MELBOURNE: Australia mencatatkan kes tertinggi jangkitan Covid-19 semalam - hari ketiga berturut-turut - dengan penularan berlaku di dua negeri paling ramai penduduk.
Namun demikian, Perdana Menteri, Encik Scott Morrison cuba meredakan risiko penularan sedang negara itu melonggarkan sekatan akibat pandemik yang berlaku.
Negeri New South Wales melaporkan 2,482 kes baharu, sementara negeri Victoria pula mencatatkan 1,504 kes baharu dan negeri Queensland pula merekodkan 31 kes baru semalam , menjadikannya 4,017 kes baru secara keseluruhan - sekaligus mengatasi 3,820 kes yang direkodkan sehari sebelumnya.
Encik Morrison mengulangi semalam bahawa tumpuan harus diberikan kepada hospitalisasi dan kes-kes di unit jagaan rapi dan pesakit yang memerlukan bantuan pernafasan dan tidak melihat kepada jumlah kes sebenar sedang negara itu cuba menjalani kehidupan di tengah-tengah penularan virus Covid-19.
Sejauh ini, beliau berkata peningkatan kes di New South Wales tidak membawa kepada tekanan kepada hospital dengan hanya 26 orang kini di unit jagaan rapi.
"Saya tidak setuju yang warga Australia leka tentang keadaan yang berlaku. Kita ambil serius. Ia harus ditangani dengan fikiran yang tenang dan perancangan yang jelas," kata Encik Morrison di sidang media di Hobart, negeri pulau Tasmania.
Beliau menerangkan bahawa Australia tidak serupa keadaannya seperti di United Kingdom, Eropah atau Amerika Utara di mana kes kini melonjak.
Britain mencatat rekod angka harian Covid-19 selama tiga hari berturut-turut, dengan 93,045 kes baru dilaporkan kelmarin, ketika negara ini terus bergelut dengan lonjakan jangkitan akibat penularan varian Omicron.
Data terbaru itu menjadikan jumlah keseluruhan jangkitan Covid-19 di United Kingdom (UK) kini mencecah lebih 11.1 juta kes.
Selain itu, Britain turut mencatat 111 kematian baharu akibat Covid-19 yang membawa kepada jumlah lebih 147,000 korban, setakat ini.
Menteri Pertama Scotland, Encik Nicola Sturgeon, berkata Omicron kini adalah virus dominan di negara itu.
"Amaran 'tsunami' yang saya berikan kira-kira seminggu lalu, kini sudah mula melanda kita," katanya.
Menteri Pertama Wales, Encik Mark Drakeford pula meminta rakyat negara itu agar bersiap siaga menghadapi 'ribut Omicron'.
Beliau turut mengumumkan kelab malam di negara itu akan berhenti operasi sementara selepas 26 Disember ini, manakala penjarakan fizikal dilaksanakan semula di kedai dan tempat kerja.
Britain sedang menjalankan usaha pemberian suntikan dos penggalak vaksin Covid-19 secara besar-besaran kepada seramai mungkin individu sebelum hujung tahun ini.
Perdana Menteri, Encik Boris Johnson, berkata sasaran langkah itu bukan saja untuk memastikan pelaksanaan imunisasi di Britain adalah yang paling cepat di Eropah tetapi juga bagi mengelakkan lebih banyak akibat buruk daripada penularan Omicron. - Reuters, AFP
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg