MESIR: Raja Arab Saudi, Raja Salman Abdulaziz Al Saud mengarahkan perintah berkurung di seluruh negara itu dilonggarkan, kecuali Makkah dan kawasan yang sebelum ini melalui fasa kuarantin, lapor Saudi Press Agency.
Perintah berkurung itu akan dilonggarkan di antara 9 pagi hingga 5 petang mulai hari ini (26 April) hingga 13 Mei, sementara pusat membeli belah, perniagaan borong dan runcit dibenarkan untuk dibuka semula Rabu depan, bagi tempoh dua minggu.
Sementara itu, suasana sunyi dan pilu mengiringi solat terawih di Masjidil Haram dengan hanya pegawai dan kakitangan masjid yang hadir untuk solat berjemaah sambil mematuhi langkah jarak selamat.
Arab Saudi telah melanjutkan penggantungan bersolat di Masjidil Haram di Makkah dan Masjid Nabawi di Madinah semasa Ramadan. Mufti Besar Saudi, Sheikh Abdulaziz Al al-Sheikh, telah memutuskan bahawa solat semasa Ramadan dan Aidilfitri dilakukan di rumah.
Setakat ini, Arab Saudi melaporkan lebih dari 16,000 kes Covid-19, dengan 136 kematian. - Agensi
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg