WASHINGTON: Amerika Syarikat telah jatuh ke kedudukan paling rendah dalam sejarah penyertaannya dalam Laporan Kebahagiaan Dunia, sebahagiannya disebabkan oleh peningkatan jumlah rakyatnya yang makan bersendirian.
Laporan tahunan yang disokong Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) itu menunjukkan bahawa kesejahteraan rakyat Amerika semakin merosot, berbeza dengan negara-negara Nordik yang kekal di tangga teratas.
Finland kekal sebagai negara paling bahagia di dunia untuk tahun kelapan berturut-turut, diikuti rapat oleh Denmark, Iceland dan Sweden. Sistem kebajikan sosial yang kukuh dan hubungan rapat dengan alam semula jadi seperti tasik dan hutan dipercayai menjadi penyumbang utama kepada kebahagiaan rakyat Finland.
“Nampaknya rakyat Finland secara relatifnya berpuas hati dengan kehidupan mereka,” kata Dr. Frank Martela, pensyarah kanan di Universiti Aalto dari Findalnd yang mengkhusus dalam kajian kebahagiaan.
“Kami hidup dalam masyarakat yang berfungsi dengan baik, pilihan raya bebas, kebebasan bersuara, tahap rasuah yang rendah. Semuanya berkait rapat dengan tahap kesejahteraan negara yang tinggi,” ujar Dr Martela.
Sementara itu, Afghanistan sekali lagi berada di tangga tercorot, menggambarkan krisis kemanusiaan yang masih berlarutan sejak Taliban kembali berkuasa pada tahun 2020.
Amerika Syarikat, yang pernah menduduki tempat ke-11 dalam laporan pertama pada tahun 2012, kini jatuh ke kedudukan ke-24 — penurunan paling ketara dalam sejarahnya.
Menurut laporan itu, jumlah rakyat Amerika yang makan bersendirian meningkat sebanyak 53 peratus dalam dua dekad lalu, dan pada tahun 2023, kira-kira satu daripada empat orang melaporkan bahawa mereka makan semua hidangan mereka secara bersendirian pada hari sebelumnya.
“Perkongsian makanan berkait rapat dengan kesejahteraan. Peningkatan jumlah individu yang makan bersendirian menjadi salah satu faktor kemerosotan kebahagiaan di Amerika Syarikat,” jelas laporan itu.
Selain itu, Amerika juga mencatat peningkatan dalam kematian akibat putus asa, termasuk bunuh diri dan penyalahgunaan bahan terlarang, sedangkan kebanyakan negara lain menunjukkan penurunan dalam kategori itu.
Laporan tersebut berdasarkan tinjauan global yang dijalankan antara tahun 2022 hingga 2024, sebelum Presiden Donald Trump kembali ke Rumah Putih pada Januari lalu dan melaksanakan perubahan besar dalam dasar dalam dan luar negara.
Menariknya, Costa Rica dan Mexico buat kali pertama tersenarai dalam 10 negara paling bahagia, masing-masing di tempat keenam dan kesepuluh.
Penilaian kebahagiaan dibuat berdasarkan purata tiga tahun daripada penilaian kendiri individu terhadap tahap kepuasan hidup mereka, digabungkan dengan data seperti Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) per kapita, sokongan sosial, jangka hayat sihat, kebebasan, kemurahan hati dan tahap rasuah.
Salah seorang penduduk muda di Helsinki, Eveliina Ylitolonen, berkata bahawa hubungan rapat rakyat Finland dengan alam semula jadi menyumbang kepada tahap kebahagiaan mereka.
“Alam semula jadi sangat penting dalam kebahagiaan kami. Finland terkenal dengan hutan tebal dan lebih 160,000 tasik,” katanya kepada AFP.
Jamie Sarja-Lambert, seorang pemain permainan video profesional dari United Kingdom yang kini tinggal di Finland, turut berkongsi pandangan serupa.
“Di sini orang lebih rapat dengan alam, banyak aktiviti luar dan masyarakat lebih terlibat. Rasa komuniti itu kuat,” katanya.
Laporan itu juga mendapati bahawa sifat dermawan dan kepercayaan terhadap kebaikan orang lain adalah faktor penting yang menyumbang kepada kebahagiaan — bahkan lebih penting daripada pendapatan yang tinggi.
“Ramai orang cenderung bersikap terlalu pesimis terhadap kebaikan masyarakat sekeliling mereka. Namun, hakikatnya, kadar dompet yang dipulangkan selepas hilang sebenarnya jauh lebih tinggi daripada apa yang disangka,” menurut laporan itu merujuk kepada negara Nordik. - AFP


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg