RIYADH: Amerika Syarikat memberi amaran pada 19 September bahawa permusuhan antara Arab Saudi dengan kumpulan Houthi yang disokong Iran boleh “meruncing dengan pantas” selepas satu serangan peluru berpandu menyasarkan Riyadh buat kali pertama sejak konflik Yaman tercetus kembali.

Presiden Amerika, Encik Donald Trump, memendekkan percutian hujung minggunya di Kem David, sebuah kompleks presiden yang terpencil di kawasan luar bandar Maryland, untuk kembali ke Rumah Putih secara mengejut pada 19 September.

Rumah Putih tidak memberikan penjelasan mengenai kepulangan awal tersebut, yang berlaku ketika satu ambang baharu telah dilepasi dalam konflik antara Saudi dengan Houthi, yang mengawal sebahagian besar Yaman dan sedang memerangi tentera kerajaan yang disokong oleh pakatan pimpinan Riyadh.

Bunyi letupan kuat kedengaran dua kali pada 19 September di ibu kota Saudi itu yang menyaksikan sebuah tangki bahan api yang tertera logo gergasi minyak Aramco terbakar berhampiran lapangan terbang.

“Konflik ketenteraan ini berpotensi untuk meruncing dengan pantas,” kata Jabatan Negara Amerika, sambil menambah bahawa rakyat Amerika di luar Timur Tengah harus “mempertimbangkan semula dengan serius perjalanan ke dan melalui rantau tersebut”.

Serangan Houthi yang merampas kawasan luas di wilayah Yaman dalam beberapa minggu kebelakangan ini telah meragut ratusan nyawa.

Menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), tindakan Houthi itu telah menyebabkan lebih 110,000 orang kehilangan tempat tinggal.

Konflik tersebut telah pun menjejas eksport Arab Saudi – pembekal minyak mentah utama dunia – dan lalu lintas maritim.

Pakatan pimpinan Riyadh mengesahkan pada 19 September bahawa peluru berpandu balistik yang dilancarkan oleh kumpulan Houthi ke arah ibu kota telah “berjaya dipintas dan dimusnahkan”.

Pakatan itu menambah bahawa kumpulan pro-Iran itu telah cuba menyasarkan orang awam dan infrastruktur awam di beberapa bandar termasuk pelabuhan Yanbu di Laut Merah, yang merupakan sebuah hab eksport penting bagi minyak Arab Saudi.

Saudi telah membalas dengan serangan udara terhadap kawasan yang dikuasai Houthi tetapi gagal menghentikan kemaraan tersebut.

Kumpulan Houthi berkata ia telah bertindak balas terhadap serangan Saudi dengan menjalankan dua operasi ketenteraan menggunakan sejumlah besar peluru berpandu dan dron, kata jurucakap tentera Houthi, Encik Yahya Saree menerusi satu kenyataan di Telegram.

Operasi pertama menyasarkan kawasan yang sensitif di Riyadh dan yang kedua menyasarkan prasarana Aramco di Yanbu.

Insiden ini berlaku beberapa hari selepas Riyadh menuduh Houthi menyasarkan Makkah pada 16 September, mengecamnya sebagai “serangan pengganas yang pengecut” ke atas kota suci Islam itu, yang menyambut jutaan jemaah setiap tahun.

Namun, Houthi menafikan sekeras-kerasnya tuduhan tersebut dan menggelarnya sebagai “pembohongan lapuk”. – AFP.

Ikuti topik ini:
Log masuk untuk ikuti