Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

AS akan tadbir Venezuela, Maduro dijangka dihadap ke mahkamah 5 Jan

Syarikat minyak AS akan baik pulih prasarana minyak yang rosak teruk di Venezuela; Trump belum ada rancangan peralihan pentadbiran jelas
Jan 4, 2026 | 12:53 PM
Trump, Venezuela, serang
Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump (tengah) berkata pasukan AS bersedia melancarkan gelombang serangan kedua yang “jauh lebih besar” jika perlu. - Foto REUTERS

WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, berkata pada 3 Januari bahawa Venezuela diletakkan di bawah kawalan sementara Amerika selepas negara itu menahan Presiden Nicolas Maduro dalam satu serbuan dan membawanya ke New York untuk dihadapkan dengan pertuduhan berkaitan pengedaran dadah.

“Kami akan mentadbir negara itu sehingga tiba masanya untuk peralihan kuasa dapat dilakukan secara selamat, teratur dan berhemah,” kata Encik Trump dalam satu sidang media di resort Mar-a-Lago miliknya di Florida.

“Kami tidak boleh mengambil risiko membiarkan orang lain mengambil alih Venezuela jika mereka tidak mengutamakan kepentingan rakyat Venezuela.”

Encik Trump menambah bahawa sebagai sebahagian daripada pengambilalihan itu, syarikat minyak utama AS akan memasuki Venezuela – yang memiliki rizab minyak terbesar dunia – untuk membaik pulih infrastruktur minyak yang rosak teruk, satu proses yang menurut pakar boleh mengambil masa bertahun-tahun.

Namun, pengkritik berkata, penekanan Encik Trump terhadap minyak semasa sidang media menimbulkan persoalan mengenai usaha pentadbirannya.

Ini terutamanya selepas beliau melakukan penahanan Encik Maduro dan beberapa serangan peluru berpandu maut ke atas bot yang didakwa membawa dadah bagi menyekat penghantaran dadah ke AS.

Dalam operasi dramatik yang dijalankan semalaman – yang menyebabkan bekalan elektrik terputus di beberapa kawasan Caracas dan melibatkan serangan ke atas kemudahan ketenteraan – Pasukan Khas AS menahan Encik Maduro di atau berhampiran salah satu rumah persembunyiannya, kata Encik Trump.

Encik Maduro dan isteri, Cik Cilia Flores, dibawa ke sebuah kapal Tentera Laut AS di perairan luar pantai sebelum diterbangkan ke AS pada malam 3 Januari.

Rakaman video menunjukkan sebuah pesawat mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Stewart, sekitar 97 kilometer barat laut dari New York City, dengan beberapa anggota AS berpakaian FBI dan agensi lain menaiki pesawat selepas ia mendarat.

Seorang pegawai Jabatan Kehakiman mengesahkan bahawa Encik Maduro telah tiba di New York, dan rakaman kemudian menunjukkan satu konvoi besar memasuki Pusat Penahanan Metropolitan di Brooklyn melalui kawalan keselamatan ketat.

Encik Maduro, yang telah didakwa atas beberapa pertuduhan di AS termasuk konspirasi narco-terorisme, dijangka membuat penampilan pertama di mahkamah persekutuan Manhattan pada 5 Januari, menurut seorang pegawai Jabatan Kehakiman.

Isterinya juga berdepan pertuduhan, termasuk konspirasi mengimport kokain.

Namun, tiada tanda jelas bagaimana Encik Trump merancang mentadbir Venezuela.

Pasukan AS tidak menguasai negara itu, dan pemerintah Encik Maduro kelihatan masih berfungsi serta tidak menunjukkan sebarang kesediaan untuk bekerjasama dengan Washington.

Encik Trump tidak menyatakan siapa yang akan mengetuai Venezuela apabila AS menyerahkan semula kawalan.

Pengganti berpotensi iaitu Naib Presiden Venezuela, Cik Delcy Rodriguez, yang muncul di televisyen Venezuela pada petang 3 Januari bersama pegawai kanan lain untuk mengecam apa yang disifatkannya sebagai penculikan.

“Kami menuntut pembebasan segera Presiden Nicolas Maduro dan isterinya Cilia Flores,” kata Cik Rodriguez, sambil menyifatkan Encik Maduro sebagai “satu-satunya presiden Venezuela”.

Sebuah mahkamah Venezuela kemudian mengarahkan Cik Rodriguez mengambil alih jawatan presiden sementara.

Di AS, beberapa pakar undang-undang mempersoalkan kesahihan operasi menahan ketua negara asing, manakala ahli Demokrat yang mendakwa mereka telah dikelirukan dalam taklimat terkini menuntut perancangan jelas mengenai langkah seterusnya.

Sementara itu, di Venezuela, keadaan di kebanyakan jalanan dilaporkan tenang pada 3 Januari.

Anggota tentera berkawal di beberapa kawasan dan kumpulan kecil penyokong Maduro berkumpul di Caracas, manakala ada juga yang melahirkan rasa lega dengan penangkapan itu.

“Saya gembira, walau pada awalnya saya ragu-ragu sama ada ini benar-benar berlaku kerana ia seperti dalam filem,” kata seorang peniaga, Carolina Pimentel, 37 tahun, di bandar Maracay.

“Semuanya tenang sekarang, tetapi saya rasa pada bila-bila masa orang ramai akan keluar meraikan.”

Dalam sidang media itu, yang turut dihadiri Setiausaha Negara Marco Rubio dan Setiausaha Pertahanan Pete Hegseth, Encik Trump tidak memberikan jawapan terperinci terhadap soalan berulang tentang bagaimana AS akan mentadbir Venezuela sedangkan pemerintah dan tenteranya masih berfungsi.

“Individu yang berdiri di belakang saya ini,” kata Encik Trump merujuk kepada Encik Rubio dan Encik Hegseth, “akan mengawasi negara itu.”

Beliau berkata AS terbuka untuk menghantar tentera ke Venezuela.

“Kami tidak takut untuk menempatkan tentera di darat,” katanya.

Penyingkiran Maduro – yang dikritik sebagai diktator selepas memerintah Venezuela dengan tangan besi selama lebih 12 tahun – boleh membuka ruang kepada kekosongan kuasa di negara itu, yang berjiran dengan Colombia, Brazil, Guyana dan kawasan Caribbean.

Encik Trump secara terbuka menolak kemungkinan bekerjasama dengan pemimpin pembangkang Cik Maria Corina Machado, yang dilihat ramai sebagai pencabar paling berwibawa kepada Encik Maduro.

Encik Trump berkata AS tidak pernah berhubung dengan Cik Machado.

“Beliau tidak mempunyai sokongan atau penghormatan dalam negara,” tambahnya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg