Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Anwar perhebat kempen sebagai perdana menteri dalam saingan sengit

Nov 19, 2022 | 5:30 AM
DATUK SERI ANWAR IBRAHIM
DATUK SERI ANWAR IBRAHIM -

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Anwar Ibrahim perhebat kempennya untuk menjadi perdana menteri Malaysia, dirangsang oleh dapatan tinjauan yang meletakkan beliau di hadapan dalam persaingan pada pilihan raya umum (PRU) ini.

Pengundian hari ini disifatkan sebagai paling sengit bagi negara di Asia Tenggara ini sejak mencapai kemerdekaan pada 1957.

Tinjauan pendapat meramalkan hasil PRU ke-15 ini tidak akan ada parti atau perikatan yang dijangka mendapat majoriti mudah yang diperlukan untuk membentuk kerajaan.

Perikatan yang dipimpin oleh Datuk Anwar - yang selama 25 tahun ini terlepas peluang untuk menggantikan Tun Dr Mahathir Mohamad, dan kemudian dipenjara setelah didapati bersalah atas tuduhan meliwat - kini menjadi pemimpn pembangkang.

Beliau dijangka akan memperoleh kerusi paling banyak tetapi tidak cukup untuk mendapatkan majoriti, menurut tinjauan dan penganalisis.

Perikatan saingannya, termasuk yang diketuai oleh perdana menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, dan mantan perdana menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, mungkin bergabung untuk mendapatkan bilangan kerusi yang diperlukan dan sekali gus menafikan peluang Datuk Anwar memegang jawatan tertinggi itu.

Isu-isu utama bagi para pengundi adalah ekonomi, dengan pertumbuhan dijangka lembab, dan kadar inflasi meningkat.

Sebilangan rakyat Malaysia kecewa dengan pergolakan politik sekarang, dan menurut mereka keadaan itu telah mengalihkan perhatian para pemimpin politik daripada soal pembangunan ekonomi.

Perikatan pimpinan Datuk Anwar, Pakatan Harapan (PH), diramalkan mendapat undi paling banyak iaitu sekitar 35 peratus, menurut satu tinjauan oleh sebuah firma penyelidikan British, YouGov pada Rabu lalu.

Perikatan pimpinan Tan Sri Muhyiddin dijangka peroleh 20 peratus undi dan Barisan Nasional (BN) sekitar 17 peratus, menurut dapatan tinjauan itu.

Perikatan Datuk Ismail Sabri dan Tan Sri Muhyiddin adalah sebahagian daripada parti perikatan yang memerintah tetapi bertanding secara berasingan dalam PRU kali ini.

Datuk Anwar, yang juga bekas menteri kewangan dan timbalan perdana menteri, telah tampil di rapat-rapat umum raksasa dan berikrar untuk mewujudkan kestabilan politik, memperbaiki keretakan antara kaum Melayu dan memulihkan ekonomi negara dengan mewujudkan peluang pekerjaan dan pelaburan.

"PRU kali ini bukan tentang soal menggantikan perdana menteri," kata Datuk Anwar semasa berucap pada Khamis lalu.

"Pilihan raya kali ini adalah satu peluang terbaik untuk menyelamatkan negara dan melakukan perubahan menyeluruh bagi memulihkan negara kita yang tercinta ini. - Reuters.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg