Aturan baru poligami di Jakarta cetus perdebatan awam
JAKARTA: Peraturan gabenor yang baru diperkenalkan, yang menetapkan syarat ketat bagi Penjawat Awam Negara (ASN) lelaki untuk berpoligami, telah mencetuskan kontroversi dan perdebatan meluas di kalangan masyarakat.
Peraturan ini menerima kritikan, terutamanya kerana ASN kini menjadi tumpuan awam selepas kenaikan gaji mereka baru-baru ini di tengah-tengah cabaran ekonomi. Pengkritik berpendapat bahawa memperkenalkan dasar yang sensitif seperti ini berpotensi mencetuskan reaksi balas dan kecaman.
Peraturan Gabenor Nombor 2 Tahun 2025, yang ditandatangani oleh Pemangku Gabenor Jakarta, Encik Teguh Setyabudi, pada 6 Januari 2025, memperketat mekanisme pemberian izin bagi ASN lelaki yang ingin berpoligami.
Encik Teguh menjelaskan bahawa peraturan ini bukan bertujuan untuk menggalakkan poligami tetapi untuk memastikan bahawa sebarang praktik poligami dilakukan mengikut garis panduan yang ketat demi melindungi keluarga.
Antara syarat utama ialah izin bertulis daripada isteri pertama, alasan perubatan yang jelas, dan kelulusan mahkamah. ASN juga perlu membuktikan kemampuan kewangan mereka untuk menyara lebih daripada satu keluarga.
Peraturan ini menetapkan bahawa jika seorang ASN gagal mematuhi peraturan dan melangsungkan pernikahan tanpa izin rasmi, mereka akan dikenakan hukuman disiplin berat berdasarkan undang-undang.
Menurut Encik Achmad Nur Hidayat, penganalisis dasar awam dari Universiti Pembangunan Nasional (UPN), peraturan ini bertujuan untuk melindungi keluarga ASN, bukannya untuk menggalakkan poligami.
“Sebilangan masyarakat salah faham, menganggap peraturan ini sebagai insentif untuk berpoligami. Sebenarnya, peraturan ini memperketat syarat bagi mereka yang ingin melakukannya,” jelas Encik Achmad dalam satu wacana bersama BTV.
Beliau turut menjelaskan bahawa peraturan ini bukan dasar baru, tetapi lanjutan daripada peraturan pusat yang telah ada sejak 1983 dan diperbaharui pada 1990. Encik Teguh juga menekankan bahawa “normanya adalah memperketat aturan, bukan mempermudah. Ini dibuat untuk memastikan hak-hak keluarga ASN dilindungi.”
Namun, tidak semua pihak menyambut baik peraturan ini. Encik Usman Hamid, Pengarah Eksekutif Amnesty International Indonesia, menyifatkan peraturan ini sebagai diskriminasi terhadap wanita. “Poligami mewujudkan ketidakseimbangan dalam hubungan perkahwinan dan bertentangan dengan prinsip kesetaraan gender serta hak asasi manusia,” katanya.
Beliau turut menekankan bahawa peraturan ini bertentangan dengan Konvensyen Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi terhadap Perempuan (CEDAW) dan Konvensyen Antarabangsa tentang Hak-Hak Sivil dan Politik (ICCPR), yang telah diratifikasi oleh Indonesia. Kritikan ini mencerminkan pandangan bahawa peraturan ini memerlukan kajian semula untuk memastikan ia selaras dengan prinsip-prinsip hak asasi manusia, ujarnya.
Peraturan ini juga memberi kesan terhadap reputasi ASN. Dengan pengumuman kenaikan gaji baru-baru ini, masyarakat semakin peka terhadap tingkah laku mereka, dan isu poligami sering dikaitkan dengan penyalahgunaan kuasa.
Menurut Siti Aminah Tardi, seorang Pesuruhjaya Suruhanjaya Anti-Kekerasan Nasional terhadap Perempuan, banyak perkahwinan dalam poligami tidak didaftarkan secara rasmi.
“Wanita dan anak-anak dalam perkahwinan tidak berdaftar sering terdedah kepada ketidakadilan dan kurangnya perlindungan undang-undang,” jelasnya.
Encik Achmad turut menyebut bahawa kebanyakan kes poligami di kalangan ASN sering tidak memenuhi syarat yang diatur, malah banyak yang bermula dari hubungan luar nikah.
“Ini menunjukkan perlunya pengawasan yang lebih ketat terhadap pelaksanaan peraturan ini,” tambahnya.
Untuk memastikan pelaksanaan peraturan ini berjalan lancar, Dewan Pertimbangan telah ditubuhkan bagi mengkaji setiap permohonan poligami secara terperinci. Selain itu, kelulusan daripada pihak atasan ASN juga diwajibkan untuk memastikan semua proses dilakukan dengan telus dan adil.
Encik Teguh menegaskan bahawa peraturan ini dibuat untuk melindungi hak isteri dan keluarga ASN.
“Ini bukan tentang mengabsahkan poligami, tetapi memastikan sebarang praktik tersebut dilakukan mengikut aturan yang ketat. Hak-hak keluarga tetap menjadi keutamaan,” katanya.
Salah satu isu utama yang menimbulkan kontroversi ialah kurangnya diskusi awam sebelum peraturan ini diumumkan.
Ketidakjelasan komunikasi pemerintah dengan masyarakat menyebabkan banyak salah faham terhadap niat dan implikasi peraturan ini.
Menurut Encik Achmad: “Perbincangan awam yang lebih meluas diperlukan untuk mengurangkan kebimbangan masyarakat dan meningkatkan penerimaan terhadap peraturan ini.” – Agensi berita.

