Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

AS terima kecaman hebat Amerika Latin susulan penahanan Maduro

Jan 7, 2026 | 11:31 AM
Nicolas Maduro, Amerika, Venezuela, Trump
Penunjuk perasaan memegang imej Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump, yang dibakar ketika para penunjuk perasaan berkumpul di luar Kedutaan Amerika di Buenos Aires, Argentina, pada 5 Januari 2026 susulan serangan Amerika ke atas Venezuela. - Foto REUTERS

WASHINGTON: Amerika Syarikat berdepan gelombang kecaman keras dari negara-negara Amerika Latin pada 6 Januari selepas tindakan ketenteraannya menahan Presiden Venezuela, Encik Nicolas Maduro – yang kini digulingkan – dan menerbangkan beliau ke New York bagi menghadapi pertuduhan berkaitan senjata api dan dadah pada 3 Januari.

Kecaman itu dizahirkan dalam satu mesyuarat tergempar Pertubuhan Negara-Negara Amerika (OAS) apabila beberapa negara utama termasuk Brazil, Mexico dan Colombia mengecam sekeras-kerasnya tindakan ketenteraan Amerika di negara Amerika Latin itu.

Wakil Mexico ke OAS, Encik Alejandro Encinas Rodríguez, menegaskan bahawa campur tangan asing tidak pernah membawa kestabilan berkekalan kepada rantau itu.

“Sejarah Amerika Latin jelas dan tegas. Campur tangan tidak pernah membawa kesejahteraan atau kestabilan jangka panjang.

“Hanya rakyat sendiri yang berhak membina masa depan mereka, menentukan haluan negara, dan menegakkan kedaulatan terhadap sumber semula jadi,” katanya.

Beberapa negara lain turut menyeru agar krisis Venezuela ditangani melalui peralihan aman dan demokratik, bukannya paksaan ketenteraan.

Menurut data serantau, hampir lapan juta rakyat Venezuela telah melarikan diri sejak sedekad lalu akibat kemerosotan ekonomi dan penindasan politik, sekali gus mencetuskan krisis migrasi yang menjejas hampir seluruh Amerika Latin.

Namun, tidak semua negara sependapat.

Beberapa pemerintah yang rapat dengan pentadbiran Presiden Trump termasuk El Salvador menyatakan sokongan terhadap penahanan Encik Maduro.

Duta El Salvador ke OAS, Cik Wendy Acevedo Castillo, menyifatkan penahanan itu sebagai kesan yang tidak dapat dielakkan daripada lebih sedekad pemerintahan autoritarian.

“Penangkapannya adalah kesan langsung lebih 10 tahun pemerintahan autoritarian yang telah memusnahkan demokrasi, mencabuli hak asasi manusia dan menjadikan pemerintah sebagai alat rasuah,” kata Cik Castillo.

Setiausaha Agung OAS, Encik Albert Ramdin, mengingatkan bahawa piagam pertubuhan itu dengan jelas menyatakan sebarang pencerobohan terhadap satu negara di benua itu dianggap sebagai pencerobohan terhadap semua negara anggotanya.

“Peraturan ini bukan sekadar cadangan, tetapi satu kewajipan dan tanggungjawab moral,” tegasnya.

Beliau menambah bahawa hemisfera Amerika perlu bertindak secara kolektif bagi mengembalikan prinsip dan norma yang diterima bersama.

Encik Ramdin turut menegaskan kepentingan menghormati kedaulatan Venezuela serta menawarkan sumber OAS untuk menyokong pilihan raya akan datang di negara itu.

Mesyuarat khas Majlis Tetap OAS turut dicemari insiden protes apabila seorang penunjuk perasaan mengganggu ucapan wakil Amerika dengan jeritan “jangan campuri Venezuela”, sambil menyifatkan serbuan ketenteraan itu sebagai “rampasan minyak secara imperialis”.

Duta Amerika ke OAS, Encik Leandro Rizzuto Jr, hanya dapat meneruskan ucapannya selepas mesyuarat terhenti selama beberapa minit.

Di luar forum OAS, tekanan politik terhadap Washington terus meningkat.

Sekumpulan Anggota Parlimen dari Amerika Latin mengeluarkan satu deklarasi Parlimen pelbagai negara yang mengecam tindakan Amerika sebagai pencerobohan dan penculikan terhadap presiden sah Venezuela serta isterinya, Cik Cilia Flores.

Deklarasi itu menuntut pembebasan segera kedua-duanya dan menggesa Amerika mematuhi undang-undang antarabangsa.

“Anggota-anggota Parlimen dari Amerika Latin, Caribbean dan seluruh dunia mengecam sekeras-kerasnya pengeboman ke atas Venezuela yang membawa kesan buruk kepada orang awam, serta penculikan Ketua Negara Nicolás Maduro dan isterinya,” lapor kenyataan itu.

Mereka menegaskan tindakan tersebut melanggar mekanisme antarabangsa yang wajib dipatuhi oleh semua negara tanpa pengecualian.

Deklarasi itu turut memberi amaran serangan terhadap Venezuela bukan sahaja meletakkan negara itu dalam bahaya, malah mengancam keamanan dan kestabilan seluruh Amerika Latin dan Caribbean, rantau yang diisytiharkan sebagai Zon Keamanan pada 2014 dan menolak penggunaan kekerasan sebagai alat pemaksaan politik.

Sementara itu, lebih 100 organisasi politik, kesatuan pekerja, kumpulan sosial, pelajar dan pertubuhan hak asasi manusia bergabung pada 5 Januari untuk mengecam tindakan Washington.

Ribuan anggota mereka mengadakan tunjuk perasaan besar-besaran di luar Kedutaan Amerika, menandakan bahawa krisis itu berpotensi terus meruncing dan menguji hubungan Amerika dengan seluruh rantau Amerika Latin. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg