Subuh
5:39
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:08
Isyak
8:18
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Dunia
28
0

PILIHAN RAYA UMUM MALAYSIA

Apa pengundi muda mahu?

Ahli Parlimen yang ada rancangan munasabah penuhi keperluan segera serta keperluan jangka panjang
Nov 08, 2022 | 05:30 AM



TIDAK mahu calon atau parti yang menjanjikan bulan dan bintang, tetapi pengundi muda mahukan Ahli Parlimen yang mempunyai rancangan munasabah untuk memenuhi keperluan segera serta keperluan jangka panjang mereka.



Mereka juga tidak kisah sama ada parti atau calon itu lebih bijak menggunakan media sosial untuk mendekati anak muda tetapi menurut beberapa belia yang ditemui Berita Harian (BH) sekitar kawasan Kota Tinggi di Johor, keprihatinan utama mereka adalah sama ada parti dapat menangani cabaran yang mereka hadapi dari segi peluang pekerjaan dan kos sara hidup yang meningkat.



Ini lebih-lebih lagi penting bagi mereka dalam keadaan ekonomi yang tidak menentu sekarang, dengan keadaan ekonomi sedunia dijangka terus tidak menentu.



Antara mereka termasuk Encik Nasrul Mohd Fitri, 29 tahun, yang kini bekerja di gerai makanan orang tuanya yang terkenal bagi hidangan paru sambal dan pau.



Lulusan Universiti Malaysia Sabah (UMS) dalam jurusan kewangan Islam itu sebelum ini bekerja di sebuah syarikat kiriman wang ke luar negara namun kehilangan mata pencariannya itu semasa pandemik Covid-19.



"Bantuan memang ada, banyak yang telah diumumkan kerajaan.



"Tapi tak jelas macam mana nak dapatkan bantuan itu atau nak tuju ke mana.



"Kena rajin cari sendirilah, kalau tak, memang tak dapat," ujarnya.



Meskipun Ahli Parlimen di kawasan tempat beliau tinggal turun padang bertemu dengan penduduk untuk mendengar keprihatinan mereka, Encik Nasrul berkata mereka hanya datang semasa musim pilihan raya umum seperti sekarang atau apabila terdapat keperluan penting seperti semasa kawasan itu dilanda banjir.



Ditanya apakah harapannya daripada Ahli Parlimen kawasan itu pada masa akan datang, Encik Nasrul berkata:



"Saya tidak tengok pada parti tapi orang yang jadi calon dan apa yang dibentangnya serta manifesto partinya.



"Kalau masuk akal dan boleh dicapai, baru saya boleh percaya. Tapi saya tak kisah parti apa.



"Asalkan, jangan janji bulan dan bintang saja."



Bagi Encik Faez Juliuswan, 22 tahun, pula, beliau kini sedang membantu di gerai keluarganya sementara menunggu peluang pekerjaan atau peluang untuk melanjutkan pengajiannya.



"Kerja ada di sini (Kota Tinggi) tapi kita perlu berusaha gigih dan rela melakukan kerja lain sebelum mendapatkan kerja pilihan," ujar beliau yang bakal mengundi buat kali pertama pada 19 November nanti.



Mantan Menteri Besar Johor dan Naib Presiden Umno, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, yang mewakili Barisan Nasional (BN) menghadapi pertandingan tiga penjuru di kawasan Parlimen Kota Tinggi dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).



Beliau akan berdepan dengan pencabar daripada Perikatan Nasional (PN), Encik Mohamad Ridhwan Rasman, serta calon Pakatan Harapan (PH), Encik Onn Jaafar.



Kerusi Parlimen itu disandang Menteri Perpaduan Negara, Datuk Halimah Mohamed Sadique, sebelum ini selepas beliau menang di kawasan itu dalam PRU14 namun tidak tersenarai sebagai calon di mana-mana kawasan Parlimen dalam PRU15.



Bagi seorang lagi anak muda, Encik Junaidi Nordin, 22 tahun, yang menjual air jagung dengan jenama 'Air Jagung Kebenaran' di sebuah tapak perniagaan usahawan muda di Kota Tinggi, beliau sekeluarga telah meraih banyak manfaat daripada kerajaan BN selama ini.



Beliau pernah mencuba nasib mencari rezeki di Singapura sebelum ini, bekerja di syarikat Amani Services, tetapi terpaksa pulang semasa pandemik Covid-19 untuk menjaga ibunya yang menghidap penyakit buah pinggang.



"Walau macam mana pun, saya tetap sokong BN, tak kira siapa calonnya, kerana dari dulu semasa saya masih bersekolah, kerajaan BN yang beri saya buku dan bantuan kos sara hidup, bukan parti pembangkang.



"Bantuan yang diberi bukan semasa musim pilihan raya umum saja, tetapi setiap kali kami naik ke pejabat (kerajaan), terdapat banyak bantuan untuk kami, untuk ibu yang juga ibu tunggal dan juga untuk belia seperti saya," ujar anak keenam daripada keluarga tujuh beradik itu.



Bagaimanapun, Encik Junaidi berharap sesiapa calon yang dipilih dapat membantu mempertingkat keadaan jalan raya di sekitar Kota Tinggi, terutamanya jalan raya yang banyak berlubang dan bertampal di Jalan Kulai.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >