Topik diikuti
Pergi ke BHkuAS senarai hitam firma S’pura Megaspeed susuli skandal Nvidia
Sekatan dikenakan berhubung dakwaan penyeludupan cip kecerdasan buatan ke China, sedang Jensen Huang dilantik semula sebagai ketua pegawai eksekutif Nvidia.
AS senarai hitam firma S’pura Megaspeed susuli skandal Nvidia
WASHINGTON: Pentadbiran Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump, menyenaraihitamkan Megaspeed, sebuah syarikat pusat data berpangkalan di Singapura, sekali gus menyekat aksesnya kepada teknologi Amerika, termasuk cip kecerdasan buatan (AI) canggih keluaran Nvidia.
Langkah pada 23 November itu menyusuli siasatan berhubung dakwaan penyeludupan cip AI ke China serta skandal melibatkan hubungan sulit antara Ketua Pegawai Eksekutif Nvidia, Encik Jensen Huang, dengan ahli perniagaan wanita China, Cik Alice Huang, yang juga pemegang saham pengawal Megaspeed.
Jabatan Perdagangan Amerika memasukkan Megaspeed ke dalam senarai hitam perdagangan, atau Entity List, yang mewajibkan syarikat mendapatkan lesen pemerintah sebelum mengeksport barangan, perisian dan teknologi tertentu kepada firma berkenaan.
Permohonan lesen sedemikian berkemungkinan besar ditolak.
Sekatan itu juga boleh menyukarkan Megaspeed mendapatkan alat ganti, kemas kini perisian dan lesen harta intelek dari Amerika.
Megaspeed kini berdepan siasatan jenayah oleh Jabatan Kehakiman Amerika kerana disyaki menyeludup cip AI ke China, sekali gus melanggar undang-undang kawalan eksport negara itu.
Syarikat tersebut tidak segera memberikan maklum balas terhadap permintaan untuk mengulas keputusan terbaru Washington.
Langkah itu bertepatan dengan pengumuman Nvidia bahawa Encik Huang dilantik semula sebagai ketua pegawai eksekutifnya, selepas meletak jawatan kira-kira dua minggu lalu susulan pendedahan dua hubungan sulitnya.
Nvidia mengambil keputusan tersebut selepas menerima jaminan daripada pegawai kanan Amerika bahawa Encik Huang tidak menimbulkan risiko terhadap keselamatan negara.
Akhbarm antarabangsa melaporkan bulan Oktober lalu bahawa pihak berkuasa Amerika menyimpulkan Cik Huang merupakan aset perisikan China yang menyalurkan maklumat kepada Beijing ketika menjalin hubungan rapat dengan ketua Nvidia itu.
Bagaimanapun, Reuters tidak dapat mengesahkan secara bebas dakwaan perisikan tersebut, manakala China menyifatkan tuduhan pengintipan itu sebagai tidak berasas.
Megaspeed sebelum ini menyatakan bahawa Cik Huang meninggalkan syarikat tersebut pada Ogos 2025 dan menegaskan bahawa kegiatan perniagaannya mematuhi undang-undang.
Encik Huang pula mengakui menjalin hubungan sulit dalam satu kenyataan pada 8 November, tanpa menyebut nama Cik Huang.
Keputusan menyenaraihitamkan Megaspeed dibuat selepas beberapa minggu perdebatan dalam pentadbiran Trump mengenai langkah menyekat akses China kepada teknologi AI Amerika.
Setiausaha Perbendaharaan Amerika, Encik Scott Bessent, dilaporkan mendesak tindakan lebih segera terhadap Megaspeed, manakala Setiausaha Perdagangan, Encik Howard Lutnick, lebih cenderung mengambil pendekatan bersasar dalam mengenakan sekatan eksport teknologi.
Encik Bessent sebelum ini menyalahkan Jabatan Perdagangan kerana melengahkan tindakan terhadap Megaspeed, meskipun beberapa agensi pemerintah Amerika telah menyokong langkah tersebut sejak beberapa bulan lalu.
Namun, pengkritik mempersoalkan keberkesanan sekatan terbaru itu kerana ia hanya melibatkan eksport dari Amerika kepada Megaspeed, bukan penghantaran dari negara lain.
Sebahagian besar cip AI dihasilkan di Taiwan dan tidak terjejas secara langsung oleh sekatan tersebut.
Bagaimanapun, peraturan lain yang diperkenalkan Washington dijangka mengehadkan lagi keupayaan syarikat seperti Megaspeed mendapatkan cip AI canggih.
Megaspeed merupakan syarikat pertama yang ditambah ke dalam senarai hitam perdagangan Amerika sejak Oktober 2025, sekali gus menamatkan tempoh lebih setahun tanpa penambahan syarikat baharu – tempoh paling panjang dalam 18 tahun.
Washington sebelum ini menangguhkan tindakan serupa terhadap lebih 100 syarikat yang dikenal pasti menimbulkan risiko keselamatan negara, termasuk firma AI China, DeepSeek, dan pengeluar cip memori, CXMT, bagi mengelakkan ketegangan dengan Beijing.
Pihak berkuasa Amerika mula menyiasat Megaspeed pada 2024 selepas syarikat yang sebelum itu kurang dikenali membeli cip AI canggih bernilai berbilion dolar dan menghantarnya dari California ke Malaysia.
Washington melarang syarikat China membeli secara langsung cip AI tertentu.
Namun, Megaspeed dan beberapa syarikat lain dilaporkan dapat mengelakkan sekatan itu dengan mendaftarkan semula perniagaan mereka di bawah pemilikan Singapura.
Pada akhir 2024, seorang pegawai Jabatan Perdagangan Amerika yang melawat pusat data Megaspeed di Malaysia mendapati peralatan pelayan komputer masih tersimpan di dalam kotak dan belum dipasang.
Penemuan itu menimbulkan kecurigaan bahawa peralatan berkenaan mungkin diseludup ke China.
Pada Jun 2025, pegawai Amerika dan Singapura bertemu Cik Huang di Singapura bagi mendapatkan penjelasan mengenai pembelian cip tersebut.
Pihak berkuasa Singapura turut menahan beliau untuk disoal siasat.
Bagaimanapun, siasatan Jabatan Perdagangan Amerika dilaporkan terhenti tidak lama kemudian, susulan komunikasi antara penasihat undang-undang Nvidia, Encik Tim Teter, dengan pegawai kanan jabatan itu, Encik Jeff Kessler.
Pegawai Jabatan Perdagangan kemudian diarahkan supaya tidak meneruskan kerja atau membincangkan kes tersebut.
Pengkritik berkata kelewatan mengenakan sekatan membolehkan Megaspeed terus membeli teknologi bernilai ratusan juta dolar.
Data perdagangan daripada platform ImportGenius menunjukkan antara Julai 2025 dengan Februari 2026, anak syarikat Megaspeed di Malaysia menerima penghantaran mengandungi cip Nvidia yang tertakluk pada kawalan eksport bernilai lebih AS$800 juta ($1.03 bilion). – Agensi berita