AS sahkan Trump kekal ketuai Lembaga Keamanan selepas penggal berakhir

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

AS sahkan Trump kekal ketuai Lembaga Keamanan selepas penggal berakhir

Jan 21, 2026 | 11:57 AM

AS sahkan Trump kekal ketuai Lembaga Keamanan selepas penggal berakhir

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula
AS, Trump, Lembaga Keamanan, Gaza 
Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump, menaiki pesawat Air Force One untuk berlepas ke Forum Ekonomi Dunia di Davos, Switzerland, dari Pangkalan Bersama Andrews, Maryland, pada 20 Januari 2026. - Foto REUTERS

WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump, berpotensi terus memimpin Lembaga Keamanan yang dicadangkannya walaupun selepas beliau meninggalkan Rumah Putih, menurut seorang pegawai kanan Amerika Syarikat.

Perkembangan itu mencetuskan kebimbangan baru bahawa inisiatif diplomatik tersebut boleh berubah menjadi platform kuasa peribadi yang melangkaui mandat rasmi presiden.

Pegawai berkenaan, yang bercakap dengan syarat tidak dinamakan, berkata jawatan pengerusi Lembaga Keamanan adalah milik Encik Trump sehingga beliau memilih untuk mengundurkan diri.

Kenyataan itu dibuat pada 20 Januari.

“Kepengerusian itu kekal dipegang oleh Encik Trump sehingga beliau meletak jawatan secara sukarela,” kata pegawai tersebut.

Beliau menambah bahawa presiden Amerika pada masa hadapan masih boleh melantik wakil rasmi Amerika ke dalam lembaga itu, tanpa menjejas kedudukan Encik Trump sebagai pengerusi.

Kemungkinan Encik Trump memegang jawatan tersebut tanpa had tempoh dilihat sebagai perkembangan paling kontroversi dalam pembentukan Lembaga Keamanan, satu inisiatif utama pentadbirannya yang kini berdepan tentangan daripada beberapa pemimpin negara Kumpulan Tujuh (G7). Para pengkritik melihatnya sebagai usaha memusatkan kuasa diplomatik global kepada seorang individu, tanpa mekanisme semak dan imbang yang jelas.

Setakat ini, pentadbiran Amerika masih belum memberikan penjelasan terperinci mengenai struktur Lembaga Keamanan termasuk keanggotaan, cara ia ditadbir dan had kuasanya.

Kekaburan ini menambah kebimbangan bahawa lembaga tersebut lebih bergantung kepada autoriti pengerusi berbanding kerangka institusi yang telus.

Terdahulu Rumah Putih mengumumkan senarai awal ahli Lembaga Eksekutif, antaranya termasuk Setiausaha Negara Encik Marco Rubio; utusan khas Encik Steve Witkoff, serta menantu Encik Trump, Encik Jared Kushner. Namun, masih tidak jelas sama ada mereka bertindak sebagai wakil rasmi pemerintah Amerika Syarikat atau dilantik atas kapasiti peribadi, satu isu yang menimbulkan persoalan mengenai akauntabiliti.

Kebimbangan semakin memuncak selepas satu draf piagam Lembaga Keamanan yang dilihat oleh Bloomberg yang mencadangkan bahawa negara yang mahu mendapatkan kerusi tetap perlu menyumbang sekurang-kurangnya AS$1 bilion ($1.28 bilion). Draf sama turut membayangkan bahawa dana tersebut berada di bawah kawalan pengerusi, iaitu Encik Trump sendiri.

Apabila ditanya sama ada sumbangan itu merupakan yuran penyertaan, pegawai Amerika berkenaan menafikannya.

“Ia bukan bayaran untuk menyertai lembaga. Negara yang membuat sumbangan besar kepada projek dan mahu mengekalkan peranan pemantauan akan dibenarkan terus terlibat,” katanya.

Awal sebelum itu, Encik Trump secara terbuka mencadangkan bahawa Lembaga Keamanan boleh menggantikan peranan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), yang disifatkannya sebagai tidak berkesan, walaupun mengakui potensi besar organisasi tersebut.

“PBB tidak banyak membantu. Saya peminat besar potensi PBB, tetapi ia tidak pernah mencapai potensi itu,” kata Encik Trump kepada wartawan di Rumah Putih. “Kita perlu benarkan PBB terus wujud kerana potensinya sangat besar.”

Kenyataan itu mengukuhkan kebimbangan bahawa Lembaga Keamanan mungkin digunakan untuk menyaingi atau melemahkan PBB dari dalam, khususnya jika mandatnya berkembang melangkaui pembinaan semula Gaza.

Lembaga Keamanan merupakan komponen utama dalam pelan 20 perkara Encik Trump bagi menamatkan perang Israel-Gaza.

Walaupun puluhan pemimpin dunia telah diundang menyertainya, setakat ini hanya beberapa negara mengesahkan penyertaan, manakala beberapa sekutu utama memilih untuk menolak.

Perancis antara negara yang menolak jemputan tersebut, satu keputusan yang mencetuskan reaksi keras Encik Trump, termasuk ancaman mengenakan tarif 200 peratus ke atas champagne Perancis serta sindiran terhadap Presiden Emmanuel Macron.

Kontroversi meningkat apabila Encik Trump mengesahkan bahawa beliau turut menjemput Presiden Russia Vladimir Putin untuk menyertai lembaga itu, walaupun Washington masih berusaha menamatkan perang di Ukraine. Langkah tersebut mencetuskan persoalan tentang kredibiliti sebuah badan keamanan yang memberi ruang kepada negara yang sedang terlibat dalam konflik bersenjata.

Jurucakap PBB, Encik Farhan Haq, menegaskan bahawa Majlis Keselamatan hanya membenarkan Lembaga Keamanan beroperasi dalam konteks Gaza. “Kami perlu melihat secara terperinci bagaimana Lembaga Keamanan dibentuk sebelum menentukan bentuk hubungan kami dengannya,” katanya.

Kritikan turut disuarakan oleh Perdana Menteri Israel Encik Benjamin Netanyahu, yang berkata butiran lembaga tersebut tidak pernah diselaraskan dengan Israel, satu pendirian luar biasa daripada sekutu rapat Encik Trump.

Bagi ramai pemerhati, persoalan utama kini bukan sekadar sama ada Lembaga Keamanan boleh menyumbang kepada keamanan Gaza, tetapi sama ada dunia bersedia menerima sebuah badan antarabangsa baharu yang kuasa akhirnya tertumpu kepada seorang individu, walaupun selepas beliau tidak lagi memegang jawatan presiden. - Agensi berita

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg