Air.



Bercakap kepada wartawan selepas pencalonannya untuk bertanding di Tambun dirasmikan, Datuk Seri Anwar berkata beliau harap pengundi di kawasan itu akan mendengar tentang program alternatif yang disampaikan oleh PH dan memberi sokongan.



"Pilihan raya adalah tentang mendekati orang awam dan memberi mereka peluang untuk mendengar tentang program alternatif... berbeza dengan PN atau BN... kami tidak melakukan kegiatan, program atau dasar yang sama.



"Saya harap mereka dapat mencerna apa yang kami katakan dan memberi kami sokongan mereka," kata beliau.



Datuk Seri Ahmad Faizal, seorang anak kelahiran Ipoh, pula berkata beliau dan pasukannya berjuang bagi rakyat dan tidak terlalu mempedulikan label yang diberikan kepadanya oleh sebahagian penyokong PH.



Sebahagian penyokong yang berhimpun di luar Pusat Penamaan Calon di Dewan Sri Kledang di Institut Latihan Perindustrian Ipoh, Meru semalam, telah melaungkan kata-kata seperti "Katak" dan 'Pengkhianat' apabila melihat Datuk Seri Ahmad Faizal.



Pada PRU14, Datuk Seri Ahmad Faizal, yang juga dikenali dengan nama samaran 'Peja', memenangi kerusi parlimen di Tambun di bawah bendera PH.



Beliau memenangi kerusi itu selepas menerima 38,661 undi dengan majoriti 5,320 undi, mengatasi calon BN dan Parti Islam SeMalaysia (PAS).



Namun, menyusuli itu, beliau yang merupakan Timbalan Presiden Kedua Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), berpindah ke bawah bendera PN.



Bersatu antara parti yang menganggotai PN.



Datuk Seri Ahmad Faizal berkata beliau percaya sebagai anak kelahiran Perak, pengundi akan memilih calon yang merupakan anggota mereka sendiri.



"Saya harap kempen PRU-15 ini dapat dijalankan dengan penuh beradab dan berhemah untuk menjaga kestabilan politik negara kita.



"Saya berharap pengundi di Tambun mengutamakan pemimpin tempatan dan pemimpin tempatan itu pula datang dari kalangan parti yang tak galakkan rasuah, salah guna kuasa dan sebagainya," ujar beliau.



Semalam, nama-nama calon bagi Pilihan Raya Negeri di Tambun - bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Manjoi dan Hulu Kinta - juga diumumkan.



Selain di Perak, dua lagi negeri - Pahang dan Perlis - akan mengadakan pilihan raya bagi kerusi DUN serentak dengan pilihan raya kerusi parlimen.



Kebanyakan pengundi di Tambun menetap di kawasan Manjoi, yang mempunyai 86,000 orang.



Keseluruhan, terdapat lebih dua juta pengundi di Perak, termasuk sekitar 500,000 pengundi baru.



Orang Melayu merangkumi 51 peratus pengundi - sekitar sejuta orang - di Perak. Ini diikuti Cina (690,000 orang); India (246,000 orang), Orang Asli (sekitar 41,000) dan beberapa kaum lain.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >