Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Anwar umum dasar baru 'Membangun Malaysia Madani'

Jan 20, 2023 | 5:30 AM
DATUK SERI ANWAR IBRAHIM: Mengenalkan konsep Madani dalam usaha untuk memetakan strategi pentadbiran negara secara berkesan, menekankan kepada pemerkasaan ekonomi dan budaya, yang berteraskan nilai, etika atau akhlak. - Foto NSTP
DATUK SERI ANWAR IBRAHIM: Mengenalkan konsep Madani dalam usaha untuk memetakan strategi pentadbiran negara secara berkesan, menekankan kepada pemerkasaan ekonomi dan budaya, yang berteraskan nilai, etika atau akhlak. - Foto NSTP -

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim, semalam mengumumkan kerangka dasar baru bagi negara itu yang dikenali sebagai 'Membangun Malaysia Madani', yang dirumus bagi mencipta lonjakan baru kepada negara.

Datuk Anwar, ketika menyampaikan amanatnya secara langsung dari Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), berkata tema Madani akan kekal relevan dan mampu selamatkan negara.

Konsep Madani menggambarkan kepercayaan yang dicerna antara kerajaan dan rakyat berdasarkan pada asas ketelusan dan kerjasama.

'Malaysia Madani' akan menggantikan konsep 'Keluarga Malaysia' ketika pentadbiran perdana menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Membangun Malaysia Madani terdiri daripada enam tonggak dasar iaitu M (keMampanan), A (kesejAhteraan), D (Daya cipta), A (hormAt), N (keyakiNan) dan I (Ihsan).

Dalam ucapannya, Datuk Anwar berkata konsep Madani yang dirangka adalah sebagai usaha untuk memetakan strategi pentadbiran negara secara berkesan, menekankan kepada pemerkasaan ekonomi dan budaya, yang berteraskan nilai, etika atau akhlak.

Beliau menjelaskan bahawa istilah Madani yang sememangnya sudah sekian lama diperkenal dan diungkap oleh pemikir sejak dahulu lagi, diperkenalkan dalam pentadbiran negara berikutan ia memberi keutamaan kepada soal keyakinan dan kemanusiaan.

Beliau berkata tatkala Malaysia dipacu untuk maju dan kadangkala tercemar kerana salah laku serta rasuah, selain keruntuhan nilai, perlu ada kesedaran bersama dalam kalangan semua pihak untuk menghidupkan semula kekuatan leluhur bangsa daripada semua kaum dan agama di negara ini, dengan nilai murni yang harus dikembangkan semula.

"Sementara kita bergelut dalam bidang ekonomi, teknologi dan digital, kita pacu pertumbuhan kita, jangan tinggalkan nilai dan kemanusiaan.

"Ia kerana meninggalkannya bermakna kita akan menerima fahaman dan mula mengalah serta membiarkan tanpa mengira latar belakang. Tetapi 'permissiveness' sudah menembusi keyakinan kita," katanya, lapor Berita Harian Malaysia.

Datuk Anwar berkata berikutan sikap sedemikian yang sudah menembusi masyarakat, ia membawa kepada fahaman kabilah, yang menyebabkan perilaku rasuah dan penyelewengan.

Dalam ucapannya, Datuk Anwar turut menarik perhatian bahawa pembebasan golongan terpinggir daripada belenggu kemiskinan perlu mengambil kira usaha memerdekakan mereka daripada terus bergantung kepada bantuan serta sumbangan kerajaan. Oleh itu, menjadi tanggungjawab pentadbirannya, berpaksikan konsep Madani, untuk memastikan golongan terpinggir itu, termasuk sekumpulan besar masyarakat Melayu Bumiputera miskin dan miskin tegar, diselamatkan.

Beliau berkata pihaknya tidak mahu negara ini dibangunkan dengan ada dalam kalangan kaum minoriti atau golongan miskin daripada pelbagai latar belakang bangsa serta di bandar mahupun pedalaman, berasa terpinggir dan tersisih.

"Tanggungjawab kita dalam membawa usul Madani itu merangkul semua kekuatan ini.

"Kalau ada yang terpinggir, termasuk majoriti Melayu Bumiputera miskin dan miskin tegar, tanggungjawab kita ialah berikhtiar sedaya upaya kita untuk menyelamatkan mereka, membebaskan mereka daripada belenggu kemiskinan. Saya gunakan istilah membebaskan seperti mana membebaskan itu tidak bermakna memberikan bantuan supaya mereka akan terus bergantung kepada sumbangan kerajaan, yang disebut sindrom kebergantungan. Selama-lamanya akan bergantung dan mereka tidak dibebaskan.

"Pendekatan kita harus membebaskan mereka daripada belenggu ini supaya mereka betul-betul hirup udara merdeka di Malaysia ini," kata Datuk Anwar yang menjadi perdana menteri ke-10 Malaysia sejak 24 November lalu.

"Tanggungjawab kita dalam membawa usul Madani itu merangkul semua kekuatan ini. Kalau ada yang terpinggir, termasuk majoriti Melayu Bumiputera miskin dan miskin tegar, tanggungjawab kita ialah berikhtiar sedaya upaya kita untuk menyelamatkan mereka, membebaskan mereka daripada belenggu kemiskinan."

- Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahm.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg