RIYADH: Raja Arab Saudi, Raja Salman Abdulaziz Al Saud telah menitahkan lanjutan perintah berkurung di seluruh Arab Saudi "sehingga ke suatu masa yang akan ditetapkan kelak" dalam usaha kerajaan itu membendung penularan virus Covid-19, lapor agensi berita Saudi, awal hari ini.
Menukil satu sumber rasmi di Kementerian Ehwal Dalam Negeri, agensi berita itu melaporkan Raja Salman telah mengeluarkan titah perintah di saat akhir sebelum perintah berkurung 21 hari yang bermula pada 23 Mac lalu, berakhir malam tadi.
Lanjutan perintah berkurung ini bertujuan memastikan penularan koronavirus dapat dikawal sepenuhnya, menurut titah perintah tersebut.
Kementerian Kesihatan Saudi menyatakan, jumlah kes Covid-19 di negara itu telah mencapai 3,651 kes di mana 2,919 aktif, termasuk 57 di unit jagaan rapi.
Seramai 685 pesakit telah dirawat manakala 47 telah meninggal dunia, kata kementerian itu.
Perintah berkurung yang dilaksanakan di seluruh Saudi mulanya dilaksanakan antara 7 malam hingga 6 pagi. Ia kemudian diluaskan mulai 3 petang hingga 6 pagi.
Minggu lalu, kebanyakan bandar utama di Saudi diletakkan di bawah perintah berkurung 24 jam selepas arahan melaksanakan jarak selamat tidak dipedulikan ramai.
Semalam, polis mula melaporkan beberapa tangkapan ke atas mereka yang melanggar arahan perintah berkurung. - Arab News


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg