KYIV: Timbalan Menteri Pertahanan Ukraine, Cik Ganna Malyar, memaklumkan lebih 260 askarnya telah dipindahkan dari loji keluli Azovstal di bandar pelabuhan Mariupol yang dikepung tentera Russia.
Cik Malyar berkata dalam satu kenyataan 53 askar yang cedera parah dipindahkan dari loji itu ke kemudahan perubatan berhampiran bandar Novoazovsk bagi mendapatkan rawatan.
"Sementara itu, 211 lagi anggota tentera dikeluarkan melalui koridor kemanusiaan di Olenivka," katanya.
Bandar Novoazovsk dan Olenivka kini berada di bawah kawalan tentera dan puak pemisah yang disokong Russia.
Cik Malyar berkata prosedur pertukaran tahanan akan dilakukan bagi membolehkan askar-askar itu kembali ke tanah air masing-masing.
Presiden Ukraine, Encik Volodymyr Zelensky, berkata "kami berharap dapat menyelamatkan nyawa anggota tentera kami".
"Saya ingin menekankan bahawa Ukraine memerlukan wira-wiranya untuk terus hidup. Ini adalah prinsip kami," katanya dalam satu kenyataan video.
Pihak berkuasa Ukraine menyatakan melalui Facebook bahawa tentera negara itu di Mariupol telah melaksanakan tugas ketenteraan mereka dan kini matlamat utama ialah menyelamatkan nyawa anggota tentera itu.
Dengan mempertahankan loji Azovstal, tentera Ukraine itu telah menghalang Russia dengan segera menawan sebuah bandar lagi di selatan, Zaporizhzhia.
"Pembela Mariupol adalah wira pada zaman kami. Mereka selamanya terpahat dalam sejarah," ujar satu kenyataan pihak berkuasa Ukraine di Facebook.
Loji Azovstal menjadi simbol penentangan, di mana ratusan askar Ukraine terus bertempur walaupun selepas keseluruhan bandar itu jatuh ke tangan tentera Russia.
Pemindahan ratusan pejuang itu berkemungkinan menandakan berakhirnya pertempuran paling lama dan paling berdarah dalam perang Ukraine dan satu kekalahan besar bagi Ukraine.
Mariupol kini hancur selepas kepungan Russia sejak perang bermula 24 Februari lalu, yang didakwa Ukraine telah membunuh puluhan ribu orang di bandar itu.
Sebelum ini, ribuan orang awam yang terperangkap dalam loji itu dipindahkan sejak beberapa minggu lalu. - AFP, Reuters.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg