KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim, telah menolak dakwaan yang mengatakan bahawa penganjuran majlis Rumah Terbuka Malaysia Madani sempena Aidilfitri di enam negeri sebagai pembaziran mahupun tindakan 'menunggang agama'.
Beliau berkata program tersebut bukan dilaksanakan atas kapasiti peribadi, sebaliknya dianjurkan kerajaan sebagai usaha mendampingi dan menyantuni rakyat.
"Kerajaan di mana-mana pun akan buat (majlis rumah terbuka), bukan membazir kerana kita beri makan kepada rakyat. Bagi saya ia tidak membazir.
"Kalau buat atas kapasiti peribadi termasuk keluarga, wajarlah guna wang dari poket sendiri, tetapi ini (anjuran) kerajaan untuk rakyat dan (perbelanjaan) jauh lebih murah (jika) buat di Alor Setar, Kedah berbanding di Putrajaya," katanya.
Ribuan penduduk Kedah hadir memeriahkan Majlis Rumah Terbuka Malaysia Madani di Hotel Raia, pada Sabtu.
Orang ramai mula membanjiri lokasi bermula 9 pagi walaupun program dijadual bermula pada 10 pagi.
Datuk Anwar tiba di bilik jamuan VIP pada 10 pagi dengan diiringi Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Setakat 11 pagi, dianggarkan lebih 10,000 pengunjung hadir untuk menikmati jamuan disediakan di khemah tetamu selain beramah mesra dengan kepimpinan Pusat.
Sebelum ini, Perikatan Nasional (PN) mempertikaikan penganjuran Majlis Rumah Terbuka Malaysia Madani bersama Perdana Menteri di enam negeri yang disifatkan sebagai keterlaluan.
Majlis rumah terbuka sempena Aidilfitri akan diadakan di Kedah, Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kelantan dan Terengganu, dengan Kedah menjadi lokasi pertama pada Sabtu.
Ditanya mengenai dakwaan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor, tidak dijemput ke majlis yang berlangsung Sabtu, Datuk Seri Anwar berkata beliau difahamkan pihak penganjur sudah menghantar jemputan kepada Menteri Besar Kedah itu.
"Saya difahamkan (Muhammad Sanusi) dijemput...Tuanku (Sultan Kedah Al-Aminul Karim Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah) akan berangkat, jadi MB (Menteri Besar) pun dijemput," katanya.
Baru-baru ini, Datuk Muhammad Sanusi berkata program terbabit melibatkan kos yang tinggi sedangkan kerajaan Persekutuan sebelum ini menguar-uarkan supaya langkah penjimatan dibuat oleh semua pihak.
Katanya, seharusnya jamuan rumah terbuka Aidilfitri diadakan di satu saja lokasi iaitu di Seri Perdana atau di sekitar Putrajaya seperti kelaziman sebelum ini.
"Ini program kempen pilihan raya bukan rumah terbuka tetapi ambil kesempatan daripada Aidilfitri apa program sesuai nak buat kempen? Maka buat rumah terbuka. Kita bukan nak halang rumah terbuka kepada orang ramai tetapi sebagai kerajaan yang cakap tentang langkah jimat cermat, tak payah buat program besar-besar, itu bertentangan dengan diri mereka sendiri," katanya.
Anjuran Majlis Rumah Terbuka Malaysia Madani menjadi platform terbaik dalam memberi ruang dan peluang kepada Perdana Menteri dan anggota Jemaah Menteri menyantuni rakyat.
Jabatan Perdana Menteri (JPM) berkata rakyat sebelum ini tidak pernah berpeluang meraikan sambutan Aidilfitri bersama pemimpin negara kerana kesukaran untuk berkunjung ke Seri Perdana. - Agensi berita.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg