Subuh
5:38
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:07
Isyak
8:18
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Dunia
28
0

KERAJAAN BARU MALAYSIA

Anwar utamakan usaha tangani kos sara hidup rakyat M'sia

Nov 26, 2022 | 05:30 AM



PUTRAJAYA: Datuk Seri Anwar Ibrahim meletakkan komitmen beliau sebaik sahaja menggalas tugas sebagai Perdana Menteri untuk mengutamakan soal menangani kos sara hidup yang membebani rakyat ketika ini.



Beliau berkata, walaupun situasi negara menunjukkan positif dengan nilai ringgit semakin kukuh dan kedudukan bursa saham yang lebih baik, sekali gus menunjukkan keyakinan pelabur kepada pentadbiran kerajaan baru, isu kos sara hidup tetap menjadi perhatian utama apabila harga barang mencengkam dan menekan kehidupan rakyat, lapor Utusan Online.



Beliau mahu perbincangan lebih teliti dan tindakan drastik diadakan untuk mengurangkan tekanan itu dengan mengadakan pertemuan segera dengan jabatan dan agensi berkaitan dalam masa terdekat.



"Kalau tak keberatan, saya mohon pertemuan dengan mereka (jabatan/agensi terlibat) pada hujung minggu ini atau selewat-lewatnya Isnin ini walaupun cuti umum.



"Kalau mereka keberatan, saya boleh tangguh.



"Bagaimanapun, saya kenal komitmen pegawai-pegawai ini. Mereka faham tugas utama untuk meringankan beban dihadapi rakyat terutama di peringkat bawah," kata beliau.



Datuk Anwar berkata demikian dalam sidang akhbar selepas secara rasmi memulakan tugas sebagai Perdana Menteri ke-10 di Pejabat Perdana Menteri, di sini semalam.



Beliau berkunjung ke Masjid Putra sekitar 1.01 petang bagi menunaikan solat Jumaat semalam.



Ketibaannya disambut Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Datuk Dr Sirajuddin Suhaimee; Imam 2 Masjid Putra, Ustaz Abdul Karim Zakaria, serta pegawai kanan dan kakitangan Jakim.



Sejurus tiba, Datuk Anwar yang berpakaian baju Melayu merah jambu lengkap bersamping disambut ratusan jemaah yang sedang menanti ketibaannya di masjid berkenaan.



Beliau sempat bersalaman dengan jemaah yang hadir malah, dengan sebahagian daripada mereka turut merakam momen dengan berswafoto.



Pengerusi Pakatan Harapan (PH) sebelum itu meluangkan masa untuk menjamah hidangan tengah hari nasi beriani kambing di Medan Selera Presint 8 di sini selepas selesai sesi mengimbas kad perakam waktu sebagai tanda memulakan tugas secara rasmi Perdana Menteri.



Ketibaan Datuk Anwar kira-kira 12.20 tengah hari semalam disambut orang ramai yang berada di situ selain berkesempatan beramah mesra dengan penduduk di sini.



Datuk Anwar memulakan tugas rasminya semalam di Pejabat Perdana Menteri selepas mengangkat sumpah jawatan sebagai Perdana Menteri ke-10 di hadapan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, di Istana Negara, petang kelmarin.



Sementara itu di Georgetown, Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr Wan Salim Wan Mohd Noor, optimis dengan kepemimpinan Datuk Anwar selaku Perdana Menteri ke-10 ke arah perubahan landskap tanah air menuju era baharu yang menjanjikan masa depan lebih cerah buat rakyat.



Beliau yakin Datuk Anwar boleh dianggap sebagai seorang 'muslih' (reformis) dan 'mujaddid' (pembaharu) yang akan membawa Malaysia ke arah pembinaan tamadun gemilang pada masa hadapan dengan izin Allah swt.



"Beliau mempunyai bakat kepemimpinan semula jadi anugerah Allah swt sebagai pemimpin ulung berkemampuan dalam mengemudi negara ke puncak kemajuan dan kecemerlangan yang didambakan rakyat pelbagai kaum.



"Anwar adalah ibarat sebutir permata gemilang dan satu aset terbilang, keintelektualan beliau mendapat pengiktirafan dunia dan umat Islam khususnya," katanya menerusi kenyataan semalam.



Datuk Wan Salim berkata Datuk Anwar juga memiliki pengalaman luas dalam pelbagai bidang pentadbiran tertinggi negara kerana pernah menyandang jawatan Timbalan Perdana Menteri.



Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu, tambahnya, pernah mengetuai beberapa kementerian penting termasuk kewangan, pendidikan dan pertanian.



"Kecemerlangan beliau dalam bidang kewangan diiktiraf oleh masyarakat antarabangsa," katanya lagi.



Beliau turut merakam ucapan tahniah kepada rakyat kerana berjaya menghayati semangat Keluarga Malaysia dalam tempoh menunggu pembentukan kerajaan perpaduan yang akan menerajui pemerintahan negara bagi lima tahun akan datang.



Beliau juga melahirkan penghargaan kepada pemimpin dan anggota parti politik daripada Barisan Nasional, Pakatan Harapan, Gabungan Parti Sarawak, Gabungan Rakyat Sabah dan Parti Warisan yang menjunjung titah Yang di-Pertuan Agong, dengan restu Raja-Raja, dalam mencapai kesepakatan bagi membentuk kerajaan perpaduan.



"Inilah yang menamatkan kemelut politik yang menyelubungi negara sejak keputusan PRU ke 15 diumumkan," katanya.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >