WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat, Encik Joe Biden, telah melancarkan strategi nasional pertama bagi menangani Islamofobia dan kebencian terhadap orang Arab, yang meningkat mendadak sejak tercetusnya perang Israel-Gaza.
Strategi itu diumum sebagai usaha mendesak bagi mengurangkan diskriminasi dan sikap bias terhadap masyarakat itu.
Dokumen setebal 64 halaman itu dilancar beberapa minggu sebelum pelantikan semula mantan presiden, Encik Donald Trump, yang pada penggal pertamanya melaksanakan larangan perjalanan terhadap beberapa negara majoriti Muslim.
Larangan tersebut dibatalkan oleh Encik Biden pada hari pertama beliau memegang jawatan.
Dalam kenyataan rasmi, Encik Biden menyifatkan strategi itu sebagai langkah bersejarah mencapai nilai ideal Amerika.
“Strategi ini bertujuan memperkukuh pemahaman terhadap masyarakat Muslim dan Arab, serta menangani diskriminasi dan prasangka yang telah lama mereka hadapi dalam pelbagai sektor,” kata beliau.
Strategi itu mengandungi lebih 100 tindakan oleh cabang eksekutif pemerintah, selain 100 seruan untuk tindakan kepada setiap sektor masyarakat.
Ia memberi tumpuan pada empat keutamaan utama, iaitu meningkatkan kesedaran terhadap kebencian terhadap Muslim dan Arab; memperluas pengiktirafan warisan masyarakat itu; memastikan keselamatan dan perlindungan untuk masyarakat Muslim dan Arab; dan menggalak perpaduan rentas masyarakat bagi memerangi kebencian.
Encik Biden turut menegaskan bahawa “setiap individu Muslim dan Arab berhak hidup secara bermaruah dan menikmati hak sepenuhnya sebagai rakyat Amerika”.
Beliau turut mengecam serangan ke atas seorang kanak-kanak Palestin-Amerika, Wadea Al-Fayoume, yang mati ditikam pada 2023, sebagai “tindakan keji yang tidak boleh diterima”.
“Dasar yang membawa kepada diskriminasi terhadap masyarakat tertentu adalah salah dan tidak menjamin keselamatan,” tambah beliau, merujuk kepada larangan perjalanan era Encik Trump yang dianggapnya sebagai “noda pada hati nurani negara”.
Walaupun strategi itu dipuji sebagai langkah positif, ia turut mendapat kritikan.
Majlis Hubungan Islam-Amerika menyifatkan tindakan itu sebagai “terlalu sedikit dan terlalu lambat”, dengan menyatakan pemerintah masih gagal menamatkan senarai larangan perjalanan dan senarai pantau “tidak boleh terbang” yang melibatkan ramai rakyat Muslim dan Arab.
Seorang pegawai kanan pentadbiran Encik Biden berkata: “Strategi ini adalah hasil usaha selama empat tahun untuk menentang kebencian di mana-mana sahaja ia wujud.
“Ia penting untuk menunjukkan pencapaian yang telah dibuat dan rentak ke hadapan.”
Bakal presiden Trump, yang bakal mengambil alih pentadbiran, tidak memberikan komen segera terhadap strategi itu.
Sebelum ini, beliau menyatakan akan mengenakan larangan masuk ke Amerika terhadap individu yang mempersoalkan hak kewujudan Israel dan menarik balik visa pelajar asing yang “anti-Semitic” atau anti-Yahudi.
Strategi itu menekankan pendekatan “keseluruhan pemerintah dan masyarakat” dalam menangani diskriminasi.
Namun, dengan pentadbiran baru yang bakal mengambil alih, kesinambungan pelaksanaan strategi itu masih menjadi tanda tanya.
“Strategi ini menyediakan dokumen yang menunjukkan bahawa pemerintah menganggap Islamofobia dan kebencian terhadap orang Arab sebagai isu keutamaan,” kata seorang pegawai kanan pentadbiran Encik Biden. – Agensi berita.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg