Anwar sangkal dakwaan buat pakatan rahsia dengan BN bentuk kerajaan
Anwar sangkal dakwaan buat pakatan rahsia dengan BN bentuk kerajaan
BAYAN LEPAS: Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim, menyangkal dakwaan Tun Dr Mahathir Mohamad, kononnya beliau telah membuat suatu pakatan rahsia dengan Barisan Nasional (BN), untuk membentuk kerajaan baru selepas Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-15.
Sambil menyifatkannya sebagai satu fitnah, Datuk Seri Anwar juga mendakwa bahawa pemimpin Gerakan Tanah Air itu, dan juga ketua Perikatan Nasional, Tan Sri Muhyiddin Yassin, serta Tan Sri Abdul Hadi Awang, berkomplot mengada-adakan dakwaan itu untuk memburukkan kempen-kempen PRU15 Pakatan Harapan.
Sementara itu, Pengerusi BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, pula dipetik oleh akhbar Utusan Malaysia sebagai berkata bekas Perdana Menteri itu 'bapa dalam melencongkan isu', kerana terpaksa membuat dakwaan itu kerana mengetahui partinya akan kalah teruk.
"Dr Mahathir ini sering menganggap dirinya semua benar, spekulasinya kononnya benar.
"Beliau melakukan telahan demikian kerana khuatir partinya akan mengalami kekalahan teruk, terbukti apabila partinya meletakkan calon di semua kerusi dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan semuanya kalah serta hilang wang deposit.
"Jadi, beliau tidak boleh menganggap popularitinya berada pada tahap ketika memerintah Malaysia selama 22 tahun," katanya pada sidang media di kediamannya di Kampung Sungai Nipah Darat, Perak, semalam.
Semasa melancarkan parti Pejuang Sabah di Kota Kinabalu kelmarin, Dr Mahathir dilaporkan berkata Datuk Seri Anwar, selaku Pengerusi PH, akan membantu menggugurkan kes mahkamah yang dihadapi Datuk Ahmad Zahid dan membebaskan Datuk Seri Najib Razak dari penjara sekiranya disokong menjadi perdana menteri.
Dr Mahathir juga dipetik sebagai berkata beliau mendapat maklumat bahawa Datuk Anwar dan Datuk Ahmad Zahid sudah mengadakan perbincangan untuk bekerjasama.

