Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Anwar ucap tahniah kepada calon PH yang berjaya di Pulai, Simpang Jeram

Sep 10, 2023 | 3:00 PM
ENCIK NAZRI ABDUL RAHMAN: Menang di Simpang Jeram dengan 13,844 undi.
ENCIK NAZRI ABDUL RAHMAN: Menang di Simpang Jeram dengan 13,844 undi. - Foto INSTAGRAM PAKATAN HARAPAN
ENCIK SUHAIZAN KAYAT: Menang di Pulai dengan 48,283 undi.
ENCIK SUHAIZAN KAYAT: Menang di Pulai dengan 48,283 undi. - Foto fail

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Anwar Ibrahim mengucapkan tahniah kepada calon Pakatan Harapan (PH), Encik Suhaizan Kayat dan Encik Nazri Abdul Rahman yang masing-masing memenangi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram pada lewat Sabtu malam.

Perdana Menteri yang juga Pengerusi PH, menyifatkan kemenangan kedua-dua calon itu sebagai perkembangan positif bagi Kerajaan Perpaduan dalam memastikan agenda pembangunan dan ekonomi rakyat dapat terus dijayakan.

“Penghargaan saya buat semua pengundi yang yakin terhadap usaha Kerajaan Perpaduan dalam membangun negara,” katanya dalam kenyataan ringkas yang dimuat naik di Facebook.

Encik Suhaizan yang Timbalan Pengerusi Amanah Johor, mempertahankan penguasaan PH bagi kerusi Parlimen Pulai apabila meraih 48,283 undi, menewaskan Encik Zulkifli Jaafar daripada Perikatan Nasional (PN) yang mendapat 29,642 undi, manakala calon Bebas, Encik Samsudin Mohamad Fauzi, meraih 528 undi.

PH turut mengekalkan kerusi DUN Simpang Jeram apabila Encik Nazri meraih 13,844 undi menewaskan calon PN, Dr Mohd Mazri Yahya yang mendapat 10,330 undi dan calon Bebas, Encik S Jegananthan, dengan perolehan 311 undi.

PRK kedua-dua kerusi diadakan susulan kematian penyandangnya, Datuk Seri Salahuddin Ayub, yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, pada 23 Julai lalu.

Sementara itu, Barisan Nasional (BN) Johor dapat menterjemahkan aspirasi perpaduan Kerajaan Madani selepas PH berjaya mempertahankan kerusi Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram pada Pilihan Raya Kecil (PRK).

Ketua Penerangan Umno, Datuk Seri Azalina Othman Said, berkata pemimpin-pemimpin Umno yang diketuai Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi juga sentiasa berusaha membantu dua calon PH pada pilihan raya itu.

“Terima kasih kepada Presiden BN serta barisan kepimpinan BN Johor diterajui Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi yang tidak lekang berusaha memperjuangkan kestabilan kerajaan melalui kempen berterusan dan menggerakkan jentera BN membantu kedua-dua calon ini,” katanya dalam kenyataan pada Ahad. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg