Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

AS, China setuju gantung pengurangan besar tarif selama 90 hari

Langkah reda ketegangan dagang, beri dua ekonomi terbesar dunia itu tiga bulan lagi selesaikan perbezaan
May 12, 2025 | 5:30 PM
perang dagang, AS, China
Setiausaha Perbendaharaan Amerika Syarikat, Encik Scott Bessent, bercakap kepada pemberita selepas rundingan dagangan selama dua hari antara Amerika dengan China di Geneva berakhir pada 12 Mei 2025. - Foto EPA-EFE

GENEVA: Amerika Syarikat dan China akan menggantung sebahagian daripada tarif ke atas eksport masing-masing selama 90 hari, kata kedua-dua negara dalam satu kenyataan bersama pada 12 Mei.

Ini dilihat sebagai langkah untuk meredakan ketegangan perdagangan dan memberi dua ekonomi terbesar dunia itu tiga bulan lagi untuk menyelesaikan perbezaan mereka.

Gabungan 145 peratus tarif Amerika ke atas kebanyakan import China akan dikurangkan kepada 30 peratus termasuk kadar terikat kepada ubatan fentanyl menjelang 14 Mei, manakala 125 peratus tarif China ke atas barangan Amerika akan dikurangkan kepada 10 peratus, menurut kenyataan dan pegawai dalam taklimat pada 12 Mei.

Bercakap selepas perbincangan dengan pegawai China di Geneva, Setiausaha Perbendaharaan Amerika, Encik Scott Bessent, memberitahu pemberita bahawa kedua-dua pihak telah mencapai kesepakatan untuk menghentikan langkah selama 90 hari dan tarif timbal balik akan turun sebanyak 115 peratusan mata.

“Kedua-dua negara mewakili kepentingan negara masing-masing dengan baik. Kami mempunyai kepentingan dalam perdagangan seimbang, Amerika akan terus bergerak ke arah itu.

“Kami melakukan perbincangan yang sangat mantap dan produktif mengenai langkah ke hadapan mengenai ubatan fentanyl.

“Kami bersetuju bahawa kedua-dua pihak tidak mahu berselisih,” kata Encik Bessent.

China pula memuji “kemajuan besar” yang dicapai dengan Amerika selepas rundingan dagangan yang sukar selama dua hari di Geneva.

“Langkah ini diambil demi kepentingan kedua-dua negara dan kepentingan bersama dunia,” kata Kementerian Perdagangan Beijing, sambil menambah ia berharap Washington akan terus bekerjasama dengan China “untuk membetulkan amalan salah menaikkan tarif secara sepihak”.

Kedua-dua negara juga berjanji untuk mewujudkan mekanisme untuk meneruskan perbincangan mengenai hubungan ekonomi dan perdagangan.

Dalam perbincangan yang bakal diadakan itu, China akan diwakili oleh Naib Perdana Menteri Encik He Lifeng, manakala Encik Bessent dan Wakil Perdagangan Encik Jamieson Greer pula akan mewakili Amerika.

Rundingan itu mungkin dijalankan di China, Amerika atau di negara ketiga.

Pertikaian dagangan yang semakin buruk antara Washington dengan Beijing telah menggegarkan pasaran kewangan dan menimbulkan kebimbangan mengenai kelembapan ekonomi global, serta lonjakan inflasi di Amerika.

Awal daripada itu, Encik Bessent berkata: “Kami telah mencapai kemajuan besar antara Amerika dengan China dalam rundingan dagangan yang sangat penting ini.”

Dalam satu kenyataan pada 11 Mei tanpa memberikan sebarang butiran tambahan, Rumah Putih memuji apa yang dipanggil “perjanjian dagangan” baru dengan China.

Encik He memberitahu pemberita bahawa mesyuarat itu telah mencapai “kemajuan yang ketara”, mengulangi kenyataan Encik Bessent, dan menggambarkan suasana itu sebagai “terus terang, mendalam dan membina”.

Presiden Amerika Encik Donald Trump mengenakan levi baru yang tinggi ke atas China pada April, mencetuskan tindakan balas yang tegas daripada Beijing.

Tarif yang dikenakan oleh Encik Trump ke atas gergasi pembuatan Asia itu sejak awal tahun kini berjumlah 145 peratus, dengan cukai terkumpul Amerika ke atas beberapa barangan China mencecah 245 peratus – sesuatu yang amat mengejutkan.

Sebagai tindakan balas, China mengenakan 125 peratus tarif ke atas barangan Amerika. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg