Subuh
5:39
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:08
Isyak
8:18
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Dunia
28
0

Apabila Gunung Semeru muntahkan banjir debu...

Dec 11, 2021 | 05:30 AM



BAGAI padang jarak padang terkukur.



Begitulah keadaan di sekeliling gunung tertinggi di Pulau Jawa, Indonesia, Gunung Semeru, apabila ia meletus baru-baru ini.



Banyak kawasan dan tempat kediaman musnah dengan penduduk terpaksa lari keluar dari rumah ke tempat lebih selamat tatkala gunung itu meletus.



Gunung itu memuntahkan abu gunung berapi dan lahar, menyelimuti kampung sekeliling.



Kededua abu dan lahar itu meragut nyawa manusia dan haiwan peliharaan di samping memusnahkan tempat kediaman dan tanaman.



Pemandangan dari udara menunjukkan abu gunung berapi hampir menutupi atap rumah, sedang pegawai penyelamat dan pasukan polis serta penduduk menggali lumpur untuk mengeluarkan mangsa.



Sehingga 9 Disember lalu, 39 orang dikatakan terkorban, sedang sebilangan orang dilaporkan masih hilang, menurut Badan Nasional Pengurusan Bencana (BNPB) Indonesia.



Menurut agensi itu, pasukan penyelamat menemui beberapa mayat tertimbus di bawah lumpur di daerah Lumajang, dengan jumlah orang yang hilang mungkin meningkat kerana terdapat kegiatan melombong pasir di sungai semasa letusan itu.



Sebelum ini, pasukan itu menyatakan 10 mangsa yang tertimbus berjaya diselamatkan hidup-hidup.



Bencana alam itu telah memaksa lebih 3,000 orang meninggalkan rumah dan berteduh di pusat pemindahan, kata pegawai agensi itu.



Beberapa hari selepas kejadian letusan itu, Gunung Semeru meletus sekali lagi dengan pihak berkuasa memberi amaran bahawa kegiatan seismos masih berterusan.



"Gunung Semeru adalah salah satu gunung berapi paling aktif di Indonesia.



"Sebelum dan selepas letusan 4 Disember, ia akan terus aktif," kata Encik Liswanto, ketua Pemantauan Gunung Berapi Semeru, kepada Reuters.



Sebilangan penduduk pulang ke rumah masing-masing untuk memeriksa barangan dan ternakan, tetapi Encik Liswanto menggesa orang ramai agar berhati-hati dan tidak mendekati gunung itu.



"Orang ramai perlu lebih berwaspada kerana potensi ancaman masih ada," tambahnya.



Timbalan pemimpin Lumajang, Encik Indah Masdar, berkata seramai 41 orang melecur teruk apabila terkena lahar gunung berapi.



"Kami membawa mereka yang cedera ke pusat kesihatan dan yang melecur sangat serius terpaksa dibawa ke hospital," katanya.



Abu tebal serta lahar setinggi paras lutut yang mula keras telah menyukarkan kerja pasukan penyelamat mencari penduduk yang hilang serta kerja menyelamat lain.



Indonesia - satu negara kepulauan dengan lebih 17,000 pulau besar dan pulau kecil - mempunyai hampir 130 gunung berapi aktif.



Indonesia terletak di kawasan Lilitan Api Pasifik - kawasan tektonik yang ditaburi gunung berapi dan kerap mengalami pergerakan bumi - yang mengelilingi Lautan Pasifik.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >