WASHINGTON/TEHERAN: Gencatan senjata antara Amerika Syarikat dan Iran semakin goyah apabila kedua-dua negara kembali melancarkan serangan ketenteraan, sekali gus mencetuskan kebimbangan konflik yang berlarutan akan terus mengancam keselamatan Selat Hormuz dan bekalan tenaga dunia.

Tentera Amerika mengesahkan ia melancarkan puluhan serangan terhadap sasaran ketenteraan Iran pada 12 Julai manakala Teheran bertindak balas dengan menghantar dron menyerang beberapa pangkalan tentera Amerika di Asia Barat, termasuk di Kuwait.

Menurut Markas Pusat Amerika (Centcom), operasi terbaharu itu bertujuan melemahkan keupayaan Iran melancarkan serangan terhadap kapal dagang yang melalui Selat Hormuz.

“Pasukan kami menyerang puluhan sasaran termasuk sistem pertahanan udara, tapak peluru berpandu dan pangkalan dron Iran bagi mengurangkan keupayaannya mengancam pelayaran antarabangsa di Selat Hormuz,” menurut kenyataan Centcom.

Operasi itu dilaksanakan menggunakan pesawat pejuang, kapal perang, dron udara dan buat pertama kalinya dron laut.

Jurucakap Centcom, Kapten Tim Hawkins, berkata Iran turut melepaskan tembakan ke arah kapal dagang ketika serangan Amerika sedang berlangsung.

“Kami berjaya memintas sebuah peluru berpandu dan sebuah dron serangan sehala yang disasarkan ke arah kapal perdagangan di Selat Hormuz,” katanya.

Tentera Iran pula memaklumkan operasi serangan balas masih diteruskan.

Menurut kenyataan Kor Pengawal Revolusi Islam (IRGC), Iran melancarkan gelombang baharu serangan dron ke atas pangkalan tentera Amerika serta sistem pertahanan peluru berpandu di Kuwait.

Media pemerintah Iran turut melaporkan operasi ketenteraan terhadap kepentingan tentera Amerika di rantau itu masih diteruskan.

Tentera Kuwait mengesahkan sistem pertahanan udaranya telah memintas beberapa sasaran udara yang memasuki ruang udara negara itu.

Sementara itu, tentera Jordan memaklumkan empat peluru berpandu yang dilancarkan dari Iran berjaya dipintas pada 13 Julai tanpa menyebabkan sebarang kematian atau kerosakan.

Pertempuran terbaru itu berlaku hanya beberapa minggu selepas Washington dan Teheran bersetuju melaksanakan gencatan senjata bagi meredakan konflik.

Bagaimanapun, ketegangan kembali memuncak selepas Iran menyerang sebuah kapal kontena berbendera Cyprus pada 11 julai sebelum mengumumkan penutupan Selat Hormuz.

Iran menegaskan semua kapal yang menggunakan laluan strategik itu perlu melalui perairan wilayahnya sebagai syarat dalam rundingan damai dengan Amerika.

Sebagai tindak balas, Amerika melancarkan serangan besar-besaran ke atas beberapa lokasi di Iran sebelum Teheran membalas dengan menyasarkan aset ketenteraan Amerika dan sekutunya di Bahrain, Jordan, Kuwait, Oman dan Qatar.

Centcom berkata sebanyak 140 serangan dilancarkan pada malam 11 Julai, antara operasi terbesar sejak konflik memuncak minggu lalu.

Seorang pegawai kanan Amerika yang enggan dikenali berkata jumlah serangan pada 12 Julai sedikit berkurangan, namun masih membabitkan puluhan sasaran.

Media Iran melaporkan sekurang-kurangnya seorang terbunuh dan empat lagi cedera selepas sebuah peluru mengenai stesen pam air di bandar Mahshahr, barat daya Iran.

Selain Mahshahr, beberapa kawasan lain termasuk Ahvaz, Khondab, Omidieh, Behbahan, Dezful, Andimeshk dan Abadan turut dilaporkan menjadi sasaran serangan Amerika.

Presiden Donald Trump mendakwa rundingan damai antara Washington dan Teheran hampir mencapai persetujuan sebelum insiden serangan terhadap kapal kontena berlaku.

“Kami hampir mencapai satu perjanjian pada hujung minggu lalu,” katanya dalam wawancara bersama program Meet the Press terbitan NBC.

Bagaimanapun, Encik Trump tidak memberikan butiran lanjut mengenai rundingan itu, manakala Iran tidak pernah mengesahkan kewujudan sebarang perjanjian baharu.

Encik Trump turut menegaskan Selat Hormuz masih dibuka kepada pelayaran antarabangsa walaupun Iran mengisytiharkan laluan itu ditutup.

“Tentera kami telah membedil Iran habis-habisan malam tadi,” katanya.

Sejak konflik kembali tercetus minggu lalu, tentera Amerika dilaporkan telah melancarkan ratusan serangan ke atas Iran, termasuk kira-kira 170 serangan dalam tempoh dua hari pada 9 Julai dan 10 Julai.

Pejabat Rumah Putih belum mengulas kenyataan Encik Trump berhubung dakwaan rundingan damai itu.
Ketegangan yang berterusan turut menggoncang pasaran tenaga dunia.

Harga minyak mentah penanda aras global melonjak lebih empat peratus sebaik pasaran dibuka pada 12 Julai kepada hampir AS$79 (S$101) setong, kira-kira sembilan peratus lebih tinggi berbanding sebelum konflik Amerika-Israel dengan Iran bermula pada 28 Februari.

Selat Hormuz merupakan laluan perdagangan tenaga paling penting di dunia dengan kira-kira 20 peratus bekalan minyak global melalui kawasan itu sebelum konflik tercetus.

Penganalisis memberi amaran bahawa sekiranya pertempuran terus berlanjutan dan laluan itu terganggu, harga minyak dunia dijangka meningkat lagi sekali gus memberi kesan kepada ekonomi global.

Walaupun kedua-dua pihak masih mendakwa bersedia meneruskan rundingan damai, siri serangan terbaharu menunjukkan gencatan senjata yang dipersetujui bulan lalu kini semakin rapuh, dengan risiko konflik berskala lebih besar terus menghantui rantau Asia Barat. - Agensi berita