SYDNEY: Australia akan mengadakan upacara pengebumian pertama pada 17 Disember untuk mangsa tembakan termasuk dua rabai yang terkorban dalam serangan di Pantai Bondi.
Sajid Akram dan anak lelakinya, Naveed Akram, melepaskan tembakan ke arah orang ramai di majlis sambutan Yahudi di pantai luncur air yang terkenal itu pada petang 14 Disember, membunuh 15 individu dan mencederakan berpuluh-puluh lagi, lapor pihak berkuasa.
Antara mangsa ialah seorang budak perempuan berusia 10 tahun, dua mangsa Holocaust yang terselamat, dan pasangan suami isteri yang ditembak mati ketika mereka cuba menggagalkan serangan itu.
Encik Eli Schlanger, yang dikenali sebagai “rabai Bondi”, akan menjadi orang pertama diperingati dalam upacara di saumaah, Chabad Bondi.
Rabai Schlanger, bapa lima anak, merupakan paderi yang berkhidmat di penjara dan hospital, berdasar laman web pergerakan Chabad, yang mewakili cabang Yahudi Hasidic dan penganjur acara tersebut.
Saumaah itu kemudian akan mengadakan pengebumian kedua untuk rabai berusia 39 tahun, Yaakov Levitan, pada sebelah petang.
Pihak berkuasa berkata serangan itu dirancang untuk menimbulkan rasa panik dalam kalangan orang Yahudi di negara itu.
Perdana Menteri Australia, Encik Anthony Albanese, berkata lelaki bersenjata bapa dan anak itu telah diradikalisasi oleh “ideologi kebencian”.
“Nampaknya mereka didorong oleh ideologi ISIS,” kata beliau pada 16 Disember.
Persoalan semakin meningkat sama ada pihak berkuasa boleh sepatutnya bertindak lebih awal untuk menggagalkan serangan itu.
Naveed, seorang tukang batu yang menganggur, mendapat perhatian agensi perisikan Australia pada 2019.
Namun, dia tidak dianggap sebagai ancaman yang akan berlaku pada masa itu.
Polis sedang menyiasat sama ada pasangan itu bertemu dengan anggota pelampau Islam dalam lawatan mereka ke Filipina beberapa minggu sebelum serangan tersebut.
Jabatan imigresen Manila telah mengesahkan mereka menghabiskan hampir sepanjang November di Filipina, dengan Davao sebagai destinasi terakhir.
Davao, terletak di pantai selatan Mindanao, mempunyai sejarah pemberontakan Islam yang panjang.
Dalam serangan tersebut, pasangan itu membawa senapang dan kemudian melepaskan tembakan selama 10 minit sebelum polis menembak dan membunuh Sajid yang berusia 50 tahun.
Naveed, 24 tahun, turut ditembak dan kekal di hospital di bawah kawalan polis.
Susulan serangan itu, para pemimpin Australia bersetuju mengetatkan undang-undang yang membenarkan bapanya, Sajid, memiliki enam senjata api.
Kejadian tembakan beramai-ramai jarang berlaku di Australia sejak seorang lelaki bersenjata membunuh 35 individu di bandar pelancongan Port Arthur, Tasmania pada 1996.
Serangan terbaru itu telah membangkitkan semula dakwaan bahawa Australia berlengah dalam memerangi anti-Yahudi.
“Saya mendesak agar pemerintah Barat melakukan apa yang perlu untuk memerangi anti-Semitisme dan menyediakan keselamatan untuk masyarakat Yahudi di seluruh dunia,” kata Perdana Menteri Israel, Encik Benjamin Netanyahu, pada 16 Disember. – AFP.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg