Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Arab Saudi umum gencatan senjata dua minggu di Yemen

Apr 9, 2020 | 9:24 AM
LANGKAH DAMAI: Gencatan senjata sehala yang diumumkan Arab Saudi dan berkuatkuasa 5 petang hari ini dilaksanakan bagi mengekang penularan Covid-19 di Yemen. Kelihatan penduduk membeli barangan di sebuah pasar di Kota Lama di Sanaa semalam.
LANGKAH DAMAI: Gencatan senjata sehala yang diumumkan Arab Saudi dan berkuatkuasa 5 petang hari ini dilaksanakan bagi mengekang penularan Covid-19 di Yemen. Kelihatan penduduk membeli barangan di sebuah pasar di Kota Lama di Sanaa semalam. - EPA-EFE

RIYADH: Arab Saudi yang memimpin sekutu tentera memerangi pemberontak Houthi di Yemen telah mengumumkan gencatan senjata selama dua minggu bermula hari ini, dalam usaha mengekang penularan koronavirus, kata seorang pegawai Saudi.

Gencatan senjata sehala itu dilaksanakan sedang pertempuran antara kedua-dua pihak terus memuncak biarpun Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) merayu pertempuran dihentikan bagi melindungi orang awam daripada pandemik di negara termiskin dalam Dunia Arab.

"Kami mengumumkan gencatan senjata bermula hari ini selama dua minggu," kata pegawai itu kepada wartawan, semalam.

"Kami menjangkakan pihak Houthi akan menerimanya. Kami sedang mempersiapkan masyarakat menentang Covid-19 di Yemen. Gencatan senjata akan bermula pada 0900 GMT (5 petang, waktu Singapura)," katanya.

Tidak ada sebarang reaksi daripada pemberontak yang menyokong Iran itu.

Sekutu pimpinan Arab Saudi komited terhadap gencatan senjata dua minggu itu tetapi akan mengekalkan hak untuk mempertahankan diri mereka jika diserang, kata pegawai Saudi itu lagi.

Gencatan senjata mungkin dilanjutkan sekiranya pihak Houthi memberi respons 'positif' terhadap usaha tersebut, tambahnya.

Langkah itu adalah bertujuan mewujudkan "keadaan lebih baik" untuk perbincangan yang diseliakan PBB antara pemerintah Yemen yang disokong Arab Saudi, pemberontak dan sekutu bagi membuka jalan untuk gencatan senjata yang kekal di Yemen, menurut jurucakap sekutu Arab Saudi, Turki al-Maliki.

Ia merupakan satu peluang untuk mencapai "satu gencatan senjata yang menyeluruh dan kekal di Yemen," kata Encik Maliki dalam satu kenyataan yang dikeluarkan secara rasmi oleh Agensi Berita Saudi.

Arab Saudi dan sekutunya telah aktif dalam konflik di Yemen sebagai menyokong pemerintah yang ada sekarang, sejak 2015.

Sistem penjagaan kesihatan Yemen yang kini musnah sejauh ini belum mencatatkan sebarang kes Covid-19, tetapi pasukan bantuan perubatan memberi amaran apabila ia berlaku, kesannya akan menjadi sangat buruk.

Yemen kini dicengkam dengan krisis kemanusiaan paling buruk di dunia, menurut PBB. - Reuters

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg