Apa jadi pada Kiswah lama?
MAKKAH: Kaabah dihiasi dengan kelambu, atau Kiswah, baru sejak kelmarin selepas satu proses tahunan yang dijalankan sehari sebelum umat Islam menyambut Hari Raya Aidiladha di Makkah, iaitu pada Hari Arafah, atau wuquf.
Setiap tahun, penjaga Kaabah menjalankan tugas halus dan tepat menukar kain sutera hitam bersulam emas yang menutup struktur suci itu.
Saudi Press Agency (SPA) berkata melalui Twitter kelmarin bahawa 160 tukang mahir dan teknisyen terlibat dalam proses itu tahun ini.
Gambar-gambar dari dekat menunjukkan anggota pasukan itu berdiri di atas eskalator mudah alih untuk meletakkan kain tersebut sambil menenun sebahagian daripadanya agar muat pada Kaabah.
Proses itu dijalankan setiap tahun pada 9 Zulhijjah, hari kedua pelaksanaan ibadah haji.
Pada hari itu, ketika jemaah haji menuju ke Arafah untuk melakukan wuquf, bahagian paling penting dalam ibadah haji, Kaaba mendapat Kiswah baru.
Tetapi apa dilakukan pada Kiswah lama?
Encik Ahmad Mohammed Al-Mansouri, ketua pengarah Kompleks King Abdul Aziz bagi Kaaba, mendedahkan dalam satu temu bual bersama rangkaian televisyen Al Arabiya English bahawa benang emas pada kain itu ditanggalkan pada Ahad lalu, ialah 8 Zulhijah, sejajar dengan rancangan menggantikan Kiswah lama dengan Kiswah baru pada subuh Isnin, 9 Zulhijah.
Selepas itu, Kiswah lama dengan segera disimpan di sebuah gudang kerajaan yang menyediakan penjagaan teknikal yang mencukupi untuk mencegah sembarang reaksi kimia atau penyusupan bakteria yang boleh merosakkan kain tersebut.
Kemudian jika diminta oleh pihak berkuasa lebih tinggi, bahagian-bahagiannya diagihkan kepada muzium atau sebagai hadiah.
Encik Mansouri berkata Kiswah dibuat daripada kira-kira 670 kilogram sutera mentah, yang dicelup sarna hitam, 120 kilogram benang emas dan 100 kilogram benang perak.
Ia dilapisi dengan sutera yang dilapik kapas, sementara ayat-ayat Quran dijahit pada kain itu menggunakan benang emas dan perak.
Kiswah berukuran 14 meter panjang dan pada bahagian suku ketiganya terdapat tali pinggang selebar 95 sentimeter dan setinggi 47 meter, yang terdiri daripada 16 kepingan yang kelilinginya dihiasi dengan reka bentuk Islam.
Kiswah terdiri daripada lima helaian, dengan setiap helai menutupi satu sisi Kaaba, yang berbentuk segi empat, sementara helaian kelima merupakan tirai yang menutupi pintu struktur itu.

