KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim, mengadakan pertemuan dengan pengurusan tertinggi Perbendaharaan di Putrajaya kelmarin antara lain untuk membincangkan mengenai Belanjawan 2023.
Beliau mengadakan perbincangan tersebut bersama Timbalan Ketua Setiausaha Perbendaharaan (Dasar), Datuk Johan Mahmood Merican; dan Timbalan Ketua Setiausaha Perbendaharaan (Pelaburan), Datuk Anis Rizana Mohd Zainudin.
"Kami menelaah serta menekuni urusan Perbendaharaan, terutama soal rakyat dan Belanjawan 2023.
"Kami juga menyelesaikan urusan kerajaan sebelum melangkah ke tahun baru 2023," katanya dalam satu catatan Facebook.
Terdahulu, Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Johari Abdul, mengesahkan Datuk Anwar dijadual membentangkan Belanjawan 2023 di Dewan Rakyat pada 24 Februari depan.
Belanjawan itu akan dibentangkan beliau, yang juga Menteri Kewangan, pada sidang pertama Parlimen Ke-15 bermula 13 Februari depan.
Sementara itu, Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Seri Ahmad Maslan, berkata Belanjawan 2023 itu akan mengambil kira manifesto semua pihak dalam kerajaan perpaduan.
Beliau berkata sekretariat khas telah ditubuhkan untuk meneliti manifesto yang akan dimasukkan dalam Belanjawan tersebut.
Beberapa penambahbaikan juga akan dipertimbangkan dalam Belanjawan baru itu untuk memastikan ia memenuhi keperluan dan agenda rakyat, tambahnya.
"Terdapat pelbagai parti dalam kerajaan perpaduan. Kesemuanya mempunyai manifesto baik yang boleh dilaksanakan buat rakyat," katanya pada satu sidang media ketika melawat pejabat Jabatan Kastam.
Datuk Ahmad juga berkata kerajaan sekarang akan meneruskan beberapa inisiatif pentadbiran terdahulu, seperti bantuan RM150 ($45.70) kepada setiap pelajar sekolah tanpa mengira pendapatan keluarga, yang akan disalurkan mulai 12 Januari.
"Perkara mengenai Belanjawan akan dibincangkan pada mesyuarat kementerian pada 3 Januari.
"Terpulang kepada Perdana Menteri untuk menentukan tema belanjawan dan kandungannya," katanya.
Pentadbiran terdahulu di bawah Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob telah membentangkan Belanjawannya buat 2023, tetapi ia tidak diluluskan mahupun dibahaskan di Dewan Rakyat sebelum Parlimen dibubarkan pada 10 Oktober lalu bagi membuka laluan kepada Pilihan Raya Umum ke-15.
Sementara itu, Sultan Johor, Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar, berkenan menerima menghadap Datuk Anwar di Istana Bukit Serene, Johor, semalam.
Kenderaan yang membawa Perdana Menteri ke-10 itu tiba di istana berkenaan kira-kira 10.30 pagi.
Sebelum itu, Ahli Parlimen Tambun itu disambut Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, setibanya di Lapangan Terbang Antarabangsa Senai pada 9.55 pagi.
Ini kali kedua Datuk Anwar menghadap Sultan Ibrahim dan kali pertama beliau ke negeri itu selepas mengangkat sumpah jawatan pada 24 November lalu.
Pengerusi Pakatan Harapan itu pernah menghadap Sultan Johor tiga hari selepas mengangkat sumpah. - The Star, BHM.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg