PETALING JAYA: Ketua Pembangkang Malaysia Datuk Seri Anwar Ibrahim mengulangi iltizam hendak membawa arus perubahan kepada negaranya.
Pemimpin Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu turut mengakui wujudnya sistem dan amalan 'bobrok' yang menentang prinsip demokrasi dan leluhur.
"Hal ini akan terus dicabar dan disanggah," ujar Datuk Anwar, yang juga Anggota Parlimen (AP) Port Dickson.
Beliau berkata demikian menerusi satu masukan Facebook setelah mengadakan sidang media di Hotel Eastin, Petaling Jaya, lewat petang semalam.
Menurutnya, sidang tersebut dianjurkan seusainya mesyuarat bersama AP, Menteri Besar dan pucuk pimpinan PKR.
"Kami tidak berganjak meski diugut dan ditawar pelbagai habuan agar memberi dukungan kepada pemerintah yang paling lemah dalam sejarah Malaysia.
"Saya turut memberi sedikit komen terkait kemungkinan ada kerjasama dengan mana-mana pihak termasuk Umno yang mesti dipasak pada prinsip tatakelola yang baik, menolak keras rasuah serta kebejatan dan menyelesai masalah kemiskinan yang semakin parah," ujarnya.
Sebelum ini, terdapat khabar angin tentang kerjasama yang bakal terjalin antara PKR dengan Umno yang sebelum ini bermusuhan.
Dalam sidang media yang sama, Datuk Anwar menepis soalan tentang kerjasama tersebut dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15. Katanya, berita seperti itu masih berada di tahap awal dan bersifat spekulatif.
"Apakah kepentingan saya menafikannya? Saya berbual dengan semua orang. Saya turut membincangkan jalinan kerjasama dengan Tun Mahathir Mohamad. Justeru mengapa saya tidak boleh berbincang dengan orang lain?" ujarnya.
Jemputan ke sidang media itu dikirimkan pagi semalam menerusi aplikasi mesej WhatsApp oleh setiausaha media Datuk Anwar.
Desas-desus itu tercetus ekoran terbitnya laporan akhbar Mingguan Malaysia Ahad lalu. Laporan tersebut menyatakan bahawa Datuk Anwar mengesahkan terdapat perbincangan antara dua parti berkenaan.
Awal pagi semalam, pengarah perhubungan PKR Fahmi Fadzil ditukil akhbar Utusan Malaysia sebagai berkata bahawa kerjasama PKR dan Umno belum lagi dipertimbang oleh Pakatan Harapan (PH). Namun, beliau yakin kerjasama itu diterima pihak akar umbi. Akhbar Mingguan Malaysia merupakan surat khabar edisi Ahad Utusan Malaysia.
Sebelum ini, kuasa majoriti yang dipegang Perdana Menteri Malaysia Muhyiddin Yassin diragui. Keraguan itu tercetus setelah beberapa AP Umno menarik balik sokongan mereka buatnya awal tahun ini.
Justeru Tan Sri Muhyiddin mengumumkan beliau akan mengadakan pilihan raya secara mendadak sejurus tamat keadaan darurat Ogos ini atau sebelum tempoh tersebut kalau pandemik berjaya dikawal.
Dalam pada itu, presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi memberitahu Tan Sri Muhyiddin pada 26 Februari lalu bahawa partinya tidak akan bekerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysa (PPBM) dalam pilihan raya seterusnya.
Tokoh PKR veteran seperti Nurul Izzah Anwar, anak perempuan Datuk Anwar, dan Rafizi Ramli turut dikatakan bakal kembali bertarung dalam persada politik.
Datuk Anwar memberitahu Mingguan Malaysia bahawa beliau akan cuba meyakinkan Cik Nurul Izzah dan Encik Rafizi supaya kembali ke dunia politik.
Hal ini disebabkan mereka memiliki ciri dan perwatakan sesuai sebagai pelapis pucuk pimpinan sekarang.
Cik Nurul Izzah dan Encik Rafizi meninggalkan dunia politik masing-masing pada Disember 2018 dan 2019 akibat kemelut dalaman PKR.
Kemelut tersebut memecahbelahkan parti hingga satu pihak menyebelahi Datuk Anwar manakala pihak satu lagi menyokong mantan timbalan presiden parti Datuk Azmin Ali.
Selain perihal politik, Datuk Anwar sempat berkongsi pengalaman mendapatkan vaksin Covid-19 pagi semalam.
Beliau menerima suntikan vaksin bersama isteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.
Bersangkutan isu pengedaran vaksin pula, Datuk Anwar menggesa kerajaan supaya tangkas mengenal pasti masalah dihadapi.
Katanya, kempen itu mesti dipergiat sambil menghadapi masalah yang mungkin melambatkan proses tersebut. - Agensi berita.
"Kami tidak berganjak meski diugut dan ditawar pelbagai habuan agar memberi dukungan kepada pemerintah yang paling lemah dalam sejarah Malaysia. Saya turut memberi sedikit komen terkait kemungkinan ada kerjasama dengan mana-mana pihak termasuk Umno yang mesti dipasak pada prinsip tatakelola yang baik, menolak keras rasuah serta kebejatan dan menyelesai masalah kemiskinan yang semakin parah."
- Datuk Seri Anwar Ibrahim.