LONDON: Firma farmaseutikal AstraZeneca menyatakan kelmarin satu semakan data keselamatan ke atas mereka yang diberi vaksin Covid-19 firma itu tidak menunjukkan bukti terdapat peningkatan risiko pembekuan darah.
Semakan AstraZeneca itu, yang meliputi lebih 17 juta orang yang diberi vaksin tersebut di Britain dan Kesatuan Eropah (EU), dilakukan setelah pihak berkuasa kesihatan di sebilangan negara menangguhkan penggunaan vaksinnya kerana dikatakan ada isu pembekuan darah.
"Satu kajian dan semakan teliti terhadap semua data keselamatan merangkumi lebih 17 juta orang yang divaksin di Kesatuan Eropah dan Britain dengan vaksin Covid-19 daripada AstraZeneca tidak menunjukkan bukti peningkatan risiko... dalam sembarang kumpulan umur, jantina, kumpulan atau di negara tertentu," kata firma itu.
Pihak berkuasa di Ireland, Denmark, Norway, Iceland dan Belanda menangguhkan penggunaan vaksin AstraZeneca setelah ada isu pembekuan darah, sementara Austria berhenti menggunakan satu penghantaran vaksin itu minggu lalu sedang ia menyiasat satu kematian akibat masalah pembekuan darah.
"Sangat dikesalkan bahawa negara-negara menghentikan vaksinasi dengan alasan 'pencegahan' seperti itu: ini berisiko mewujudkan bahaya nyata terhadap matlamat vaksinasi cukup ramai orang untuk memperlahan penularan virus itu, dan untuk mengakhiri pandemik ini," kata Dr Peter English, seorang perunding kerajaan Britain dalam kawalan penyakit berjangkit yang telah bersara, kepada Reuters.
Agensi Perubatan Eropah (EMA) berkata tidak ada petanda kejadian itu dek vaksinasi, pandangan yang juga disuarakan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) Jumaat lalu.
AstraZeneca berkata 15 kejadian penyakit darah beku dalam urat (Sindrom Deep Vein Trombosis (DVT)), dan 22 kes darah beku di paru-paru dilaporkan setakat ini, serupa bagi vaksin Covid-19 berdaftar lain.
Firma itu mengatakan ujian tambahan telah dan sedang dilakukan olehnya dan pihak berkuasa kesihatan Eropah, dan tiada ujian semula menunjukkan sebarang sebab untuk orang ramai berasa bimbang.
Laporan keselamatan bulanan akan disiarkan di laman EMA minggu berikutnya, umum firma itu.
Vaksin AstraZeneca, yang dihasilkan dengan kerjasama Universiti Oxford, telah dibenarkan untuk digunakan di EU dan banyak negara tetapi belum dibenarkan oleh pengawal selia Amerika Syarikat.
Firma itu sedang bersiap untuk mengemukakan kebenaran penggunaan kecemasan di Amerika dan mengharapkan data daripada percubaan Tahap III di negara itu akan siap dalam beberapa minggu ini.
WHO menyokong penggunaan vaksin AstraZeneca Jumaat lalu, sedang Thailand menyertai sejumlah negara Eropah dalam menangguhkan penggunaan suntikan itu atas sebab isu pembekuan darah dalam kalangan penerima.
Bulgaria juga menyertai kumpulan negara Eropah yang berhenti menggunakan vaksin itu, yang termasuk Austria, Italy, Luxembourg, Estonia, Lithuania dan Latvia.
WHO amat menyedari vaksin AstraZeneca sejauh ini yang paling murah dan paling banyak dihasilkan sejauh ini, dan akan menjadi vaksin penting dalam program vaksinasi di banyak negara membangun.
Jurucakapnya, Cik Margaret Harris, berkata vaksin itu "sangat baik".
"Amat penting yang kita memahami bahawa, ya, kita harus terus menggunakan vaksin AstraZeneca," katanya pada satu taklimat.
"Semua yang kita lihat adalah apa yang selalu kita perhatikan: Segala petanda keselamatan mesti disiasat." - Reuters.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg