GENEVA: Amerika Syarikat dan China pada 11 Mei berkata kemajuan telah dicapai selepas rundingan hujung minggu bagi mengurangkan ketegangan dagangan yang dicetuskan oleh tarif agresif Presiden Donald Trump.
Pertikaian dagangan yang semakin buruk antara Washington dengan Beijing telah menggegarkan pasaran kewangan dan menimbulkan kebimbangan mengenai kelembapan ekonomi global, serta lonjakan inflasi di Amerika.
“Kami telah mencapai kemajuan yang besar antara Amerika dengan China dalam rundingan dagangan yang sangat penting,” kata Setiausaha Perbendaharaan Amerika Encik Scott Bessent kepada pemberita di Geneva selepas hari kedua perbincangan selesai.
“Perbincangan itu produktif,” katanya sambil berjanji akan memberi “taklimat lengkap” pada 12 Mei mengenai hasil perbincangan itu.
Dalam satu kenyataan pada 11 Mei tanpa memberikan sebarang butiran tambahan, Rumah Putih memuji apa yang dipanggil “perjanjian dagangan” baru dengan China.
Naib Perdana Menteri China Encik He Lifeng memberitahu pemberita bahawa mesyuarat itu telah mencapai “kemajuan yang ketara,” mengulangi kenyataan Encik Bessent, dan menggambarkan suasana itu sebagai “terus terang, mendalam dan membina”.
“Ini adalah langkah pertama yang penting,” kata Encik He, sambil menambah terdapat rancangan untuk mengeluarkan kenyataan bersama pada 12 Mei.
Kedua-dua pihak telah bersetuju untuk membentuk mekanisme bersama yang tertumpu pada “komunikasi biasa dan tidak teratur yang berkaitan dengan isu perdagangan dan komersial,” kata wakil perdagangan antarabangsa China Encik Li Chenggang pada taklimat yang sama.
Ditanya sama ada kenyataan bersama itu akan dikeluarkan sebelum pasaran kewangan dibuka, Encik Li menjawab: “Jika hidangan itu lazat, masa bukanlah masalah.”
“Setiap kali dikeluarkan, ia akan menjadi berita besar dan baik,” tambahnya.
Rundingan itu menandakan kali pertama pegawai kanan daripada dua ekonomi terbesar dunia itu bertemu secara bersemuka untuk menangani topik perdagangan sejak Encik Trump mengenakan levi yang tinggi ke atas China pada April, mencetuskan tindak balas yang kuat daripada Beijing.
Tarif yang dikenakan oleh Encik Trump ke atas gergasi pembuatan Asia itu berjumlah 145 peratus, dengan cukai terkumpul Amerika ke atas beberapa barangan China mencecah 245 peratus.
Sebagai tindakan balas, China mengenakan tarif 125 peratus ke atas barangan Amerika.
“Perbincangan ini menandakan satu langkah penting ke hadapan dan, kami berharap, memberi petanda yang baik untuk masa depan,” kata ketua Pertubuhan Perdagangan Dunia Encik Ngozi Okonjo-Iweala dalam satu kenyataan, sejurus selepas beliau bertemu Encik He Lifeng.
“Di tengah-tengah ketegangan global semasa, kemajuan ini penting bukan saja untuk Amerika dan China tetapi juga untuk seluruh dunia, termasuk ekonomi yang paling terdedah,” tambahnya.
Kedua-dua pihak menghabiskan lebih 15 jam dalam rundingan tersebut.
Menjelang rundingan di kediaman duta Switzerland ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Geneva, Encik Trump memberi isyarat bahawa beliau mungkin menurunkan tarif, mencadangkan di media sosial bahawa: “Tarif 80 peratus ke atas China nampaknya wajar!”
Bagaimanapun, Setiausaha Akhbar Rumah Putih Cik Karoline Leavitt kemudian menjelaskan bahawa Amerika tidak akan menurunkan tarif secara unilateral. China juga perlu membuat konses. – AFP


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg